Terbaiklah MyCC! Denda 5 syarikat bentuk kartel makanan ayam! Kartel-kartel lain bila pula? - PPIM
Published byPersatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memuji tindakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda berjumlah RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk “kartel makanan ayam” untuk menetapkan harga.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap pihak yang memanipulasi harga barangan sehingga menyebabkan rakyat berada dalam keadaan tertekan untuk mendapatkan bekalan barangan asas.
"Makanan ayam mewakili 72.8 peratus daripada jumlah kos pengeluaran ayam berbanding faktor lain, sudah tentu kenaikan harga makanan ayam secara langsung menjejaskan harga ayam yang merupakan antara sumber protein utama penduduk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada 22 Disember 2023.
Tambah Nadzim kos yang menyumbang kepada kos pengeluaran ayam termasuk harga anak ayam (21%), tenaga kerja (2.6%), pengangkutan (1.7%), vaksin/vitamin (1.0%), dan utiliti seperti air serta elektrik (0.9%).
Sehubungan itu, PPIM turut mendesak tindakan sama diambil ke atas kartel-kartel lain seperti daging, telur, minyak masak dan beras.
"Semua barangan ini adalah barang makanan asas pengguna di Malaysia, pihak berkuasa harus bertindak tegas dan lebih proaktif dalam menangani isu masalah kenaikan harga barangan yang semakin diluar kawalan," katanya.
Kata Nadzim, kerajaan juga harus mencari langkah jangka panjang bagi memastikan perkara ini tidak berulang dan tindakan undang-undang tidak dilakukan secara one-off atau bermusim.
"Tindakan harus berterusan, dan kami di PPIM sedia bekerjasama untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan boleh diambil," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan juga harus berwaspada terhadap apa jua tindakbalas kartel terhadap rangkaian bekalan protein terbesar ini. Kami yakin pihak berkuasa pasti sudah menjangkakan kesan jangka panjang dan pendek terhadap tindakan ini dan merangka strategi yang sesuai untuk memastikan bekalan dan harga bekalan tidak naik. - KitaReporters/Kenyataan Media