Keadaan rumah kayu berusia lebih 60 tahun yang juga merupakan rumah asal peneroka Felda Tenang adalah lokasi dua tentera elit Indonesia menyerah diri ketika berlaku konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia tahun 1964.
SIAPA menyangka sebuah rumah kayu usang berusia lebih 60 tahun di Felda Tenang yang tidak dipedulikan kewujudannya selama ini oleh penduduk setempat terutama generasi muda hari ini sebenarnya menyimpan antara peristiwa penting yang berkait rapat dengan sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara pada 16 September 1963.
Rumah milik Allahyarham Mohd. Akit Hamid beralamat 189 Felda Tenang, Labis, Johor itu merupakan antara rumah asal peneroka Felda Tenang yang masih wujud sehingga ke hari ini sejak tanah rancangan tersebut mula dibuka sekitar tahun 1960 hingga 1961 secara berperingkat-peringkat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bahan-bahan sejarah
Ishak Mohamad menunjukkan pintu hadapan rumah bersejarah salah seorang peneroka Felda Tenang tempat dia bersama arwah bapanya duduk ketika majlis bacaan Yasin sejurus sebelum Sutikno dan rakannya muncul untuk menyerah diri.
Sutikno ketika ditemu bual oleh Suara Malaysia. - Kredit foto: Arkib Negara Malaysia.
Menurut anak jati Felda Tenang, Ishak Mohamad, 69, rumah tersebut begitu istimewa kerana rumah tersebut merupakan lokasi ketua tentera elit Indonesia yang dikenali sebagai Leftenan Sutikno bersama seorang lagi rakannya menyerah diri selepas bersembunyi selama 21 hari di kawasan paya berhampiran sejak melakukan terjunan pada awal pagi 2 September 1964 di bumi Felda Tenang ketika berlaku konflik konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia berikutan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 69 tahun lalu.
Ishak Mohamad menunjukkan rumah bersejarah yang semakin uzur dan perlu dibaik pulih segera bagi memastikan kesan sejarah peristiwa penerjunan tentera elit di bumi Felda Tenang tidak lenyap begitu sahaja.
"Pendaratan 96 tentera elit Indonesia menggunakan payung terjun dari pesawat Hercules C130 pada awal pagi 2 September 1964 di bumi Felda Tenang merupakan antara sejarah penting bukan sahaja kepada tanah rancangan ini, malah turut ada hubung kait dengan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat ketika itu
"Namun tidak ramai orang yang mengetahui mengenai peristiwa tersebut termasuk generasi baharu Felda Tenang sendiri kerana tiada sebarang usaha untuk mengumpul semua barangan yang berkaitan termasuk memulihara rumah tersebut yang merupakan satu-satunya bangunan asal melibatkan peristiwa tersebut yang masih ada dan boleh dilihat di bumi Felda Tenang ketikaa ini," katanya yang menyaksikan sendiri Sutikno bersama rakannya menyerah diri di rumah tersebut kira-kira 8.30 malam semasa dia berusia sekitar 10 tahun pada waktu itu.
Ishak Mohamad melihat kayu beberapa bahagian hadapan rumah tersebut yang sudah mula reput dan perlu diganti baharu.
Dia juga mendakwa dia mungkin merupakan satu-satunya saksi hidup ketika ini yang menyaksikan sendiri peristiwa dua tentera elit negara jiran itu menyerah diri di depan matanya hampir 60 tahun lalu.
Sehubungan itu, dia mendesak agar pihak berwajib membaik pulih rumah tersebut yang disifatkannya hanya menanti masa menyembah bumi bagi memastikan catatan penting sejarah Felda Tenang dan negara tidak lenyap begitu sahaja.
Antara barangan tentera elit Indonesia yang menceroboh Felda Tenang dan berjaya dirampas. - Kredit foto: Arkib Negara Malaysia.
Dalam masa sama, dia turut mencadangkan agar digerakkan satu usaha mewujudkan satu galeri khas bagi menyimpan serta mempamerkan semua barangan berkaitan peristiwa tersebut untuk tatapan generasi akan datang mahu pun bahan rujukan peminat sejarah yang berhasrat untuk membuat kajian berhubung sejarah tersebut pada masa akan datang.
Menurutnya, dia bimbang sejarah tersebut akan lenyap kerana boleh dikatakan tiada lagi saksi daripada generasi terdahulu yang boleh menceritakan peristiwa tersebut dan lebih malang lagi barang-barang berkaitan sejarah tersebut juga kini gagal dikesan sama ada berada dalam simpanan pihak berwajib atau individu tertentu.
Ishak Mohamad.
Sementara itu, Norizam Md. Akit, 52, yang merupakan anak keempat pemilik rumah tersebut, Allahyarham Mohd Akit Hamid yang kini menduduki rumah pusaka tersebut berkata, dia menyambut baik jika terdapat mana-mana pihak yang berhasrat untuk membaik pulih rumah tersebut dengan mengekalkan bentuk asal kerana dia sedar rumah tersebut adalah antara bukti penting catatan sejarah negara dan Felda Tenang sendiri.
Menurutnya, sebelum ini sememangnya terdapat desakan beberapa pihak agar diwujudkan satu galeri khas bagi menempat dan mempamerkan barangan tinggalan sejarah melibatkan peristiwa tersebut di Felda Tenang, namun selepas beberapa ketika cerita mengenainya senyap begitu sahaja.
Norizam Mohd. Akit
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti secara terperinci mengenai cadangan untuk membaik pulih rumah tersebut serta desakan sesetengah pihak agar diwujudkan sebuah galeri konfrontasi sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
"Ia melibatkan sejarah dan usaha tersebut memerlukan penglibatan banyak pihak sebagai rujukan termasuk kerajaan negeri serta persatuan-persatuan sejarah bagi memastikan sebarang keputusan serta usaha yang diambil nanti menepati fakta sejarah.
"Saya sedar, sememangnya terdapat keperluan untuk mengumpul dan memulihara barangan tinggalan sejarah tersebut untuk tatapan generasi akan datang.
"Selain itu usaha membanggunkan semula lokasi bersejarah itu turut berpotensi menarik minat pengunjung luar datang kesini yang secara tidak langsung akan membawa sekali peluang ekonomi kepada penduduk setempat," katanya. - KitaReporters
Ishak Mohamad menunjukkan kawasan paya berhampiran rumah tersebut yang dipenuhi semak samun yang menjadi tempat Sutikno dan rakannya bersembunyi selama 21 hari selepas mendarat menggunakan payung terjun di Felda Tenang.