Pengalaman berpuasa di Malaysia! Pelajar antarabangsa rakam kenangan menyeronokkan dan bazar Ramadan!
Published bySebahagian pelajar antarabangsa sedang menunggu waktu berbuka puasa di MMU Cyberjaya.
PELAJAR-PELAJAR antarabangsa yang melanjutkan pengajian peringkat pengajian tinggi di Cyberjaya, berasa kagum dengan keunikan masyarakat Islam di negara ini menjalani ibadah Ramadan.
Ketika Ramadan hampir melabuhkan tirainya, mereka berpendapat peluang menjalani ibadah puasa di Malaysia telah memberi suatu kenangan indah berikutan suasana yang berbeza daripada negara asal mereka.
Abdul Kadir Md. Aminul Islam
Abdul Kadir Md. Aminul Islam, 27, dari Bangladesh, seorang pelajar pascasiswazah yang mengikuti pengajian dalam MBA di Universiti Multimedia (MMU) memberitahu, perbezaan budaya tidak menjejaskan kemeriahan dan keseronokan berpuasa fardu pada tahun ini (2024).
Dia
yang sudah dua kali berpuasa Ramadan berkata, dia tidak menghadapi sebarang
masalah untuk menyesuaikan dengan perbezaan budaya di negara ini.
"Saya amat tertarik melihat aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang dilakukan oleh masyarakat di sini. Lebih menginsafkan, bubur tersebut kemudian diagihkan secara percuma sebagai juadah berbuka puasa kepada orang ramai. Tradisi bubur lambuk seperti ini tiada di negara saya,” katanya.
Abdul Rahman Said
Sementara
itu, bagi Abdul Rahman Said, 18, pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains
Komputer (Kepujian) MMU dari Nigeria, kemeriahan bazar Ramadan adalah perkara
yang dirindui pada setiap waktu petang kerana membolehkannya membeli beraneka
juadah makanan Malaysia.
“Saya suka budaya masyarakat di sini menjalani Ramadan kerana ia sangat santai berbanding di negara saya,” katanya yang sambil menambah, Ramadan adalah masa terbaik baginya untuk merenungkan tindakan masa lalu dan melakukan lebih banyak bacaan al-Qur’an.
Doua Ellah Boukhari
Pelajar tahun kedua dari Algeria, Doua Ellah Boukhari, 21, dalam jurusan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) MMU pula berkata, Ramadan di Malaysia sedikit sukar baginya, kerana dia terlalu rindu kepada keluarganya.
"Budaya Algeria ialah memberi tumpuan kepada perhimpunan keluarga, ini telah menyebabkan ia sukar bagi pelajar seperti saya apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga," katanya yang merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar university.
Apabila ditanya tentang perbezaan yang dapat diperhatikannya dalam cara Ramadan diraikan di Malaysia, Doua berkata, "Pertama sekali, dalam hal makanan adalah berbeza, sebagai contoh, kami tidak makan nasi setiap hari. Sebaliknya, kami makan roti yang dibakar di rumah."
Sebagai
sebahagian daripada aktiviti tahunan MMU semasa Ramadan, universiti
menganjurkan Iftar Perdana 2024 untuk komuniti MMU di kampus Cyberjaya dan
Melaka pada 26 dan 27 Mac 2024.
Pelajar-pelajar antarabangsa MMU turut dijamu dengan hidangan tempatan Malaysia dalam majlis berkenaan di Surau Al-Hidayah, Cyberjaya dan Masjid Al-Irsyad, Melaka.
Turut hadir dalam acara itu adalah Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud bersama hampir 1,000 staf dan pelajar di kedua-dua kampus. - KitaReporters/MMU