USIM Juara Keseluruhan FEStKUM 2022!
Published byFestival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FEStKUM) 2022
menyaksikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai Johan
Keseluruhan dengan mengungguli Johan pertandingan lagu melayu asli, Naib Johan
sayembara deklamasi puisi, Tempat Ketiga rentak bitara dan memperoleh tiga
anugerah lain iaitu Vokal Terbaik bagi pertandingan lagu melayu asli,
Persembahan Terbaik dan Instrumentasi Terbaik bagi pertandingan rentak bitara.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, “penyertaan USIM ke
FEStKUM pada tahun ini adalah tanggungjawab dan kebersamaan kita dalam
sekretariat MAKUM. Rata-rata semangat yang ditonjolkan semua mahasiswa
memperlihatkan bahawa mereka memerlukan satu bentuk program untuk menguji bakat
dan skil yang dimiliki. Saya percaya penganjuran FEStKUM pada kali ini dapat
menyuntik keinginan luar biasa dalam diri mereka untuk meningkatkan ilmu dalam
aspek persembahan seni.”
“FEStKUM pada kali ini mempertaruhkan empat acara yang dipertandingkan iaitu
nyanyian solo lagu melayu asli dan sayembara deklamasi puisi bagi kategori
perseorangan, manakala rentak bitara (muzik moden) dan nasyid bagi kategori
berkumpulan. Kontinjen USIM diwakili oleh 22 orang delegasi dengan diiringi
lima pegawai penyelaras”.
Ujarnya lagi, pada tahun 2010 USIM pernah dinobatkan sebagai Tempat Kedua
Keseluruhan bagi semua acara FEStKUM 2010.
Sementara itu, saudara Amirul Zahid Amadnoh, johan pertandingan lagu melayu
asli, turut berkongsi perasaan gementar di hari pertandingan memandangkan baru
sembuh dari demam, namun berkat dorongan dan doa ibu bapa serta sokongan
rakan-rakan beliau nekad untuk buat yang terbaik.
“Bukanlah mudah untuk mempelajari teknik lagu Melayu asli, namun demi minat
yang mendalam terhadap seni warisan Melayu, Zahid gigih berusaha dan menuntut
ilmu dari yang pakar”.
FEStKUM anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM)
dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan 14 penyertaan
daripada universiti awam antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti
Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia, Universiti
Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Sarawak.
Hampir 500 penonton menyaksikan acara penutup dan penyampaian hadiah FEStKUM
secara langsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah UPM dan turut disiarkan secara maya di Facebook dan YouTube
melalui saluran Putra TV UPM.
Majlis penyampaian hadiah FEStKUM disempurnakan oleh Timbalan Ketua
Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Dato' Dr. Haji Megat Sany
Megat Ahmad Supian.