Akramuddin Aziz masih berteka-teki? Mahu jadi Presiden PSM? Kena tunggu AGM 12 Februari 2022!
Published byKEJAGUHAN Malaysia di arena antarabangsa semakin tenggelam dengan kebangkitan Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar. - Kredit foto KC
DATUK Akramuddin Aziz masih berteka-teki tentang sama ada mahu merebut jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang kini dipangkunya sejak 5 Jun 2021.
PSM bakal memasuki pemilihan penggal baharu, 2022-2025 bersempena mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 12 Februari 2022 ini di sebuah tempat yang akan diumumkan semula.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sepak takraw
AKRAMUDDIN Aziz menghuni kerusi Timbalan Presiden PSM sejak 2014 dan kini selaku Pemangku Presiden.
Beliau yang turut masih menyandang Timbalan Presiden PSM bagi penggal 2018-2021, cuma berkata, "tengok keadaan dulu. Kalau saya hendak, ambillah, hendak bertanding, bertandinglah.”
Sejak 2014, Akramuddin menduduki kerusi nombor dua persatuan yang sudah berusia 61 tahun itu selepas menewaskan pencabarnya, Datuk Markiman Kobiran dalam AGM di Johor Bahru, Johor.
Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM pada 29 Disember 2021 memutuskan tarikh pemilihan itu dengan prosesnya akan dijalankan mengikut Perlembagaan persatuan yang dipinda tanggal 30 Oktober 2021 menerusi satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di ibu kota.
BARISAN pucuk pimpinan PSM yang memenangi pemilihan penggal 2018-2021 di Kuala Lumpur. Akramuddin (dua dari kiri) mempertahankan kerusi No. 2 persatuan.
“PSM perlu segera mengadakan AGM ini sebelum Jun 2022 (berakhirnya penggal sekarang, 2018-2021) untuk selesaikan masalah yang berlaku," katanya yang turut menerajui Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam) dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Masalah kepemimpinan PSM timbul sejak persatuan itu disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada 20 Mei 2021 yang mendorong peletakan jawatan Presiden terdahulu, Datuk Seri Ahmad tanggal 5 Jun 2021.
“Kebanyakan negeri (lapan persatuan ahli gabungan PSM) telah menyertai semula dan kami kembali bertaut. Hanya tiga negeri yang tidak berbuat begitu namun mereka juga mungkin bersama kami semula apabila ada kepemimpinan baharu (menerusi pemilihan 12 Februari 2021)," kata Akramuddin.
SUKAN SEA Hanoi (atas) dan Sukan Asia Hangzhou menjadi dua agenda utama skuad negara sepanjang 2022.
Beliau turut yakin pucuk pimpinan PSM itu akan memastikan mereka kembali bergabung dengan Astaf - persekutuan yang ditubuhkan para pemimpin terdahulu Malaysia (ketika itu Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu - PSRPTM pada 1967 di Bangkok, Thailand).
Yang penting katanya ialah sepak takraw yang harus dimartabatkan setiap pemegang taruhnya dalam misi menyemarakkan semula sukan ciptaan dan warisan bangsa Melayu ini.
“Saya jamin bahawa PSM sekarang sebenarnya tidak bergolak. Adatlah dalam rumah tangga, sedangkan lidah lagi tergigit apa pula kami dalam satu keluarga yang besar dan persatuan yang sudah wujud 61 tahun," katanya.
HANYA dua pingat perak mampu dibawa pulang skuad negara (jersi kuning) daripada Sukan SEA Filipina 2019 - pentas antarabangsa terakhir disertai sebelum dilanda Covid-19.
Kepemimpinan baharu PSM katanya, pasti bertekad kepada para peminat untuk menjadikan pasukan kebangsaan membawa sesuatu yang amat berharga buat mereka pada Sukan SEA Ke-31 di Hanoi (12 hingga 23 Mei 2022) dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou (10 hingga 25 September 2022). - KitaReporters
AKRAMUDDIN Aziz (kiri) menyampaikan cenderamata Pastam kepada legenda sepak takraw Melaka, Ibrahim Abu Bakar atau digelar Ibrahim Tongkat. - Kredit foto: FB Akram