Video| Tolong kami! Bantu Anuar Zain bantu pelarian Syria! Nak ikut team Syria Care agih bantuan!
Published byDari kiri: Nurdieana, Siti Sakinah, Anuar Zain dan Dr. Mohd Azrul.
SIAPA tidak kenal dengan plantun lagu ‘Lelaki Ini’, setiap kali muncul pasti menggamit perhatian ramai untuk mengetahui perkembangannya dan kali ini seperti juga judul lagunya ‘Ketulusan Hati’ Anuar Zain mengetuk jiwanya untuk bersama membantu Misi Kemanusiaan kali ke-13 anjuran Syria Care.
Pemilik nama penuh, Shahrul Anuar Zain, 52 dijangka berlepas ke Lubnan (Lebanon) selama lapan hari pada 11 April 2022 bagi menyertai skuad Syria Care dalam misi mengagihkan bantuan kepada pelarian di tiga buah negara, Turki, Syria dan Lubnan.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan pelarian
“Bagi tujuan itu, Syria Care menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga sempena Ramadan ini, jadi saya harap rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin serta golongan korporat dapat membantu usaha murni tersebut,” rayu Anuar Zain ketika ditemui pada majlis memeterai Perjanjian bersama Misi Kemanusian Syria Care di Shah Alam pada semalam Selasa, 29 Mac 2022.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Bakti; Ahli Lembaga Pengarah Tadabbur Centre yang juga Dekan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh, Dr Mohd Azrul Azlen Abd Hamid; dan Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi.
Berkongsi bagaimana hatinya tergerak untuk bersama Syria Care, Anuar berkata, "segalanya berlaku tanpa dirancang ketika bertemu dengan Syria Care untuk satu urusan lain dan apabila melihat keadaan dan penderitaan yang dilalui pelarian khususnya kanak-kanak, hati saya tersentuh untuk membantu.
“Kita harus lakukan sesuatu, Mereka ini golongan teraniaya, Doa mereka tiada hijab…” kata Anuar Zain dalam perasaan terharu berkongsi kesedihan apabila menonton video kesengsaraan rakyat Syria dengan keadaan anak-anak kesejukan tanpa memakai baju tebal dan stokin ketika musim sejuk pada tahap 10 darjah Celsius.
Anuar Zain menerima jaket Syria Care daripada Siti Sakinah (gambar atas) sementara Anuar turut membantu memakaikan jaket sama kepada Dr. Mohd Azrul (gambar bawah). - Kredit foto: Siti Dimiatri.
Sehubungan itu, Anuar bertekad mahu membantu selagi terdaya sambil mengetepikan soal kemudahan mahu pun kesenangan ketika dirantau orang.
“Saya akan bersama team Syria Care di mana sahaja mereka berada, tidak kira tidur di mana sekali pun asalkan tujuan kami ke sana untuk mengagihkan bantuan terlaksana,” tambah Anuar memperlihatkan semangat berkobarnya untuk menyertai misi kemanusiaan Syria Care.
Menurut adik kepada penyanyi Ziana Zain ini, penglibatannya buat pertama kali bersama Syria Care pada bulan Ramadan dan berpuasa selama 17 jam di Lubnan, sesuatu yang pastinya begitu mencabar dan akan menjadi kenangan sepanjang hayatnya.
“Buat masa ini saya tidak terfikir soal lain lagi kecuali menumpukan perhatian untuk melaksanakan tanggungjawab di bumi Syria,” jelas Anuar menjawab soalan apa kah beliau bakal menulis sebuah lagu bagi memperingati pengalamannya di sana.
Anda Order, Syria Care hantar - Siti Sakinah.
Sementara itu, Siti Sakinah selaku Pengerusi dan Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care tidak ketinggalan melahirkan rasa terharunya melihat kesungguhan Anuar Zain untuk bersama-sama menggerakkan usaha kemanusiaan ini.
“Syria Care akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Turki seterusnya ke Syria dan Lubnan bagi melaksanakan agihan sempena Ramadan selama dua minggu bermula hujung Mac (2022) ini manakala Anuar Zain dijangka berangkat pada 11 April,” jelas Siti Sakinah.
Sehubungan dengan kerjasama itu juga, Syria Care berharap sempena Ramadan orang ramai dapat membantu dalam kempen Ramadan Al Khair 10 dengan menaja set iftar serendah RM15 ataupun pek makanan kering bernilai RM150 melalui platform 'Order Food’.
“Biasanya orang Islam pesan makanan untuk diri sendiri, tapi kali ini kita pesan makanan untuk diberi kepada pelarian Syria, anda pesan kami hantar,” tambah Siti Sakinah sambil memberitahu segala sumbangan boleh disalurkan melalui pautan khas Anuar Zain iaitu di https://donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain.
Untuk rekod, semenjak konflik bersenjata meletus di Syria 11 tahun yang lalu, ia telah mengakibatkan lebih dari 6 juta rakyat Syria menjadi pelarian di dalam negara sendiri manakala lebih dari 4.4 juta darinya berada di bahagian utara negara itu.
Jumlah pelarian yang ramai bersempit-sempit mendiami ribuan kawasan perkhemahan di kawasan tersebut menyebabkan pelbagai masalah keselamatan, perlindungan, sosial, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan terutamanya jaminan bekalan makanan.
Kawasan agihan yang dipilih merangkumi 3 negara iaitu di Syria, Lubnan dan juga Turki yang merupakan tempat yang mempunyai ramai pelarian Syria yang hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan.
Misi Kemanusiaan Syria Care juga adalah bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh penyumbang dilaksanakan dengan baik.
Video dan gambar pelaksanaan agihan bantuan sepanjang bulan Ramadan akan dikongsikan kepada penyumbang melalui semua platfom media Syria Care sebagai manifestasi ketelusan pelaksanaan kempen dengan tagline, ‘Bersama Syria Care, Kita Bantu’. - KitaReporters
Anuar sempat mengalunkan sedikit lagu 'Lelaki Ini'.