WALAUPUN pernah beberapa kali memimpin dua kalimah syahadah untuk mereka yang kembali ke agama fitrah, namun hari ini (25/10/2019) adalah situasi yang amat berbeza bagi aktivis agama dan penceramah bebas, Bro Firdaus Wong Wai Hung.



Bagi Bro Firdaus, selepas 14 tahun memeluk agama Islam dan kini menjadi Presiden bagi pertubuhan bukan kerajaan, Multiracial Reverted Muslims, pimpinan dua kalimah syahadah untuk ibunya sendiri adalah satu detik yang pasti tidak akan dapat dia lupakan. 

“Ini bukan syahadah pertama yang saya kendalikan tetapi ini adalah syahadah yang saya paling nervous dan sebak kerana yang mengucap syahadah ini adalah ibu saya sendiri. Saya tidak dapat menahan air mata saya seusai ibu saya mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluknya,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik ke Facebook.


Sebaik sahaja ibu Bro Firdaus selesai mengucapkan dua kalimah syadah, kelihatan dua anak beranak itu berpelukan yang turut menyaksikan masing-masing menangis kegembiraan.

Bro Firdaus melahirkan kesyukuran kepada Allah dan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan beliau yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan dalam membolehkan Islam dikenali ramai.

Malah, beliau turut berharap ayah, kakak, abang, anak saudara, keluarga mertua beliau akan turut sama menjejaki usaha yang dilakukan oleh ibunya itu.

"Jazakumullahu Khairan kepada sahabat yang sering menyokong dan mendoakan kami. Teruskan sokongan dan doa anda. Berharap selepas ini ayah, kakak, abang, anak saudara, keluarga mertua saya juga dikurniakan hidayah oleh Allah Subhana Wa Ta’ala. Allahuma Ameen. 
"Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. Doakan kita semua istiqomah di dalam Islam dan mati sebagai Muslim. Allahuma Ameen."

Status yang dimuat naik ke akaun Facebook beliau itu mendapat lebih 49,000 sukaan dengan perkongsian 10,000 dengan 13,000 komen yang rata-rata melahirkan kesyukuran dengan apa yang berlaku.

Bro Firdaus merupakan aktivis dan penceramah yang sering membantu mereka yang bukan beragama Islam mendalami agama berkenaan melalui pelbagai ceramah di jalanan dan juga di Facebook atau melalui aktiviti Multiracial Reverted Muslims (MRM).

Ketika ini, Bro Firdaus menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang tidak menyukai usaha beliau mempertahankan agama Islam selepas dia mempertikaikan cubaan untuk menghidupkan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), di mana Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy turut disiasat polis tentang pembabitan ahli politik itu.

Malah, beliau turut  pernah menerima ugutan bunuh selepas mempertahankan Islam dengan memberikan pendapatnya mengenai agama Hindu, namun difitnah oleh seorang individu menggunakan nama Arunakiri Nathan di laman Facebook yang mendorong seorang pemilik akaun bernama Pandian Sam membuat komen ugutan bunuh. 



Bro Firdaus yang sudah beristeri dan mempunyai empat anak sanggup melepaskan kerjaya sebagai ketua pengurus kewangan di sebuah syarikat antarabangsa dengan gaji lima angka demi mencari keredaan Allah SWT.

Namun apa yang menariknya ialah, kedua-dua ibu bapanya merupakan mereka yang paling kuat menyokong usaha dakwahnya walaupun ketika itu kedua-dua ibu bapanya itu bukanlah seorang Muslim.

 

Hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim”. (HR. Bukhari dan Muslim).

Gambar-gambar ©  Facebook Firdaus Wong Wai Hung

6
1
0
0
0

Copy Link: