SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menggunakan jentera pembersihan bagi kerja-kerja sapuan secara automatik yang sesuai digunakan di kawasan bandar terutama di sekitar kawasan pelancongan di Bandar Raya Melaka. 

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, penggunaan jentera ini adalah komitmen dan inisiatif tambahan SWM Environment dalam usaha berterusan memastikan kebersihan di kawasan tumpuan pelancong bertepatan dengan kempen dan galakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang dilancarkan oleh kerajaan negeri. 

“’Jentera Dream C&G Road Sweeping Robot DCG-RCB200 digunakan bagi kerja-kerja pembersihan awam dengan lebih cekap dan optimum selain mampu menjadi salah satu tarikan di kawasan pelancongan di sekitar kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir,” jelas beliau. 



SWM Environment telah menetapkan zon operasi jentera ini di sekitar Zon Bebas Kenderaan (Car Free Zone) di Bandar Hilir pada Sabtu setiap minggu bermula jam 6 petang hingga 12 malam yang akan dikendalikan oleh seorang pekerja operasi SWM Environment Melaka secara manual atau automatik menggunakan alat kawalan jauh bergantung kepada kesesuaian dan keperluan kawasan lokasi pembersihan. 

Katanya, jentera ini berfungsi menggunakan bateri yang dapat bertahan sehingga lapan (8) jam waktu bekerja. 

Selain itu, beacon light bagi jentera ini menggunakan tenaga solar yang mesra alam dapat melindungi keselamatan pekerja dan orang ramai di sekitar lokasi pembersihan ketika kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan. 

Jentera ini mampu menampung sejumlah 100 liter sampah pada satu-satu masa. Jentera ini dapat membersihkan kawasan seluas 3,000 meter dalam satu jam menggunakan berus sapuan dan ia juga dapat bergerak dalam radius 2 ke 3 kilometer per jam ketika melakukan kerja pembersihan serta berupaya membuat pusingan 1.3 meter. 



Antara ciri-ciri keselamatan jentera ini adalah alat pengesan (sensor) yang mampu mengesan objek 45 darjah ke bawah di bahagian hadapan dan jentera ini juga boleh berhenti secara automatic sekiranya terdapat halangan. 

Jentera pintar ini turut dilengkapi dengan dua berus sapuan dan sedutan di bahagian depan yang mampu memasuki ruang sempit di samping salur penyedut berkuasa yang dapat melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan seperti jalan raya dan laluan pejalan kaki. 

Pada 15 Oktober 2023 lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut berkesempatan melihat sendiri pengoperasian jentera pintar ini sebagai sebahagian gimik utama majlis pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Sungai Melaka Fasa 2 yang disempurnakan beliau. 

Ia adalah salah satu penghormatan kepada SWM Environment dalam usaha memastikan Melaka Bandaraya Bersejarah ini sentiasa bersih dan indah demi keselesaan semua. - KitaReporters/Kenyataan Media


 

16
15
0
12
0

Copy Link: