MOH KITA "INGAT NABI, SEBUT NABI, JAGA NABI"
Published byMENYAYANGI dan mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar diserlahkan dengan mengadakan majlis atau berarak sempena keputeraan baginda SAW pada 12 Rabiul Awal setiap tahun. Yang lebih penting, dalam mengingati baginda SAW, umat Islam hendaklah menghayati dan mencontohi sikap dan pekerti mulia baginda SAW untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.
USTAZ Roslan Mohamed menyampikan ceramah.
Dalam ceramah santai
“Rasulullah SAW Qudwah Buat Kita” di Surau Al-Falah Danau Kota, Setapak, malam Jumaat lalu, pendakwah selebriti, Ustaz Roslan Mohamed menegaskan, Rasulullah SAW hendaklah
dijadikan ‘role model’ dalam kehidupan seharian.
“Ini kerana baginda
adalah insan mulia dan sebaik-baik contoh ikutan,” kongsi beliau dengan para
penduduk Taman Danau Kota yang hadir
pada ceramah tersebut.
Ceramah diadakan sempena
keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal. Ia anjuran bersama Surau Al Falah
dan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad yang terlibat aktif dalam bidang dakwah,
pendidikan dan ekonomi umat Islam.
SURAU AL-FALAH, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Menurut Roslan yang sering muncul dalam program agama TV seperti ‘Forum Perdana Ehwal Islam’ dan ‘Tanyalah Ustaz’, mengadakan majlis atau berarak belum mencukupi untuk menunjukkan rasa kasih dan cinta kepada junjungan mulia itu.
Beliau menegaskan, tiada salahnya majlis atau perarakan tetapi yang lebih penting ialah pengajaran daripada sambutan itu atau apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Ertinya, dalam meraikan keputeraan Rasulullah SAW, umat Islam wajar menanamkan sifat-sifat dan pekerti mulia baginda SAW dalam diri serta kehidupan seharian.
“Mengingati baginda SAW mesti diriingi dengan mencontohi baginda SAW contoh dalam pelbagai perkara seperti sikap, tingkah laku, tutur kata, kepimpinan dan pelbagai lagi.
“Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan umat Islam kerana segala sifat dan pekerti terpuji yang baginda SAW miliki,” kata Roslan yang juga mantan pensyarah kanan di Universiti Malaya.
SEBAHAGIAN jemaah yang mengikuti ceramah sempena keputeraan Nabi Muhammad SAW di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak malam Jumaat (7/11/2019) lalu.
SEBAHAGIAN lagi jemaah yang hadir mendengar ceramah.
Sambutan keputeraan Rasulullah SAW, katanya, tidak wajar dianggap sekadar hari keputeraan biasa sahaja.
Sebaliknya, jadikannya untuk memperbaiki diri dengan menghayati dan memahami susur galur kehidupan baginda SAW, perjuangan baginda dan mencontohi segala sifat terpuji baginda SAW.
“Contohi sifat dan akhlak pekerti mulia baginda SAW. Buat apa yang disuruh, tolak semua yang dilarang.
“Ikutlah cara Rasulullah SAW beramal dan beribadat. Ikuti akhlak Rasulullah SAW dan buang segala sifat-sifat keji,” kata Roslan.
Selain itu, beliau mengingatkan agar umat Islam sentiasa bersalawat ke atas Rasulullah SAW sebagai tanda ingatan dan Rasulullah SAW sahaja yang mampu memberi syafaat pada hari kiamat.
Menurutnya, umat Islam mestilah menghargai pengorbanan Rasulullah SAW yang menempuh pelbagai cabaran, penderitaan, peperangan serta pelbagai ujian lain dalam berdakwah mengembangkan agama Islam.
Umat Islam, kataya, beruntung kerana menerima Islam dalam keadaan berkembang kukuh hari ini dibandingkan dengan peringkat awal dakwah Rasulullah SAW yang penuh dengan pelbagai rintangan.
JEMAAH yag hadir mendengar ceramah keputeraan Nabi Muhammad SAW.
Justeru, kata Roslan, amat wajar kita sentiasa mengingati dan mencintai Rasulullah SAW dalam kerangka kehidupan melalui tiga ciri penting iaitu ‘Ingat Nabi’, ‘Sebut Nabi’ dan ‘Jaga Nabi’.
“Ingat Nabi SAW bererti beramal seperti baginda SAW beramal. Bila kita ingat Nabi SAW, kita akan nampak jalan terang bercahaya yang menjadi pedoman,” katanya.
‘Sebut Nabi’ pula ialah sentiasa bersalawat ke atas Rasulullah SAW dan amalan itu biar melekat pada minda seperti kita memakai pakaian.
“Salawat adalah juga benteng kita daripada godaan syaitan, malah boleh menjadi pendinding kemarahan,” kata Roslan.
‘Jaga Nabi’ bererti menjaga amalan dan melakukannya menurut amalan Nabi SAW serta mengambil akhlak Nabi SAW sebagai panduan hidup.
“Sentiasalah membaca sirah Nabi. Binalah kehidupan, bentuklah akhlak pekerti kita seperti Nabi Muhammad SAW dalam lakaran kehidupan kita,” kata Roslan.
AHLI JAWATANKUASA Surau Al-Falah bersama Roslan (enam dari kiri). Pengerusi surau, Zainuddin Ariffin tiga dari kiri.
BANNER Yayasan Muslimin.