Angkara kluster raya di Kampung Matang, Kampung Tengkawang! Kini Kampung Tajin dikenakan PKPD!
Published by
JIKA Felda Tersat, Ajil jadi Felda pertama di Hulu Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Kuala Berang ‘muncul’ mukim pertama dan kini Tajin, kampung pertama dikenakan penguatkuasaan PKPD itu.
Pelaksanaan PKPD Kampung Tajin di Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu berkuat kuasa bermula 12 Jun hingga 25 Jun 2021 semuanya angkara kluster berkaitan pergerakan semasa sambutan Aidilfitri 2021 yang berlaku di Kampung Matang dan Kampung Tengkawang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD
Akibat daripada penularan jangkitan kedua-dua kluster itu seramai 502 orang penduduk telah disaring dan 31 orang dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus manakala 57 orang sedang dikuarantin.
Belum sempat penduduk menarik nafas lega setelah PKPD Mukim Kuala Berang tamat pada 11 Jun 2021, Kampung Tajin yang terletak di mukim berkenaan dikenakan penguaktkuasaan sama bagi kekang penularan Covid-19 daripada terus berlaku.
Pelaksanaan PKPD tersebut sekali gus menyaksikan seramai 1,403 penduduk yang sektor ekonomi utama mereka berasaskan pertanian dan perladangan terlibat.
Mohd Adli Mat Daud (kiri) memperkatakan sesuatu kepada pegawai dan anggotanya sewaktu persiapan SJR dilakukan susulan pelaksanaan PKPD Kampung Tajin
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata susulan penguatkuasaan PKPD Kampung Tajin, polis melakukan tiga sekatan jalan raya (SJR) di laluan keluar masuk kampung berkenaan sepanjang tempoh PKPD.
Menurutnya, lokasi SJR sepanjang 24 jam sehari bertempat di Kilometer (KM) 3 dan 6 Jalan Gaung-Kuala Ping serta KM 8 Jalan Kuala Berang-Tajin-Telemong dengan melibatkan kekuatan pegawai dan anggota bertugas seramai 70 orang.
“Selain polis, penugasan bagi SJR ini turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). Tiada jalan tikus dikenal pasti untuk keluar masuk ke Kampung Tajin yang terletak kira-kira 8.9 km dari Bandar Kuala Berang.
“Kampung ini terletak di laluan utama Bandar Kuala Berang-Sungai Tong, Setiu dan orang awam atau penduduk sekitar boleh gunakan laluan alternatif iaitu melalui jalan persimpangan Kuala Ping atau Kampung Kepah menuju ke Kuala Pueh- Gaung-Kuala Berang,” katanya.
“Susulan pelaksanaan PKPD ini, penduduk diharapkan mematuhi prosedur operasi standard(SOP) dan hanya keluar rumah bagi tujuan penting sahaja. Orang luar dilarang masuk ke kawasan Kampung Tajin kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa,” katanya.
Peta laluan alternatif boleh digunakan penduduk atau pengguna jalan raya bagi laluan Kuala Berang - Tasik Kenyir/ Sungai Tong, Setiu
Notis lencongan jalan untuk ke Bandar Kuala Berang di Kampung Kepah, Hulu Terengganu. Kredit foto: FB Mohd Nasrun Abdullah
Tambah Mohd Adli, bagi penduduk kampung di laluan Tajin-Imam Lapar mereka boleh melalui Kampung Tajin untuk ke Bandar Kuala Berang namun perlu daftarkan diri di SJR sebelum masuk ke kawasan PKPD dan dikehendaki kemukakan bukti tujuan sebelum keluar.
Sementara itu, untuk info, PKPD Felda Tersat dilaksanakan pada 4 Februari hingga 17 Februari 2021 lalu, manakala PKPD Mukim Kuala Berang yang membabitkan 23 buah kampung dengan jumlah penduduk sekitar 17,000 pada 29 Mei hingga 11 Jun 2021. -KitaReporters