USIM Kongsi Pemindahan Ilmu, Menyantuni Masyarakat Asnaf Di Sabah!
Published byMenyahut agenda universiti bagi memperkasakan USIM@community
dan USIM@Rakan Borneo, Pasukan Jemaah Professor Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM) bersama -sama pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Fakulti
Pergigian menjalankan misi kemanusiaan di Pulau Sibangkat, Semporna, Sabah
bermula pada 29 Disember 2022 hingga 2 januari 2023.
Program ini turut dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan
Semporna Prihatin, Yayasan Taqwa, Pusat Alumni dan Kerjaya dan Pusat Wakaf dan
Zakat USIM.
Menurut Profesor Dato’ Dr Zulkiple Abdul Ghani yang
mengetuai delegasi ini berkata, sebagai Jemaah profesor di universiti, adalah
menjadi tanggungjawab para pendidik, mahupun pelajar dan alumni untuk ‘turun
padang’ dalam libatsama komuniti dan pemindahan ilmu.
Jelas beliau lagi, USIM melihat potensi alumni sebagai
barisan hadapan dalam membantu masyarakat. Melalui konsep dakwah ekonomi,
alumni USIM yang telah berjaya dalam pelbagai sektor ekonomi dan perniagaan
turut menyumbang dan menurunkan manfaat terhadap masyarakat dengan membantu
dalam penyediaan pendidikan asas
terutamanya bagi masyarakat di kawasan pedalaman.
“Antara usaha-usaha menyantuni masyarakat asnaf yang telah
dijalankan oleh alumni USIM di Sabah antaranya adalah melatih guru-guru unutk
mengajar anak-anak asnaf di Pulau-pulau sekitar Sabah. Hasilnya mereka sudah mula mengenal huruf,
boleh mengira, membaca iqra dan menghafal bacaan solat”, ujarnya.
Dokor pakar dari Fakulti Pergigian yang turut sama dalam
misi ini juga tidak melepaskan peluang memberikan khidmat rawatan gigi percuma
kepada penduduk Kampung Pulang Sibangkat, Pulau Maiga dan Pulau Kulapuan dengan
kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Sementara itu, Hassan Unus alumni USIM yang juga merupakan
pengasas Pertubuhan Semporna Prihatin berkata, pelbagai aktiviti kebajikan,
kerohanian dan pendidikan telah di jayakan bersama di 5 buah pulau di pedalaman
Semporna. Turut disumbangkan sebuah generator untuk kegunaan masjid pulau sibangkat
kepada ketua kampung.
”Sesungguhnya, asnaf di pulau sangat memerlukan perhatian
masyarakat di luar sana. Mereka bukan sahaja tidak mempunyai fasiliti asas
seperti pengangkutan awam, air bersih, dan elektrik, malah bermacam-macam lagi
kemudahan yang dinikmati di Kawasan bandar tidak dapat dirasai oleh penduduk
pedalaman pulau ini.”
“Sebagai salah seorang yang turut serta dalam misi
kemanusiaan USIM ini, kami terharu melihat kesungguhan dan pengorbanan
pendidik-pendidik kami daripada USIM turun padang menyantuni asnaf terpinggir
di pedalaman pulau. Paling mengujakan kami lagi adalah, misi kami tiada
kesempatan melawat pulau peranginan seperti pulau mabul untuk “menyelam sambil
minum air. Semua pulau yang di lawati adalah pulau yang menempatkan ratusan
hingga ribuan orang fakir miskin yang terpinggir daripada arus kemodenan
negara”, tambahnya lagi.
Delegasi turut berkesempatan untuk menunaikan solat jumaat
di pulau yang diimamkan dan dikhatibkan oleh Profesor Madya Dr Muhammad Khairy
Mahyudin, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM.
Naib Canselor Prof Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani
bersama-sama Prof Dato' Dr Musa Ahmad, Prof Dr Zurina Shafiee dan Prof Datin Dr
Sapora Sipon turut serta menyertai misi pemindahan ilmu bersama masyarakat
asnaf di Sabah.