Tuan Mohd. Iqhmal Kamaruddin merupakan alumni Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini bertugas sebagai Penguasa Bomba dan ditugaskan sebagai Ketua Cawangan Pendakwaan, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, JBPM Selangor. Beliau antara individu yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dan ditugaskan sebagai Penolong Komander Operasi (Stagging Officer) di Pos Kawalan Hadapan (PKH).

Sewaktu operasi pencarian, pelbagai ikhtiar yang telah dilakukan untuk mencari mangsa yang terlibat dan beliau juga antara pegawai yang akan mengetuai bacaan doa sebelum operasi bermula. Namun setelah masuk hari keenam operasi, beliau telah melaungkan azan sebelum pasukan pencarian masuk ke 'Red Zone'. Takdir Allah, setelah 15 hingga 20 minit azan dilaungkan, pasukan pencarian menjumpai mayat seorang lelaki dewasa di kawasan Sektor B. Padanya, sumbangan kecil ini tidak terbanding dengan pengorbanan anggota penyelamat yang lain. 

Beliau yang merupakan kumpulan kelima Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) di USIM dahulu berpendapat pelbagai ilmu yang dipelajari ketika menyertai unit beruniform sebelum ini dapat dipraktikkan ketika menjadi seorang ahli bomba. Beliau berharap agar semua rakyat Malaysia mendoakan agar urusan anggota penyelamat dipermudahkan hingga ke akhirnya.

28
19
0
29
0

Copy Link: