DUA lagi hospital di Kedah memerlukan kontena sejuk beku sebagai persediaan menempatkan mayat pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo berkata, Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi hanya mempunyai beberapa peti mayat.

Pada masa ini tiga buah hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Kulim masing-masing sudah mempunyai satu kontena sejuk beku, sumbangan badan bukan kerajaan (NGO).

"HSB kita perlu sediakan sebuah lagi kontena tambahan berikutan kontena sebelum ini hanya mampu menempatkan 20 jenazah pesakit Covid-19.

"Sudah ada beberapa pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kontena sejuk beku ini. Kita akan agihkan mengikut keperluan," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian pada Jumaat, 6 Ogos 2021.

Dr Othman, berkata berikutan kes pesakit Covid-19 yang semakin meningkat di Kedah, pihaknya akan berbincang untuk menghantar pesakit Covid-19 negeri ini ke Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang, sekiranya terdapat keperluan.

Katanya, hospital medan berkenaan sudah menyatakan kesediaan untuk membantu berikutan hospital itu mampu menampung pesakit kategori empat dan lima. - KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: