Alhamdulillah, Wadah-ABIM-PKPIM (WAP) telah menganjurkan Seminar Nasional Peradaban Madani bersempena Ijtimak Harakiy Kebangsaan WAP ke-7 di The Everly Hotel, Putrajaya pada 9 Disember 2023. 

Program yang dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri, Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir ini dianjurkan dengan hasrat mendukubg agenda Malaysia Madani yang diangkat sebagai dasar Kerajaan Malaysia.

Dr. Zambry dalam pidatonya menekankan soal cabaran kesiapsiagaan terhadap zaman pascanormal dalam membawa Islah dalam masyarakat. 

Beliau juga memetik pandangan Almarhum Prof. Dato' Dr Siddiq Fadzil (bekas Presiden Wadah Pencerdasan Umat atau Wadah) berkenaan kepentingan peranan kaum pemikir dalam mendidik dan menggerakkan masyarakat berdasarkan risalah Nabi Muhammad SAW.

Bertemakan "Peradaban Madani: Kebangkitan Nusa & Anjakan Global", seminar ini turut dilatari dengan sambutan setahun pascapenubuhan kerajaan Perpaduan Malaysia. 

Penganjurannya adalah tepat dalam memperkukuh usaha merealisasikan agenda Malaysia Madani seterusnya mengangkat tamadun Khayra Ummah.



Program penuh bermakna yang dihadiri para tetamu dalam dan luar negara ini menyaksikan Dato Ahmad Azam Ab Rahman (Presiden WADAH), Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia atau ABIM) dan Ahmad Farhan Rosli (Presiden persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM) menyampaikan Ucapan Dasar masing-masing.

Ketiga-tiga Presiden WAP menekankan perlunya wujud kesediaan untuk saling berdialog, berinteraksi dan belajar dari kearifan di sekeliling kita. 

Diharapkan tatkala kita memartabatkan agenda Madani ke peringkat antarabangsa, kita juga meletakkan nilai-nilai murni Islam untuk berperanan sebagai peneraju pendekatan wasatiyyah dalam pengamalan hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence).

Semoga gagasan Malaysia Madani ini dapat menghasilkan kejayaan dalam membina sebuah peradaban yang gemilang. 



Sementara itu, pada sebelah malamnya, alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Makan Malam & Pidato Melakar #NahdahUmmah Sempena Ijtimak Harakiy Kebangsaan Kali Ke-7 Wadah, ABIM dan PKPIM yang telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan mantan Presiden ABIM Ke-2.

Bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya, DSAI mengupas mengenai Nahdah Ummah; mengupas sejarah dan dinamika kebangkitan Islam berdasarkan pengetahuan dan pengalaman panjang dalam perjuangan.

DSAI menzahirkan penghargaan di atas kehadiran para senior aktivis sezaman dengan beliau yang setia dengan perjuangan gerakan dakwah, pelajar dan belia dalam acara ini. 

Dalam ucapannya, beliau menyinggung cabaran pengalaman awal dalam gerakan Islam yang memerlukan kebijaksanaan hikmah dalam dakwah. 

Tatkala ilmu yang terbatas serta asakan pemikiran Barat yang kuat, gerakan ini menumpukan pengisian dari sudut peningkatan kefahaman yang mendalam. 

Tambah beliau, susulan cabaran semasa, nahdah atau kebangkitan dengan kesedaran dan pencerdasan menjadikan tanggungjawab lebih berat. 

DSAI menegaskan bahawa kita harus bekerja lebih kuat, tersusun dan bersungguh-sungguh memberi pencerahan kepada umat.



Hadir sama antaranya, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan); Dr. Zambry (Menteri Luar); Mustapha Sakmud (Timbalan Menteri Sumber Manusia); dan ramai lagi.

Program ini turut diserikan dengan persembahan Puisi Perjuangan oleh Zairudin Hashim (Naib Presiden ABIM); Ustaz Hasri Harun (Timbalan Presiden Wadah) dan Nazmi Putra (Timbalan Presiden PKPIM).

Membugar kembali idealisme, intelektualisme, aktivisme, spiritualisme dan silaturahim antara 3 generasi gagasan besar WADAH-ABIM-PKPIM.

Kami di WADAH-ABIM-PKPIM menzahirkan rasa jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakan media, tetamu, petugas dan semua yang mendoakan kejayaan program ini.


Azizuddin Ahmad, Pengerusi Ijtimak Harakiy Kebangsaan Kali ke-7 WADAH-ABIM-PKPIM


14
12
0
10
0

Copy Link: