LEBIH RM40 juta kerugian dengan 13 kematian mangsa seluruh negara direkodkan akibat serangan gajah sepanjang tempoh lima tahun lalu. Konflik manusia dan gajah berlaku disebabkan kegiatan guna tanah seperti pembukaan kawasan untuk perladangan dan pertanian yang mengakibatkan kehilangan serta pemisahan habitat gajah.

Keperluan gajah untuk mendapatkan makanan banyak serta kawasan berkeliaran yang luas juga meningkatkan risiko berlakunya konflik manusia dan gajah. Rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PeRHILITAN) Semenanjung Malaysia melaporkan kerugian yang besar daripada konflik manusia dan gajah setiap tahun.

Menyedari situasi itu amat membimbangkan, Felda menubuhkan Felda Achieving Co-existence with Elephants Squad atau Skuad ACE. Ia bagi menangani  isu-isu serta permasalahan membabitkan konflik manusia dan gajah di tanah Rancangannya di seluruh negara. 

Skuad ACE terima tauliah sempena Hari Peneroka Felda 2024, pertama di Malaysia! Kawal ancaman gajah dan wujudi hubungan mesra dengan manusia!  


Timbalan Pengarah Besar Operasi Felda, Izham Mustaffa, berkata gajah ialah spesies terancam dan  menjadi  tanggungjawab secara  bersama  kerajaan melalui Jabatn  PERHILITAN bersama badan-badan bukan  kerajaan  (NGO) serta badan swasta lain  untuk memastikan kelangsungan hidup haiwan darat terbesar di Malaysia itu.

Beliau berkata, Felda yang  memikul tanggungjawab menjaga kepentingan  komuniti peneroka  dan generasinya mempunyai fungsi memastikan konflik antara kedua-dua makhluk itu (manusia dan gajah) dapat ditangani dengan baik tanpa mengakibat kerugian kepada mana-mana pihak.

"Skuad  ACE terdiri daripada 36 Penyelia Tanah Rancangan termasuk komuniti peneroka. Dan, mereka ialah skuad pertama yang ditauliahkan dengan harapan menjadi titik pemula kepada kewujudan bersama manusia dan gajah di tanah rancangan Felda. 

Izham Mustaffa


"Skuad ini akan menjalankan fungsi kawalan serangan gajah melalui memantau pergerakan dan koordinasi kedudukan haiwan itu di rancangan masing-masing.

"Penyelia Rancangan yang ditauliahkan itu akan berkongsi pengetahuan serta memberi pendedahan kepada warga peneroka berkaitan pengurusan kawalan gajah supaya skuad yang dibentuk dapat menjalankan fungsi dengan berkesan.

"Skuad  ini  akan bekerjasama dengan PERHILITAN jika terdapat  insiden-insiden yang boleh mendatangkan ancaman bahaya kepada petugas dan masyarakat peneroka," katanya pada Majlis Perlantikan Skuad ACE serta penyampaian hadiah Cabaran Bioblitz sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di MAEPS, Serdang, Selangor pada 12 Julai 2024.

Pemenang Cabaran BioBlitz 2024 bergambar kenangan bersama Abdul Kadir (tiga dari kiri) dan Izham (lima dari kiri).


Ia dirasmikan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk  Abdul Kadir Abu Hashim. Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Sulaiman Salikan  

Pada majlis itu juga, Abdul Kadir menyampaikan hadiah Cabaran Bioblitz 2024 kepada tiga pemenang iaitu Ahmad Tajuddin Jakalpeli dari Tanah Rancangan Felda Chemomoi (Juara), Mohd Najib A Manap dari Tanah Rancangan Felda Adela (Naib Juara) dan Aisyah Anis Lop Hazari dari Tanah Rancangan: Felda Teloi Kanan (tempat ketiga).

Cabaran  BioBlitz yang diadakan selama dua bulan bermula 1 Mei 2024 bertujuan mendidik warga Felda kepentingan biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan warga  tanan rancangan itu selain menghasilkan inventori spesies flora dan fauna di kawasan kampung dan ladang Felda.

Ia mendapat kerjasama PERHILITAN, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), NEST dan FGV. 

Abdul Kadir Abu Hashim


Sementara itu, Abdul Kadir memuji usaha Felda menubuhkan Skuad ACE kerana ia amat baik bagi menangani konflik membabitkan hubungan manusia dan gajah. Skuad itu adalah inisiatif pertama di Malaysia membabitkan pasukan kawalan pengurusan  gajah.

Beliau berkata, ia cara berkesan bagi mengurangkan impak kemasukan gajah ke ladang khususnya di tanah rancangan dan skuad terbabit akan memantau serta memastikan gajah keluar dari kawasan ladang, membuat pemeriksaan pagar elektrik, memasang unggun api dan mengenal pasti kawasan hotspot gajah.

"Skuad ini juga akan diberikan pendedahan asas berkaitan sifat dan tindak tanduk gajah, apa yang perlu dilaksanakan jika berhadapan dengan haiwan itu selain dibekalkan dengan Kit Gajah bagi digunakan dalam mengawal kemasukan gajah di ladang dan kampung.

"Skuad ACE akan memberi impak positif kepada ekonomi negara kerana Felda adalah agensi yang terbabit membangun tanah perladangan paling luas dan memberi sumbangan antara yang tertinggi kepada pengeluaran minyak sawit di dunia," katanya.

Pegawai Pertanian Felda, Nurhidayah Mohamad Zubir (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Sulaiman Salikan yang mengambil bahagian dalam program ceramah sempena Hari Peneroka Felda 2024.


Hari Peneroka Felda 2024 yang diadakan di MAEPS menerima sambutan hebat di kalangan pengunjung dari seluruh negara.


Beliau mengakui, perkembangan terkini terutama tekanan daripada Kesatuan Eropah (EU) kononnya industri sawit gagal memelihara biodiversiti dan kelestarian alam agak merisaukan.

"Namun, insya-Allah kita akan membuktikan melalui inisiatif penubuhan skuad ACE, ia bukan hanya membabitkan kawalan gajah tapi haiwan-haiwan lain termasuk tapir dan enggang.

"Saya juga kagum dengan usaha Felda menganjurkan Cabaran BioBlitz 2024 kerana hasil daripada dua bulan pertandingan itu, sebanyak 4,422 spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat ditemui. Syabas kepada semua pemenang," katanya lagi.



Air balang mendapat sambutan menggalakkan pengunjung disebabkan cuaca panas sempena Hari Peneroka Felda 2024.


Dalam perkembangan yang sama, pelbagai acara dan pameran menarik diadakan sempena Hari Peneroka Felda yang diadakan selama tiga hari, dari 12 sehingga 14 Julai 2024.

Sambutan Hari Peneroka Felda yang julung kali diadakan tiga hari pada tahun ini (2024) mendapat sokongan daripada 12 kementerian, agensi dan rakan strategik yang mengambil bahagian.Bagi memberi peluang pengunjung mendapatkan pelbagai produk Felda, 'mini mart' menawarkan produk FGV dengan harga yang amat berpatutan, selain karnival kerjaya dan pameran pendidikan.

Sambutan Hari Peneroka Felda adalah program terbesar dilaksanakan dalam program lembaga itu dan menjadi wadah bagi menghargai warga peneroka tanah rancangan itu yang wujud sejak 68 tahun lalu. - KitaReporters


Selain durian, pelbagai buah-buahan lain seperti manggis dan langsat dijual dengan harga berpatutan sempena Hari Peneroka 2024.

19
11
1
12
0

Copy Link: