Ahli-ahli Kelab Sahoca Bikers Legends bergambar di hadapan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi sebelum ke Yayasan Perdana, Putrajaya.


Perancangan Allah Terbaik! Kita merancang. Kita pernah berangan. Kita juga pernah bermimpi. Namun tidak semua berlaku seperti yang kita inginkan. 

Apa lagi untuk bertemu muka dengan satu nama besar yang menjadi sanjungan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia. 

Satu nama yang didengar dan dipuja sejak kecil. Dijadikan inspirasi ketika bersekolah dan menikmati pembangunan dan kemakmuran di bawah pemerintahannya yang gilang gemilang ketika masih memakai pakaian seragam sekolah. 

Dan pada 7 Oktober 2024 lalu segala impian, mimpi dan angan-angan seramai 52 ahli Sahoca Bikers Legends menjadi kenyataan. 

Akhirnya Legend Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) yang sebelum itu hanya menatap gambar dan membaca kisah kehebatannya dalam media massa sahaja berada di depan mata mereka dengan senyuman yang cukup manis dan penuh bermakna. 

Beliau yang dimaksudkan hanya satu di dunia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang menjadi idola dan sumber inspirasi rakyat Malaysia khasnya alumni KSAH, Alor Setar, Kedah. 

Ride To Wisdom: A Meet With Tun M adalah program khas menyantuni bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh anjuran Sahoca Bikers Legends, Kelab motosikal bekas pelajar KSAH. 

Tambah menarik pertemuan ini juga menghimpunkan 4 generasi KSAH iaitu Dr Mahathir, bekas guru, bekas pelajar dan anak bekas pelajar. 



Seperti ahli kelab, Dr Mahathir juga teruja dengan pertemuan tersebut dan gembira dengan inisiatif dan komitmen Sahoca Bikers Legends. 

Amanat yang disampaikan oleh Dr Mahathir semasa berucap kepada ahli Sahoca Bikers Legends sangat dalam maksudnya. 

“Jadikan aktiviti bermotosikal ini sebagai sebab untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan pertolongan,“ pesannya. 

Menurut Dr Mahathir, mempunyai minat yang sama dalam motosikal membuatkan semua rakan dapat bersama-sama bersatu hati sehingga tertubuhnya kelab Sahoca Bikers Legends. 

“Sambil ride, teruskan juga dengan kerja-kerja kebajikan pada kala negara sedang ditimpa bala bencana, banjir dan malapetaka-malapetaka lain,“ ujar beliau lagi. 

Saranan Tun Mahathir disambut dengan rasa gembira oleh konvoi Sahoca Bikers Legends yang menyifatkan amanat itu sebagai peniup semangat untuk mereka lebih komited dalam beramal dan berbuat kebajikan melalui hobi bermotosikal. 


Ahmad Zahir Hamzah menyerah cederahati berupa baju korporat kepada Dr Mahathir.


“Kami semua terpegun. Hilang kata-kata. Kehadiran beliau bagaikan melihat sebutir bintang yang jatuh dari langit. Bercahaya dan membawa aura yang sangat positif untuk kami,“ kata Presiden Sahoca Bikers Legends, Ahmad Zahir Hamzah. 

Ahmad Zahir bekas pelajar KSAH Batch 1990 mengetuai 52 ahli Sahoca Bikers Legends dalam pertemuan dengan Tun Mahathir Mohamad di Yayasan Perdana, Putrajaya . 

“Kami amat teruja dengan pertemuan ini. Satu pertemuan yang sangat mahal dan bermakna sebagai bekas pelajar KSAH. 

"Kami berterima kasih dengan Tun kerana sudi menerima kedatangan kami,“ tambah Ahmad Zahir Lagi. 

Kini usia Sahoca Bikers Legends sudah 7 tahun sejak ditubuhkan pada 2017 dengan ahli-ahlinya terdiri dari bekas pelajar dan guru KSAH. 

Aktiviti mereka adalah dengan menunggang motosikal secara berkonvoi ke seluruh tempat untuk beramal, bersosial dan mengeratkan ukhuwah sesama ahli dan menyantuni masyarakat.

“Bayangkan bekas guru dan anak murid boleh bersatu dalam grup motosikal untuk menguat ukhuwah dan beramal dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang. 

"Paling tua dalam kelab berusia 67 tahun dan paling muda 23 tahun,” tambah Ahmad Zahir. 

Menurutnya, banyak perkara yang dapat dijadikan pengajaran dalam pertemuan dengan Dr Mahathir terutama dalam memelihara jati diri dan mendidik serta memperkasakan kehidupan. 

“Nasihat dan kata-kata yang lahir daripada mulutnya ibarat emas. Bernas, menyakinkan dan melekat di hati kami. 

"Beliau idola tersohor. Pemimpin negara yang dikagumi. Kami bertuah dapat peluang ini, “ tambah Ahmad Zahir. 



Sementara itu, Shukri Ahmad, bekas pelajar KSAH Batch 1991 yang juga tulang belakang di sebalik majlis ini turut teruja dan bangga dengan pertemuan manis ini. 

“Alhamdulillah. Perancangan kami berjalan lancar. Segalanya Allah permudahkan. Jawapan Tun Mahathir untuk memenuhi hajat kami  dalam program “Ride To Wisdom: A Meet With Tun M “ satu rahmat dan sudah lama ditunggu,” jelas Shukri. 

Menurut Shukri lagi, bukan mudah untuk berjumpa “abang senior kami” ini tetapi seperti kata, setiap nawaitu yang baik Allah akan makbul.

"Dan kami ahli Kelab Sahoca Bikers Legends antara yang terpilih untuk berkongsi pengalaman dan kehebatan Tun Mahathir sebagai pemimpin yang disegani di dunia,“ tambah Shukri. 

Hemrizal Che Rahim, pelajar KSAH Batch 1991 yang bertindak sebagai Ketua Konvoi juga melahirkan perasaan gembira kerana perancangan untuk berjumpa Dr Mahathir akhirnya menjadi kenyataan.

Menetap di Sungai Petani, Kedah dan berusia 50 tahun, Hemrizal masih bekerja dan aktif dengan aktiviti Sahoca Bikers Legends. 

“Bergerak dalam satu konvoi yang ramai tidak ada masalah bagi kami kerana masing-masing telah paham apa yang perlu diikuti dan dipatuhi demi keselamatan semua ahli konvoi dan selamat tiba di lokasi program. 

"Tambahan pula konvoi kali ini sangat istimewa untuk berjumpa negarawan dunia dan idola kami dari zaman sekolah hingga kini,“ katanya lagi. 


Kenangan... 52 ahli Kelab Bikers Legends bergambar bersama Dr Mahathir


Peserta paling tua, Cikgu Mazlan Abdullah berusia 67 tahun. bekas pelajar KSAH Batch 1975 turut gembira dapat bersama-sama berjumpa Dr Mahathir bersama para pelajarnya. 

“Saya merasa gembira dan bangga dapat bersama sahabat Sahoca dan bekas pelajar bertemu dengan Tun Mahathir dalam usia yang semakin bertambah. 

“Syukur kepada Allah. Pengalaman yang sangat berharga bagi saya sebagai bekas guru di KSAH. Sesuatu yang tidak pernah saya sangka akan menjadi kenyataan,” kata Cikgu Mazlan. 

Turut serta dua bekas pelajar KSAH paling muda, Muhammad Hadi Haikal Mohd Safri dan Adam Danial Ahmad Zahir masing-masing berusia 23 tahun. 

Kedua-duanya KSAH Batch 2018 dan generasi ke-4 Sahoca Bikers Legends yang aktif mengikuti konvoi jika ada kelapangan dan program. 

“Kami berterima kasih kepada Sahoca Bikers Legends kerana membenarkan kami menyertai misi istimewa ini. Walaupun masih muda tapi kami diberi layanan sama dengan ahli veteran seperti anak sendiri. 

“Peluang Ini sangat berharga untuk saya yang sebelum ini hanya mendengar nama Tun Mahathir dan cerita kejayaanya memimpin Malaysia selama 22 tahun melalui media sahaja. 

“Siapa sangka akhirnya saya dapat bergambar dan berbual dengan Tun Mahathir secara live,“ Kata Adam Danial.

Semua ahli konvoi berpuas hati dengan program Ride To Wisdom: A Meet With Tun M yang berjaya dengan cemerlang. 

Mereka menyifatkan program tersebut adalah Event Of The Year bagi Sahoca Bikers Legends. 



AJK Sahoca Bikers Legends yang mengatur program dan acara tersebut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Mahathir dan petugas YPM yang membantu dan menyantuni mereka dengan penuh mesra. 

Kepada semua wira wira Sahoca Bikers Legends yang menjayakan misi juga terima kasih atas sokongan dan komitmen.

Kita terus jalan untuk program lebih fokus untuk 2025. Once A Collegian, Always A Collegian. - KitaReporters

21
19
0
15
0

Copy Link: