Berita Terkini| Bayi lelaki 2 bulan meninggal sewaktu dijaga pengasuh! Hari kelima dalam jagaan
Published bySeorang bayi lelaki berusia dua bulan yang baharu hari kelima dijaga pengasuh meninggal dunia setelah ditemui tidak sedarkan diri dan kebiruan dalam satu kejadian di sebuah apartmen di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 7 April 2021.
Kejadian disedari pengasuh yang berusia 50-an berkenaan kira-kira jam 3 petang ketika cuba kejutkan bayi tersebut yang sedang tidur untuk diberikan susu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata bayi tersebut tidak berikan respons sewaktu dikejutkan selain mendapati tubuh bayi berkenaan telahpun kebiruan.
"Pengasuh kemudian terus hubungi ibu bayi sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Dato Keramat bagi dapatkan bantuan. Kakitangan klinik telah cuba berikan bantuan pernafasan kecemasan namun tiada sebarang tindak balas.
"Bayi tersebut seterusnya disahkan telah meninggal dunia. Polis menerima laporan daripada pihak klinik, siasatan dilakukan tidak temui sebarang perkara mencurigakan serta kesan kecederaan.
"Laporan polis berhubung kejadian daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari, 8 April 2021. Keterangan daripada keluarga mangsa serta pengasuh berkenaan telah diambil," katanya ketika dipetik laporan Kosmo online pada 8 April 2021.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan awal bayi tersebut baharu lima hari diasuh wanita berkenaan yang tinggal bersebelahan rumah mangsa.
Katanya lagi, ibu bapa mangsa masing-masing berusia 39 dan 37 tahun dan bayi berkenaan merupakan anak bongsu daripada empat beradik. - KitaReporters