SIRI SATU :
HARI ini Yayasan Coral Malaysia (YCM) membaca satu petisyen dihantar kepada Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) yang menyebut coral atau karang, boleh dipropagasi tapi tidak boleh dijual atau dieksport.

Jadi melalui pentas KitaReporters saya akan mula menulis mengenai asal usul Persatuan Coral Malaysia sebelum menjadi Yayasan Coral Malaysia yang ditubuhkan sejak 2003 dengan fokus pelbagai program dan kempen untuk konservasi marin. 

Selepas lebih 10 tahun menjadi aktivis konservasi marin dengan tugas mencipta program dan kempen, mencari penaja dan akhirnya melaksanakan program yang 99 peratus secara percuma kepada pencinta laut, YCM akhirnya akur dengan arahan tidak boleh 'meminta sedekah' sepanjang masa tapi mula mengadakan program yang boleh menjana pendapatan untuk persatuan, pencinta laut dan masyarakat setempat.

Justeru, saya akan memulakan siri penulisan mengenai alam marin dengan bagaimana YCM 'terjebak' dengan projek penternakan atau propagasi coral yang dikenali sebagai Coral Farm atau Ladang Coral.

Siri 1:

BAGAIMANA PROJEK PENTERNAKAN CORAL BERMULA


Semuanya bermula di Pulau Bidong, sebuah pulau kecil yang pernah menjadi penempatan pelarian atau orang hanyut Vietnam, sehingga 1994.  Bertemu Baharim Mustapha, pegawai Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan mengenali pulau kecil yang tidak berpenghuni tapi memiliki khazanah laut tidak ternilai harga - usaha penternakan coral hanya berlaku selepas kami hampir kehabisan 'idea' untuk melakukan program konservasi marin.

Sejak menjejakkan kaki ke Bidong pada 2005, YCM dan UMT bergabung tenaga - mengadakan lima, enam program bersama setiap tahun. Kami meraikan Hari Bumi, Hari Pemuliharan Alam Sedunia, Hari Merdeka, di samping mengadakan program Anak Laut untuk menarik anak muda yang 'takut air' dijadikan penyelam berlesen.

Dan pencapaian paling gah kami ialah mencipta Galeri Dasar Laut Malaysia (Malaysia Underwater Gallery) iaitu tapak tukun tiruan bereka bentuk yang menjadi 'playground' bukan saja penyelam skuba tapi hidupan marin.

Dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri Terengganu ketika itu, YCM dan UMT pernah diiktiraf sebagai 'penjaga kepulauan Bidong' kerana tidak putus-putus mengadakan program konservasi marin. 

Dari sebuah 'pulau hantu' - Bidong menjadi meriah setiap kali kami mengadakan program. Kerjasama ini telah menyaksikan Bidong berubah wajah, UMT mendapat fasiliti amat selesa, Kerajaan Negeri turut membina jeti 'paling cantik'  dan pulau ini juga semakin popular kerana saban bulan ada saja beritanya  tersiar di media massa.

Ketika melihat ada kawasan 'coral mati', kami juga secara 'main-main' menternak coral untuk tujuan konservasi. Itu berlaku sebelum saya meninggalkan syarikat Berita Harian dan menjadi wartawan yang membantu Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri.

Sebagai pembantu menteri, saya menjemput  Ismail untuk bertemu nelayan Terengganu di Stesen Penyelidikan UMT di Bidon, secara santai. Program ini bukan saja memberi peluang kepada kawan-kawan  nelayan untuk mengenali Menteri, malahan ia turut disertai Jabatan Perikanan yang  sebenarnya ketika itu telah memulakan Projek Penternakan Coral di Kuala Lumpur dan Port Dickson.

Beberapa pegawai DoF diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Abu Hassan, telah memperkenalkan cara-cara propagasi coral kepada kami. 

Sebagai Menteri yang proaktif dan melihat ada peluang untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan, Ismail Sabri, telah memandang kepada saya dan mengarah melakukan 'kajian pasaran' dengan kemungkinan boleh eksport.

Kami di YCM dan UMT 'terpana' juga dibuatnya. Tapi bila Menteri sudah memberi 'arahan' DoF pantas mengambil tindakan, terus mendaftar untuk menjadi peserta kepada pameran 'Inter Zoo' di Nuremberg, Jerman, pada 2014.

Saya dan Sham Hosni menjadi wakil YCM dan Baharim, menjadi wakil UMT, dengan semua kewangan ditanggung kami sendiri. Wakil DoF ialah Keua Pengarah sendiri, bersama En Daud Awang dari Sarawak dan En Saufi dari Batu Maung.

Kami dari YCM dan UMT ke Jerman dengan 'zero knowledge' mengenai coral, pakarnya ialah Daud dan Saufi, DoF membuka beberapa gerai pameran untuk produk perikanan dan satu daripada untuk coral dari Malaysia. 

Saya, Sham dan Baharim hanya hadir untuk bercakap mengenai coral di Malaysia dengan risalah 'simple',   DoF menyediakan akuarium dan beberapa coral -  yang kami juga kurang pasti dari mana.

Pameran selama 5 hari dan dengan 'booth' bersaiz 10 x 10, kami diterjah lebih 70 syarikat yang berminat untuk membeli coral dari Malaysia. 

Pada pameran itu, baru kami tahu coral rupanya diletak di bawah kategori 'binatang ternakan' dan Indonesia merupakan pengeksport terbesar, di samping beberapa negara CTI lain. Melihat begitu banyak booth Indonesia dengan size begitu besar, di samping coral yang pelbagai, kami bertiga macam 'rusa masuk kampung' - tidak tahu apa yang perlu dibuat.

Namun demi menjaga nama Malaysia, kami ceritakan betapa gahnya coral yang ada di negara ini, sedangkan sekeping coral pun belum diternak. 

Agak panik dengan sambutan untuk membeli 'coral dari Semenanjung Malaysia', kami membuat keputusan menutup booth awal kerana tidak sanggup lagi menerima permintaan dari syarikat yang berminat.

Kami kembali ke Malaysia dengan semangat untuk mula menternak coral, tapi sudah pastinya dengan tunjuk ajar dan berguru dengan pakar-pakar dari DoF. 

Dan pemilihan tapak penternakan di Pulau Bidong sudah berada di fikiran semua terbabit, kerana pulau kecil ini bukan di bawah Taman Laut dan tidak berpenghuni, coral-coralnya memang cantik dan tidak rosak seperti pulau peranginan lain.

Tiba saja di tanah air, projek ini diberi laluan ekspress oleh DoF, terlalu laju sehingga kami tidak sempat berfikir pro dan kontra, apa lagi dalam isu membabitkan pemilihan peserta, bentuk syarikat dan proses yang perlu dilalui sebelum dibenar menternak coral.

Saya terutama tidak boleh berkata ' tidak' kepada projek ini, kerana ia adalah arahan 'Big Boss' yang mahu menjadikan projek ini satu industri baru terutama kepada golongan nelayan muda, yang ketika sedang panas  dengan kempen 'Jihad Orang Tengah' .

Kami melalui proses ke arah projek penternakan coral (karang) seperti 'orang buta' yang tongkatnya di pegang oleh pegawai2 DoF.

Bersambung Siri 2

1
0
0
0
0

Copy Link: