Bantu mangsa banjir! Skuad Ihsan Madani KPT UMT dilancar! Juga perkenal bantuan Bakul Ihsan Madani!
Published by/
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan misi kemanusiaan melalui Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) UMT bagi membantu mangsa banjir yang terkesan akibat fenomena Monsun Timur Laut.
Inisiatif itu melibatkan lebih 100 sukarelawan pelajar yang komited dalam memberikan bantuan kepada komuniti yang terjejas di negeri Kelantan dan Terengganu.
Misi itu difokuskan kepada membersihkan barangan keperluan rumah yang rosak akibat bencana banjir, selain menyampaikan bantuan Bakul Ihsan Madani berupa barangan keperluan asas berjumlah RM20,000.
Lokasi utama yang menjadi sasaran bantuan tersebut termasuk daerah-daerah yang teruk terjejas di Kelantan dan Jerteh, Terengganu.
Penyelaras misi, Shafie Umardi @ Kamarol Bahrin menyatakan bahawa UMT terpanggil untuk menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan misi bantuan bencana ini.
“Ahli keluarga pelajar UMT turut terkesan dengan bencana ini, terutama yang berada di Kelantan dan Terengganu. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu semampu mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Misi Sukarelawan Pelajar, Adam Qayyum Rasukhan, berkongsi bahawa pengalaman sebagai sukarelawan telah membentuk nilai empati dan fleksibiliti dalam diri mereka.
“Melalui misi ini, kami belajar untuk memahami keperitan yang dialami mangsa banjir. Ungkapan terima kasih dan senyuman daripada mangsa menjadi sumber semangat untuk kami terus memberikan bantuan walaupun penat,” ujarnya.
Adam juga menegaskan bahawa penglibatan dalam kerja-kerja sukarelawan memberikan nilai tambah kepada pembelajaran pelajar.
"Kami turut mempelajari ilmu praktikal daripada pelbagai agensi dan universiti lain. Sukarelawan tidak dibayar bukan kerana mereka tidak berharga, tetapi kerana mereka tidak ternilai harganya,” katanya.
Pelancaran Skuad Ihsan Madani KPT UMT itu mencerminkan nilai keprihatinan tinggi yang diterapkan kepada pelajar UMT.
Melalui penglibatan aktif dalam misi itu, pelajar bukan sahaja memberikan khidmat kepada masyarakat, tetapi juga menanamkan semangat kebersamaan dan memperkukuh hubungan antara komuniti dan institusi pendidikan.
Misi Skuad Ihsan Madani KPT UMT menjadi bukti nyata bahawa nilai insani dan empati sebagai asas penting dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berjiwa besar dan prihatin terhadap masyarakat. - KitaReporters/Kenyataan Media