Ditemani sawah menghijau, angin sepoi-sepoi bahasa! Bersantai dan jamu selera di Warung Tepi Sawah!
Published by
Pelbagai jenis nasi disediakan di 'Warung Tepi Sawah'. Pilih sahaja apa hendak dirasa.
“Sawah luas terbentang
Hijau nan
mengawan
Jauh
pandangan
Di situ
tempat permainan”
(Lagu ‘Seruling Anak Gembala’ nyanyian Jefrydin, iringan The Siglap Five)
Pengunjung menikmati sarapan pagi di 'Warung Tepi Sawah', Bintong, Kangar, Perlis.
Memang indah pemandangan sawah nan menghijau, saujana mata memandang. Dengan tiupan bayu pagi dan dingin hujan renyai, alangkah seronoknya menikmati sarapan pagi di warung di kelilingi sawah bendang.
Ini
pengalaman menyeronokkan ketika penulis menikmati sarapan pagi di ‘Warung Tepi Sawah’
di Bintong, Kangar, Perlis baru-baru ini. Ketika itu pula padi sudah mula
masak. Maka warna hijau dedaun padi diserikan dengan warna kuning keemasan.
Tidak jauh di persekitaran pula terdapat banyak pohon mempelam harumanis menghijau, daunnya lambai melambai ditiup bayu. Namun kerana ia bukan musim mempelam berbuah, tidak ada buah bergayutan pada pokok.
Sate dan nasi dagang pun ada untuk memenuhi cita rasa pengunjung 'Warung Tepi Sawah'.
‘Warung Tepi Sawah’ yang mula beroperasi pada 2017 merupakan lokasi popular, tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi dari luar Perlis. Malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bersantai sambil menikmati juadah di warung berkenaan.
Pengunjung dari luar yang sudah pernah berkunjung ke warung tersebut, pasti berkunjung semula
apabila datang ke negeri Indera Kayangan. Perjalanan menuju lokasi pun
menyeronokkan dengan pemandangan pokok dan sawah menghijau serta gunung ganang
di kejauhan.
Sejak awal pagi warung sudah mula dipenuhi pelanggan. Semakin lama semakin ramai yang datang bersama-sama kawan-kawan atau keluarga. Pelbagai jenis makanan dan kuih muih sajian istimewa Perlis menanti untuk dinikmati.
Lempeng kelapa cicah gulai ikan kembong antara menu popular di 'Warung Tepi Sawah'.
Antara menu popular ialah lempeng kelapa cicah kari ikan kembung, nasi lemak, nasi berlauk, nasi minyak, nasi dagang, satay, pulut ikan masin, roti bakar, roti goyang, mi dan bihun, cucur udang dengan kuah kacang, ubi cicah kelapa parut dan macam-macam lagi.
Menariknya, makanan ini disediakan menurut gerai yang disusun dalam warung berkenaan.
Hendak nasi lemak, tuju sahaja gerai tersebut. Begitu juga jika hendak lempeng, pulut, roti bakar dan lain-lain. Ini memudahkan pelanggan membuat pilihan.
Pelbagai makanan ala Barat juga disediakan di 'Warung Tepi Sawah'.
Usah bimbang mengenai tempat duduk. Warung ini mempunyai ruang luas untuk kemudahan pelanggan. Bukan sahaja di bahagian bawah, di tingkat atas juga terdapat tempat duduk yang luas.
Ramai yang suka duduk di bahagian bawah tetapi ramai juga yang memilih naik ke tingkat atas. Mungkin kerana dari atas mereka dapat melihat kawasan yang lebih jauh dan luas sambil dibuai angin sepoi-sepoi bahasa.
'Warung Tepi Sawah' di Bintong, Kangar, Perlis tumpuan ramai menjamu selera.
Harga makanan dan minuman berpatutan. Rasaya enak menyelerakan. Ini antara sebab warung ini sentiasa menjadi tumpuan, di samping layanan mesra daripada para petugas.
Apabila berkunjung ke negeri Perlis, jangan lepaskan peluang menikmati makan minum di ‘Warung Tepi Sawah’.
Rasai sendiri keseronokan bersantai sambil menjamu selera di tepi sawah, satu suasana yang benar-benar menyegarkan jiwa dan minda.
Padi yang mula masak menyerlahkan warna kekuningan di celah daun-daun hijau.
Selesai menjamu selera, boleh melawat beberapa destinasi pelancongan terkenal di Perlis seperti ladang anggur, Gua Kelam, Sungai Batu Pahat, Muzium Kayang dan lain-lain. Atau terus sahaja ke Padang Besar atau Wang Kelian untuk membeli belah. - KitaReporters