MERIAHKAN HARI ASYURA DENGAN AMALAN PARA NABI

Published by
KitaReporters
HARI ke-10 bulan Muharam dikenali sebagai " Hari Asyura ". Ia adalah simbol pengabdian kemenangan Nabi Musa Alaihi Salam ( A.S). Pada hari ini juga ia merupakan bala dan kehancuran Firaun.

Sehubungan dengan itu setiap individu Muslim yang berpuasa sunat Asyura pada hari itu diumpamakan berpuasa penuh selama satu tahun kerana ibadah tersebut diamalkan oleh para nabi terdahulu.

Disifatkan sebagai Hari Kasih Sayang setiap Muslimin disaran melakukan amalan kebaikan, menambah pahala dengan meningkatkan hubungan silaturahim, beribadah, banyakkan sedekah terutama kepada  anak-anak yatim dan lain-lainnya.

Pada Hari Asyura ini juga diperlihatkan kepada kita tentang kerjasama dan kesepakatan pengikut Nabi Nuh A.S. yang turun dari kapal salepas belayar kerana banjir besar. Mereka sama-sama menyumbang dan bergotong-royong memasak saki baki bekalan makanan untuk dijadikan bubur.

Mungkinkah peristiwa ini bermula wujudnya bubur Asyura? Tidak ada nas dam dalil mengenai perkara ini.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, mereka meraikan Hari Asyura dengan mengadakan majlis memasak bubur Asyura secara gotong-royong, selain melakukan sembahyang sunat, berpuasa dan ibadah-ibadah lain yang dituntut oleh agama.

Dalam teks khutbah Jumaat keluaran Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) yang dibacakan Khatib di masjid-masjid pada Jumaat lalu antara lain menekankan supaya umat Islam memperbanyakkan amalan saperti yang dilakukan oleh para nabi.

Hindarkanlah perlakuan amalan yang bertentangan dengan pegangan Mazhab Ahli Sunnah Waljamaah. Jauhkanlah daripada aktiviti ekstrem saperti mana yang diamalkan oleh puak-puak Syiah, Khadiyani, Nasrani dan Majusi.

Gantikanlah konsep memuliakan hari yang penuh barakah ini dengan cara dan kaedah yang lebih realiti, produktif dan efesen sesuai dengan kemuliaan serta keagungan Islam itu sendiri.

Malahan bersempena dengan tahun baru Maal Hijrah 1441 pada 1 Muharam lalu kita sewajarnya berhijrah dalam erti kata penghijrahan secara total merangkumi pelbagai aspek ciri ciri kehidupan.

Janganlah penghijrahan yang dilakukan hanya kepada perkara-perkara tertentu tanpa mampu merubah aktiviti kehidupan lalu.

Jika kita ingin maju dan menjadi individu yang sentiasa dalam keberkatan, penghijrahan yang dilakukan perlu ada pengisian seperti yang dituntut oleh Islam termasuk meninggalkan segala amalan yang ditegah dan dilarang.

Untuk itu mulakanlah penghijrahan yang mudah dengan mempraktikkan amalan yang selalu dilakukan oleh kalangan ulama dan ilmuwan Islam melalui budaya hidup seharian mereka. Selain itu, lakukanlah amalan-amalan yang selalu dijadikan sebagai kegiatan harian para ambia.

Di sini sesuai juga jika kita mulakan penghijrahan dengan mempraktikkan amalan yang selalu dibuat oleh para nabi sempena Hari Asyura di mana ia dituntut oleh Islam dan bakal diberikan ganjaran setimpal.

Terdapat beberapa amalan  yang dituntut dan bakal diberi ganjaran besar oleh Allah S.W.T pada 10 Muharam antaranya :


1) BERPUASA : Jika ada individu yang melakukan ibadah puasa Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa kecilnya bagi tempoh setahun lalu. Dosa besarnya akan diringankan. Darjat atau kedudukannya ditingkatkan serta diberi pahala 10,000 malaikat, 10,000 kali pergi Haji dan Umrah, 10,000 kali syahid serta diharamkan neraka.

Niat puasa Hari Asyura. Maksudnya, " Sahaja aku berniat puasa sunat Hari Asyura kerana Allah Taala,"

2) MANDI SUNAT ASYURA :  Sesiapa yang melakukannya  tidak akan mengalami sakit kepala yang serius pada tahun itu. jika mandi awal pagi dengan niat yang maksudnya, " Sahaja aku mandi sunat Hari Asyura kerana Allah Taala,".

3) MEMAKAI CELAK : Jika seseorang melakukan amalan ini dengan izin Allah ia tidak akan mengalami sakit mata dalam tempoh setahun.

4) MEMELIHARA KEHORMATAN DIRI :   Allah akan mengurniakan kehidupan individu yang terlibat sentiasa diterangi cahaya keimanan.

5) MENAHAN MARAH :  Para pengamal yang berjaya melakukannya Allah akan masukkan mereka dalam golongan yang diredai-Nya.

6) MEMBACA SURAH AL-IKHLAS 1,000 KALI : Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat pada hari akhirat nanti.

7) MENJAMU ORANG BERBUKA PUASA :  Melalui amalan sebegini mereka yang terlibat bakal dikurniakan pahala seperti memberi orang Islam lain berbuka puasa hingga kenyang.

8) SOLAT SUNAT HARI ASYURA 4 RAKAAT:  Dosa mereka Allah akan ampunkan dalam jangka masa 50 tahun.

9) MEMBACA KALIMAH HASBIYALLAH : Yang maksudnya, "cukuplah Allah yang memeliharaku dan sebaik-baik wakil. Sebaik-baik Tuhan dan sebaik-baik Pemberi Pertolongan," Insya-Allah  tidak dimatikan pada tahun ini.

10) MEMBACA DOA ASYURA : Allah tidak akan mematikannya pada tahun ini tetapi bila ajalnya sampai ia tidak diberi taufik membacanya.

11) BERSEDEKAH :  Allah akan menjauhkan dari neraka seperti sejauh seekor gagak terbang tanpa henti dari kecil hingga ia mati dan diberi pahala saperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

12) MELAPANGKAN MASA BERBELANJA DENGAN ANAK ISTERI :  Allah akan banyakkan pemberian, luaskan rezeki untuk sepanjang tahun dan lapangkan hidupnya pada tahun berkenaan.

13) MENGUSAP KEPALA ANAK YATIM : Allah menaikkan satu darjat dan mengurniakan sebatang pokok di syurga bagi setiap helai rambut yang dibelai.

14) MEMULIAKAN FAKIR MISKIN : Individu yang melakukan amalan ini Allah akan lapangkan dirinya ketika di dalam kubur.

15) MENUNJUKKAN ORANG SESAT : Sesiapa yang melakukan amalan tersebut Allah akan memenuhkan cahaya keimanan di dalam hati seseorang yang sentiasa mengamalkannya.

7
0
2
0
0

Copy Link: