SEORANG pemain Blitz Steroids memejam mata kerana terkena balingan bola oleh pasukan Aces ketika dia cuba mengatur gerakan. - Kredit foto: TTT


KETAHANAN mental untuk kembali bangkit menjadi faktor penyumbang tim Blitz Steroids menjuarai Kejohanan Dodgeball (Bola Elak) Thunder Throw-Turo Show 2024 di sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka berjaya mengecapi kejuaraan edisi sulung itu dengan menundukkan Aces 5-4 biarpun satu ketika ketinggalan 2-0 dalam perlawanan akhir itu sekali gus mengaut hadiah wang tunai RM3,500 pada 13 Oktober 2024. 

“Para penonton di pusat beli-belah ini juga sentiasa memberikan kata-kata semangat. Satu peluang yang hebat kerana dapat bermain dan mempamerkan kemampuan di gelanggang terbuka kepada umum ini.

“Ada masanya kami menjadi gementar dan tertekan tetapi saya gembira mereka menguatkan mental kembali dan mengejar ketika ketinggalan 2-0,” kata kapten Blitz Steroids, Lee Kar Wai dalam siaran media Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD).

Selaku naib juara, Aces terpaksa berpuas hati dengan beroleh RM2,000 manakala Anak Malaya 1 yang menewaskan Blitz Austistic 5-4 pada perlawanan penentuan tempat ketiga terdahulu, tetap meraih sagu hati RM1,000.


BLITZ Steroids bergembira menayangkan pingat juara Kejohanan Bola Elak Thunder Throw-Turo Shiow 2024 di Damansara, Petaling Jaya setelah mengalahkan Aces 5-4. - Kredit foto: TTT


Kejohanan yang bermula dari 12 Oktober 2024 dan bersempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024, kata Kar Wai, turut memberikan pendedahan sebenar tentang apa itu bola elak kepada masyarakat, sekali gus diyakini semakin mempopularkannya.

Kejohanan berformat liga sepusingan berkumpulan dan kalah singkir ini turut disertai Rainos DC, Earthshakers DC, Happy Happy YYDC, Blitz OKU dan ITZ Blitz.

Para pemain negara juga dibenarkan mewakili kelab pilihan masing-masing tanpa sebarang sekatan. Setiap pasukan wajib menggandingkan tiga pemain lelaki dan tiga pemain wanita tanpa sebarang had umur.

Kejohanan Thunder Throw-Turo Show ini menggunakan bola getah busa seperti yang ditetapkan oleh Persekutuan Dodgeball Dunia (WDBF).


SEORANG pemain wanita Aces, melancarkan serangan dengan balingan padu terhadap Blitz Steroids dalam perlawanan akhir Thunder Throw-Turo Show 2024. - Kredit foto: TTT


Kata Setiausaha Agung MAD, S. Dasataran: “Dodgeball mampu turut membantu memupuk budaya hidup sihat dalam masyarakat.

“Tahniah kepada penganjur (Turo Thunder Throw) kerana kejohanan ini saya lihat berada dalam kelas tersendiri malah mengejutkan saya. Kami mungkin boleh bekerjasama selepas ini bagi program 2025,” katanya.

Kata pengasas Turo Thunder Throw, Aiman Rijal Shamsul Rijal, kejohanan julung kali ini cuba meningkatkan kesedaran dan mempromosikan bola elak kepada umum.

“Ramai tidak menyedari nama Malaysia telah lama menyinar dalam sukan ini pada peringkat antarabangsa sehingga menjuarai Kejohanan Dunia.  

“Apabila bola elak menjadi popular, maka peluang akan lebih banyak terhidang pada masa depan dan sukan ini mungkin memiliki gelanggang untuk melangsungkan kegiatannya berbanding sekarang yang sering menggunakan gelanggang futsal, dewan serba guna dan sebagainya,” katanya.

Rijal juga berharap kejohanan seumpama ini dapat diperluas pada masa depan sehingga menjadi sebuah siri atau sirkit di pelbagai kawasan di Lembah Klang yang menemukan setiap juaranya semula dalam Pusingan Kemuncak.

Turut menyaksikan dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Azura Sabrin; Timbalan Presiden MAD, Datuk Dr. Ramlan Azizpt dan penaung persatuan, Datuk Malek Noor. - KitaReporters


PASUKAN Blitz Steroids meraikan kejayaan muncul juara Thunder Throw-Turo Show di samping Ramlan Aziz dan Malek Noor (barisan belakang, dua dan tiga dari kiri). - Kredit foto: TTT


PASUKAN Aces tetap gembira dengan pingat naib juara Thunder Throw-Turo Show di samping Ramlan Aziz (berdiri, empat dari kanan). - Kredit foto: TTT

17
10
0
10
0

Copy Link: