TAHU TAK? BAIK BURUK ANAK BERASASKAN BAIK BURUK KITA

Published by
KitaReporters
INSTITUSI Kekeluargaan memainkan peranan penting dalam membentuk acuan masyarakat positif dan berwawasan pada masa depan di negara ini.

Dr. Zamri Zainal Abidin bersama Roslan Muhamad dua ahli panel yang menjayakan ceramah "Anak Kunci Ke Syurga"  di Surau Al Munawarah, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan baru-baru ini.


Sehubungan itu, ibu bapa  perlu berganding bahu sama-sama bertanggungjawab melahirkan ahli keluarga yang positif, produktif dan inovatif pada berbagai aspek.

Bagi menjayakan hasrat ini, pendidikan berorentasikan Islam wajar diberikan perhatian, di samping tidak mengabaikan aliran akademik dan keduniaan.

Anak-anak yang diibaratkan sebagai sehelai kain putih merupakan aset penting keluarga, masyarakat dan negara mampu dicorakkan kehidupan mereka sama ada sebagai Yahudi atau Nasrani melalui pendidikan serta contoh tauladan ibu bapa.

Sekiranya institusi kekeluargaan bagi suatu keluarga lebih  memberi tumpuan kepada aliran pendidikan seperti ini di samping gandingan bidang akademik dan duniawi sudah tentulah sebuah keluarga yang berjaya, bahagia dan harmoni mampu diwujudkan.

Beberapa orang Ahli Jawatankuasa program menyambut ketibaan Dr. Zamri di pekarangan surau.


Pendakwah bebas yang juga bekas selebriti  TV9 melalui program Mari Mengaji suatu ketika dahulu, Dr Zamri Zainal Abidin yang juga lebih dikenali  dengan trademarknya "Zamri Mantop" berkata, pembentukan institusi kekeluargaan yang menitikberatkan pendidikan berorentasikan Islam berupaya menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat saperti yang  berlaku hari ini.

Isu keruntuhan moral dan akhlak, penyalahgunaan pelbagai barangan terlarang, pergaulan bebas antara bukan mahram, jenayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai isu negatif yang melanda masyarakat dan negara akhir-akhir  ini berpunca daripada institusi kekeluargaan yang tidak bahagia serta dalam keadaan kucar kacir.

Situasi ini  berlaku disebabkan ibu bapa yang menjadi individu penting dalam institusi berkenaan tidak memainkan peranan sewajarnya menerapkan nilai-nilai  berorentasikan Islam sebenar.

Malahan ibu bapa menunjukkan contoh tauladan yang kurang sesuai dan tidak wajar kepada ahli-ahli  institusi keluarga berkenaan sama ada dalam pergaulan di rumah atau di luar, tingkah laku, dan hubungan kekeluargaan tidak mesra.

Satu teknik mengosok tangan sebagai langkah mengelakkan daripada mengantuk dan leka semasa mendengar ceramah dilakukan oleh Dr. Zamri bersama semua yang hadir.


Anak-anak dalam pergaulan harian mereka menjadikan ibu bapa masing-masing sebagai idola, jika mereka lebih bersikap negatif dalam apa juga aspek termasuk soal akhlak, pergaulan, adab sopan dan sebagainya bila bersama rakan ini mencerminkan keadan sebenar ibu bapa mereka.

Kata Dr Zamri, hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard menunjukkan 83 peratus anak-anak terkesan dengan apa yang dilihat mahupun yang dilakukan ibu bapa dan ahli keluarga lebih berusia berbanding dengan pergaulan bersama kawan-kawan.

Beliau menyatakan perkara ini dalam ceramah di Surau Al Munawarah, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan atas tajuk "Anak Kunci Ke Syurga" baru-baru ini. 

Bersama beliau menjayakan ceramah berkenaan, Roslan Muhamad, Penasihat Program TV9 Tanyalah Ustaz dan Pengerusi PERKIM Selangor.

Menurutnya, konsep doa dalam kehidupan perlu diberi perhatian serius sama ada ia diamalkan ketika beribadah atau pada bila-bila masa sahaja kerana melaluinya boleh merubah kehidupan seseorang daripada bersikap negatif kepada membina jati diri untuk sentiasa berserah kepada Allah.

Wakil penganjur menyampaikan cenderahati kepada Dr. Zamri.


Sebagai ibu bapa kita kenalah sentiasa bersikap positif dalam mendidik anak-anak dan bila membuat teguran perlu berhemah dan tidak menyinggung perasaan anak-anak.

Jadikanlah mereka sebagai rakan karib unntuk berbincang dan merungkai pelbagai masalah yang dihadapi sebagai aspek mewujudkan keluarga sakinah dan berwawasan.

Beliau memberitahu, 80 peratus individu Melayu Islam di Malaysia tidak menunaikan solat hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui tinjau kaji oleh Dr Roslan, seorang pakar psikiatri.

Keadaan ini perlu diubah jika kita ingin maju dan berjaya di dunia dan akhirat kerana solat merupakan tuntutan agama yang wajib ditunaikan.

Malahan melalui solat, seseorang mampu memperolehi ketenangan dalam kehidupan harian dan dapat menyelesaikan pelbagai masalah dengn berkesan melalui doa dilakukan.

Malahan sikap ibu bapa yang selalu melakukan taubat dan sujud kepada Allah merupakan suatu corak pendidikan yng perlu ditauladani.

Dalam mendidik anak-anak, kita sebagai ibu bapa kenalah bersikap toleransi bagi membolehkan mereka menerima secara baik setiap teguran mengenai perkara-perkara yang kurang sesuai dan melekakan dalam kehidupan harian 

Sebagai contoh Dr. Zamri memberikan gambaran anaknya sendiri yang gemar menonton program TV K-Pop dan Senitron Filem Indonesia. 

Untuk menyelesaikannya, beliau terpaksa mengambil masa yang agak lama dan sesuai untuk menerangkan kebaikan antara kedua-dua rancangan TV berkenaan jika dibandingkan dengan filem kisah nabi-nabi. 

Akhirnya masalah tersebut dapat dirungkai dengan berkesan hingga sekarang anaknya tidak lagi leka dengan program TV berkenaan satelah diberikan penjelasan.

Hadiah penghargaan disampaikan kepada Roslan Muhamad oleh pihak penganjur.


Roslan Muhamad pula berkata, isu anak-anak masa kini selari dengan pelbagai masalah negatif negara dan ia boleh diselesaikan melalui kombinasi erat dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Isu keruntuhan moral, masalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, kemerosotan ekonomi dan sebagainya mampu diatasi dan diselesaikan jika institusi kekeluargaan dan masyarakat bersatu padu sama-sama menyediakan platform melahirkan generasi masa depan dengan pendidikan intergrasi merangkumkan antara aliran agama yang berorentasikan Islam dengan bidang akademik bercirikan keduniaan.

Kesilapan kita mendidik anak-anak dengan cara tidak sesuai dan kurang betul secara tidak langsung boleh merencatkan perkembangan berfikir positif dalam kalangan mereka.

Katanya, dalam hubungan dengan keluarga, jadikanlah sebagai kawan rapat yang boleh dibawa berbincang bagi menyelasaikan  perkara-perkara sesuai. Tunjukanlah kemesraan tanpa segan silu. 

Beliau optimis mengamalkan doa dalam kehidupan seharian kerana boleh membantu seseorang menjadi individu sentiasa bertaqwa dan mengingati Allah yang merupakan antara ciri keluarga berjaya.

Tiga kategori doa yang diterima Allah dan salah satu daripadanya doa ibu bapa kepada anak-anaknya supaya menjadikan anak bangsa yang beriman dan berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

Katanya, kedua-dua ibu bapa perlu sama-sama melakukan perkara yang dituntut oleh agama supaya setiap doa dan perbuatan diredhai Allah.

Kesilapan pembentukan institusi kekeluargaan boleh merencatkan kemajuan negara pada masa akan datang, lebih-lebih lagi jika anak-anak bakal generasi masa depan dibiarkan terpengaruh dengan pelbagai gejala negatif tanpa dibendung.

0
0
0
0
0

Copy Link: