Baru-baru ini tular program anjuran sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang, Selangor yang menerima satu sumbangan daripada salah sebuah syarikat minuman keras bagi sebuah konsert amal.

Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius isu ini kerana jelas ia melanggar garis panduan atau Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 Kementerian Pendidikan (KPM) yang melarang sebarang sumbangan melibatkan hasil jualan aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras.

MBM senada dengan KPM yang menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah KPM wajib mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian dalam penganjuran program serta penerimaan sumbangan agar tidak bercanggah dengan nilai-nilai murni dan prinsip pendidikan yang holistik.

Penerimaan dana daripada syarikat arak ini dilihat akan memberikan persepsi negatif dan mencalarkan imej serta integriti sekolah sebagai tempat pembinaan sahsiah dan akhlak generasi muda.

MBM menegaskan bahawa pendidikan adalah bidang yang perlu dipelihara daripada pengaruh yang boleh menjejaskan moral dan etika pelajar.

MBM menyeru agar semua institusi di bawah KPM untuk lebih cakna tentang sumbangan dan tajaan yang diterima oleh mereka dan tidak mengulangi perkara ini. 

MBM juga menyarankan agar KPM memperketat lagi kawalan dan pemantauan terhadap penerimaan dana daripada pihak luar demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan pelajar serta sekolah.

MBM berdiri teguh bersama KPM dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara yang bebas daripada pengaruh negatif dan mengekalkan nilai-nilai murni berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 


Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


7
19
0
9
0

Copy Link: