Bagi bina karakter belia dan perkasa negara bangsa! ABIM dan MBM sokong pelaksanaan semula PLKN!
Published byAngkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) percaya bahawa pembinaan karakter belia dan pemerkasaan negara bangsa boleh dicapai melalui perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Perkara ini ditegaskan oleh Naib Presiden ABIM yang juga Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM), Zairudin Hashim sewaktu Sesi Perbahasan Usul dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang berlangsung pada 23 November 2023, di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras.
ABIM dan MBM menekankan bahawa PLKN perlu dilaksanakan dengan menyeimbangkan antara modul latihan ketenteraan dan literasi tatanegara, bagi memperkasakan jati diri generasi muda di samping memupuk patriotisme tinggi dalam jiwa mereka.
Zairudin Hashim
ABIM dan MBM menyokong sepenuhnya pelaksanaan PLKN dengan harapan ia juga menerapkan nilai kemanusiaan, supaya para peserta dapat lebih memahami soal hak asasi manusia dan penderitaan mereka yang dizalimi seperti di Palestin.
ABIM percaya bahawa kemelut yang berlaku di negara kita ketika ini adalah kerana kita kurang berkomunikasi dan berinteraksi antara kaum dan agama yang berbeza.
ABIM menegaskan hal ini menyebabkan berlakunya perang politik identiti akibat kurangnya sifat saling menghormati dan membantu.
ABIM memetik bagaimana Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden ABIM ketika mengupas topik Kosmopolitanisme Islam dan Pembinaan Bangsa Malaysia (Ucapan Dasar Presiden ABIM 2020), menekankan soal peri pentingnya perpaduan dan saling berkongsi nilai yang sama dalam kalangan Bangsa Malaysia yang bertamadun, seperti menolak rasuah dan saling bantu apabila berlakunya musibah atau bencana alam.
Malahan, ABIM menyingkap tamadun agung Islam silam seperti di Andalusia yang turut berinteraksi dengan tamadun Hindu dan China untuk belajar bagaimana mengembangkan teori Matematik dan mencetak buku pada harga yang lebih murah.
ABIM menegaskan bahawa inilah semangat "Li Ta'arafu", yang bukan hanya bermaksud seruan untuk saling mengenal, malah supaya kita saling berinteraksi dan menghormati dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
ABIM menegaskan bahawa pembinaan karakter belia dan pemerkasaan negara bangsa sangat penting untuk kita rangkul. Dan program PLKN adalah platform yang sangat baik. - KitaReporters/Kenyataan Media