Tablet berjenama percuma! Kepada pelajar Keluarga Malaysia golongan B40! Dapat keputusan CGPA 3.50!
Published byKERAJAAN hari ini bersetuju untuk memberikan peranti (gajet) yang berupa sebuah tablet berjenama terkenal kepada penerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang mendapat keputusan CGPA 3.50 ke atas atau yang setara dengannya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, kemajuan teknologi masa kini yang pesat telah meningkatkan penggunaan peranti media dalam setiap aspek khususnya bidang pendidikan, yang menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih lancar, sistematik dan berkesan.
"Majoriti pelajar yang menggunakan teknologi dalam urusan pembelajaran harian, menerima kesan positif dalam pembelajaran dan dapat menambah ilmu pengetahuan tanpa sempadan.
"Namun begitu, terdapat pelajar yang kurang berkemampuan, ada kalanya perlu meminjam peranti rakan atau terpaksa pergi ke pusat Internet di bandar semata-mata untuk menghadiri kelas dalam talian mahupun membuat tugasan pengajian.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alat peranti atau gajet
"Bagi memastikan proses pengajian para belajar B40 terus terpelihara, kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM450 juta menerusi Bajet 2022 bagi melaksanakan Insiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
"Menerusi inisiatif ini, pelajar B40 akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet, yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehinggalah mereka menamatkan pengajian nanti," kata perdana Menteri pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada Sabtu, 3 September 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Menurut Ismail Sabri, pemberian peranti ini adalah sebagai penghargaan dan diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.
"Selain itu, dalam usaha memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran dalam talian dari rumah tanpa kekangan data, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia.
"Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun (2022) ini.
"Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih," katanya lagi. - KitaReporters
Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sempena Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada Sabtu, 3 September 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam :
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) selaku peneraju inisiatif ini kerana berjaya merealisasikan pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
3. Saya turut berasa gembira kerana berpeluang bersama sama dengan mahasiswa dari pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) pada petang ini yang layak menerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia. Tahniah saya ucapkan.
4. Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia ini adalah salah satu usaha kerajaan bagi merapatkan jurang digital dengan menyediakan tablet kepada mahasiswa yang berada dalam kelompok keluarga B40.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
5. Malaysia sedang membangunkan ekosistem ekonomi digital yang inklusif berasaskan sektor pembuatan elektronik yang kukuh, bakat digital yang kompeten dan berpengetahuan tinggi, kos sara hidup yang rendah dan kadar penembusan jalur lebar yang tinggi.
6. Dalam menggerakkan agenda negara, terdapat keperluan mewujudkan strategi yang jelas, komprehensif, bersepadu dan responsif bagi mempercepat pertumbuhan ekosistem ekonomi digital.
7. Oleh itu, Kerajaan sangat komited dalam usaha ke arah era digitalisasi dan telah melancarkan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) bagi memastikan pembangunan ekonomi digital di Malaysia bersifat inklusif dan komprehensif.
8. Namun begitu, sebarang anjakan teknologi perlulah seiring dengan penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat kerana teknologi dengan sentuhan insan (technology with a human touch) sangat penting dalam memacu aspirasi pembangunan negara.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
9. Fokus utama Kerajaan adalah untuk membangunkan infrastruktur digital agar akses infrastruktur digital berkualiti tinggi dan meluas dapat menjadi asas kepada transformasi ekonomi, sosial dan pembangunan tenaga kerja berkaitan.
10. Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kerajaan termasuklah memacu transformasi digital sektor awam, meningkatkan daya saing ekonomi dan penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan, dan menyediakan infrastruktur digital untuk memastikan ketersediaan akses Internet dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
11. Langkah mewartakan telekomunikasi sebagai utiliti awam pada tahun 2021, telah memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia, termasuk kepantasan menyediakan infrastruktur digital, mengadakan rangkaian telekomunikasi yang lebih baik dan meningkatkan daya saing negara dalam arena digital.
12. Kesalinghubungan infrastruktur digital ini menjadi salah satu daripada elemen yang sangat penting kepada pertumbuhan ekonomi negara di mana ketersediaan komunikasi yang berkualiti tinggi dapat menambah nilai terhadap aktiviti ekonomi yang lebih besar dan berdaya saing.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
13. Kerajaan juga telah merangka Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memacu Malaysia ke arah kesalinghubungan digital yang lebih baik dan meningkatkan ecekapan infrastruktur negara serta mengoptimumkan penggunaan spektrum.
14. Sehingga suku pertama tahun 2022, Liputan Jalur Lebar Mudah Alih 4G di Kawasan Berpenduduk telah mencapai 95.7 peratus daripada sasaran JENDELA Fasa Satu (2020- 2022) iaitu 96.9 peratus.
15. Bagi kemajuan status pelaksanaan 5G pula, sebanyak 1,648 tapak daripada kira-kira 4,000 tapak yang dirancang bagi tahun ini telah siap dibangunkan.
16. Liputannya kini mencapai 27 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara dan khidmat langganan pula mencecah 250,000 langganan.
17. Dari segi prestasi rangkaian, laporan oleh OpenSignal pada 22 Jun 2022 menunjukkan, Malaysia menduduki tangga pertama di dunia bagi kelajuan muat naik (upload) 5G iaitu pada 50.3Mbps dan tangga kedua di dunia bagi kelajuan muat turun (download) 5G iaitu pada 382.2Mbps.
18. Melalui JENDELA Fasa 2 (2023-2025) pula, Kerajaan terus meluaskan akses perkhidmatan gentian optik kepada sembilan juta premis di seluruh negara, meningkatkan kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G, dan meluaskan liputan jalur lebar mudah alih kepada 100 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
19. Kemajuan teknologi masa kini yang pesat telah meningkatkan penggunaan peranti media dalam setiap aspek khususnya bidang pendidikan, yang menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih lancar, sistematik dan berkesan.
20. Majoriti pelajar yang menggunakan teknologi dalam urusan pembelajaran harian, menerima kesan positif dalam pembelajaran dan dapat menambah ilmu pengetahuan tanpa sempadan.
21. Namun begitu, terdapat pelajar yang kurang berkemampuan, ada kalanya perlu meminjam peranti rakan atau terpaksa pergi ke pusat Internet di bandar semata-mata untuk menghadiri kelas dalam talian mahupun membuat tugasan pengajian.
22. Bagi memastikan proses pengajian para belajar B40 terus terpelihara, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM450 juta menerusi Bajet 2022 bagi melaksanakan Insiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
23. Menerusi inisiatif ini, pelajar B40 akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet, yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehinggalah mereka menamatkan pengajian nanti.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
24. Umum mengetahui bahawa Inisiatif PerantiSiswa ini diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) di mana mahasiswa perlu serahkan semula peranti setelah tamat pengajian.
25. Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara YB Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.
26. Justeru, pada hari ini sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk memberikan peranti yang berupa sebuah tablet berjenama terkenal ini kepada penerima PerantiSiswa yang mendapat keputusan CGPA 3.50 ke atas atau yang setara dengannya.
27. Pemberian peranti ini adalah sebagai penghargaan dan diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.
28. Selain itu, dalam usaha memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia.
29. Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.
30. Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
31. Dalam majlis ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan juga bahawa Kerajaan akan meluaskan lagi penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi untuk memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.
32. Penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia di kampus dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.
33. Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak Kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.