Oleh ANNISA' AZLAN


Umum mengetahui bahawa kerjaya dalam bidang seni khususnya lakonan filem dan drama memerlukan komitmen yang tinggi dari segi masa dan tenaga.

Namun bagi pelakon sedang meningkat naik, Hana Tiha ia bukanlah penghalang untuk beliau menamatkan pengajian di UiTM dalam bidang perfileman.

Ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-99 di UiTM Shah Alam pada 4 September 2024, Hana Tiha merasa bersyukur dapat menamatkan pengajian dalam bidang yang amat digemarinya itu dan berazam untuk menjadi pelakon yang lebih baik selepas ini.

“Sejak zaman persekolahan, saya aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan seni tari. 

"Bakat ini mula berkembang apabila meningkat dewasa membuatkan saya ingin mengembangkan lagi bakat saya dalam bidang lakonan disebabkan oleh sikap yang suka mencuba sesuatu yang baharu membawa kepada kejayaan saya yang sekarang,” ujar beliau. 

Antara drama yang dibintangi Hana Tiha termasuklah drama “Nuh dan Nayla” yang bersiaran di saluran TV3 serta beberapa buah filem dan drama lain selaku antara pelakon pembantu utama.

Drama “Nuh dan Nayla” masih lagi menjadi trending dalam pelbagai saluran media sosial lain dan masih lagi menjadi pilihan peminat dan pengikut dengan meletakkan drama ini sebagai antara teratas dalam senarai drama paling diikuti sehingga ke hari ini. 

Hana Tiha atau nama sebenarnya, Nur Fatiha Natenan, 27 tahun, menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teater (Kepujian) Produksi Teater, Kolej Pengajian Seni Kreatif.

Buat masa ini Hana sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaharu bertajuk “Rahsiamu Selamat Denganku” yang akan menemui penonton tidak lama lagi.



Hana juga berazam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya dan tidak menolak untuk mencuba bidang lain seperti bidang media namun buat masa ini beliau ingin menumpukan perhatian dalam bidang lakonan memandangkan beliau masih lagi menerima pelbagai tawaran lakonan.

“Dalam kesibukan menguruskan jadual sebagai pelakon dan jadual kuliah, saya tidak menafikan bahawa masyarakat sekeliling tidak henti memberikan sokongan termasuklah keluarga, pensyarah, dan rakan-rakan seperjuangan saya tanpa mempersoal apa-apa. 

“Antara perkara yang membuatkan saya tidak patah semangat untuk mendapatkan segulung ijazah adalah nasihat serta dorongan daripada arwah pensyarah saya juga pengarah teater terkenal iaitu Allahyarham Mazlan Tahir, terutama semasa pembelajaran dalam talian dalam era penularan wabak COVID-19 beberapa tahun lepas,” jelas Hana Tiha.

Hana juga berharap agar rakan-rakan artis lain juga dapat meningkatkan kemampuan dalam bidang akademik namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan penumpuan terhadap bidang seni masing-masing.

Bagi beliau, Malaysia bukan sahaja memerlukan pelakon atau penyanyi yang berkualiti dari segi bakat malahan dari segi akademik, sekali gus menjadikan hasrat kerajaan untuk melihat bidang seni negara ini di persada dunia tercapai. - KitaReporters

11
14
0
7
0

Copy Link: