Terbaiklah RMHC Malaysia! Raikan Ramadan bersama anak-anak yatim! Sumbangan untuk 3 rumah kebajikan!
Published byPersatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia menganjurkan Majlis Iftar bersama lebih 100 anak yatim di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur.
Majlis yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan wang tunai kepada tiga rumah kebajikan anak yatim terpilih di Lembah Klang iaitu Pertubuhan Nur Kasih Bestari, Rumah Permata Hatiku, dan Rumah Anak Yatim Al-Sagoff.
Setiap rumah kebajikan anak yatim menerima sumbangan wang tunai bernilai RM5,000 bagi meringankan beban pengurusan terutama bagi tujuan persiapan menjelang Aidilfitri.
“RMHC Malaysia sentiasa komited menjalankan dan menyokong pelbagai inisiatif demi kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di negara ini.
"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, meraikan anak yatim dengan majlis berbuka puasa dan sumbangan untuk persiapan Aidilfitri sudah menjadi tradisi kami daripada tahun ke tahun.
"Ini juga cara kami meluaskan capaian kami dalam mendekati lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan dan pihak yang turut mempunyai komitmen yang serupa dengan kami melibatkan kesejahteraan kanak-kanak,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Presiden, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia, merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut memberikan duit raya kepada anak-anak yatim berjumlah RM100 setiap seorang daripada dana wakalah zakat MAIWP.
“Kedatangan Ramadan amat ditunggu-tunggu untuk kita semua memperbanyakkan amal jariah dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Besar harapan kami agar majlis berbuka puasa hari ini dan sumbangan yang disampaikan kepada anak-anak yatim yang hadir memberi keceriaan kepada mereka,” tambah Azmir lagi.
RMHC Malaysia merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menumpukan segenap usahanya ke arah kesejahteraan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.
Sebagai badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, sejumlah besar dana RMHC Malaysia datang daripada McDonald’s Malaysia. RMHC Malaysia turut menerima dana daripada syarikat-syarikat korporat dan individu-individu prihatin bagi pelaksanaan program-program utamanya yang berteraskan Kebajikan, Kesihatan dan Pendidikan. - KitaReporters/Kenyataan Media