MEREVOLUSIKAN INDUSTRI PENTERNAKAN KARANG DI MALAYSIA

Published by
KitaReporters
SIRI EMPAT :
SEKEMBALI dari Bali, Indonesia, pada Disember, 2014 , Yayasan Coral Malaysia mulai  nampak gambaran lebih jelas corak perjalanan untuk mewujudkan sebuah revolusi dalam industri penternakan marin.

Nampak mudah atas kertas, tapi pelaksanaannnya amat perit terutama apabila kami perlu ‘berjalan sendiri’ dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) hanya bekerja keras untuk mendapat kelulusan penternakan dasar laut dari CITES Geneva dan panel jawatankuasa yang meluluskan termasuk Jabatan Taman Laut yang ketika itu terletak di bawah Kementerian Alam Sekitar.

Pusat Ikan Hiasan (PIH) memberikan ruang yang besar dan luas kepada kami, tetapi sistem yang digunakan PIH  ‘ketinggalan zaman’. Penternakan hidupan marin di sana – corals (karang), kuda laut dan ikan hiasan – masih menggunakan kaedah lama terutama lampu panjang putih yang menyaksikan coral yang diternak sama ada bertukar coklat, warna pudar dan banyak yang mati.

Kami diberi kawasan yang boleh memuatkan 10 barisan tangka akuarium – yang tiap satu ‘line’ menggunakan akuarium kecil yang tidak sesuai untuk digunakan untuk penternakan corals.

Disebabkan bajet yang terhad, YCM mengambil keputusan untuk ‘membina semula’ dua ‘line’ lama PIH - dengan menggantikan akuarium gelas yang lebih rendah dan besar, sistem aliran air masin  menggunakan kaedah lebih moden, lampu yang sesuai untuk coral dan memastikan ujian ‘air’ (water reading) dibuat setiap masa.

Ketika itu, kami mula mendapatkan nasihat pakar penternak coral swasta yang rupa-rupanya begitu banyak di seluruh negara.

Kami memulakan usaha dengan membina semula dua ‘line’ (keseluruhan 24 tangki akuarium) dengan cubaan membabitkan semua 22 genus coral yang diluluskan DoF.

Mendapati usaha menternak acropora spp. di PIH tidak menjadi (hampir semua bertukar warna coklat) kami membuat keputusan untuk menternak spesis ini hanya di dasar laut Pulau Bidong.

Dengan isu jarak begitu jauh – Pulau Bidong – Merang – Kuala Lumpur – PIH Port Dickson – kami membawa balik corals sebulan dua kali. Meredah lebih 500 km setiap ‘trip’ yang memakan masa lebih 15 jam, selama lebih 2 tahun.

Dengan hanya seorang pekerja di PIH (ketika itu belum mempunyai fasiliti di Kuala Lumpur), kami meneruskan usaha dengan sumber kewangan semakin sukar. 

Ketika di PIH, kami melakukan ujian eksport ke Kanada sebanyak 2 kali pada 2016 dan pembeli datang ke Kuala Lumpur, mengajar kami banyak perkara termasuk cara penternakan, cara pembungkusan dan sistem akuarium.

Bagaimanapun, kami membuat keputusan menghentikan eksport kerana banyak isu berbangkit berlaku dalam usaha untuk mengembangkan projek ini.

Disebabkan kekurangan modal kami memohon bantuan dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang melihat ini sebagai industri baru dan bantuan diluluskan disalurkan terus kepada DoF negeri.

Tanpa merujuk kepada ‘specification product’ yang kami senaraikan (dan permohonan tender kami ‘hilang’), semua barangan dibeli kontraktor dilantik langsung tidak boleh digunakan.

Lampu sepatutnya lebih banyak spektrum biru, disediakan lampu merah, manakala gelung atau gelung (coil) tembaga disediakan bukan aluminium tapi kuprum –  semua tahu kuprum bila diletak dalam air masin terus akan larut dan merosakkan semua akuarium.
Bayangkan lapan line akuarium membabitkan 96 tangki besar semua rosak, tidak boleh digunakan, manakala lampu yang diberi lebih sesuai untuk membela ‘daun ketum’.

Justeru, YCM hanya boleh meneruskan operasi dengan hanya dua line (24 tangki) yang kami buat sendiri. Tambahan 8 line lagi dengan peruntukan dari EPU, semua rosak dan tidak boleh digunakan.

Siapa patut bertanggungjawab? Kami hanya mampu tersenyum pahit kerana menerima layanan ‘sebegitu rupa’, nasihat dan rayuan kami langsung tidak dilayan.

Malahan, usaha untuk mendapat corals dari perairan Port Dickson untuk ujian  R & D, juga tidak dilayan – semua yang mereka ambil masuk di dalam akuarium besar PIH, tapi mati dalam tempoh tidak sampai 3 bulan.

Barulah kami terasa betapa kecewanya inkubator-inkubator lain yang terpaksa ‘menyerah kalah’ kerana tidak menerima bantuan dan nasihat serta tunjuk ajar daripada mereka yang sepatutnya lebih ‘pakar’ daripada kami.

Rasanya semua inkubator penternakan coral sebelum YCM hari ini hampir semua ‘tutup kedai’ kerana tidak mendapat sokongan diharapkan. Cuma mereka bernasib baik kerana pinjaman Tekun hanya RM50,000.

Tapi YCM tidak boleh menyerah kalah kerana hutang RM500,000, mahu tidak mahu kami perlu membayar setengah juta ringgit itu.

Kecewa dengan keadaan berlaku, YCM bernasib baik kerana Mara bersetuju meminjamkan RM1 juta – untuk usaha penstrukturan semula keseluruhan projek ini.

Dengan pinjaman Mara ini, kami membina sendiri kedai akuarium di premis disewa di Puncak Bukit Jalil, Seri Kembangan, dan mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkannya.

Tahun 2017, kami siapkan fasiliti di Bukit Jalil dan kami juga terpaksa bekerja keras membetulkan persepsi negatif mengenai projek ini.

Isu yang sama dicetuskan oleh orang dan kumpulan yang sama sekarang -  manusia tidak boleh memegang coral, cuma boleh propagasi untuk tujuan konservasi, tetapi tidak boleh dikomersialkan.

Betapa gahnya kumpulan penyelam elit ini, yang periuk nasi ramai antara mereka bergantung kepada keindahan alam marin – baik sebagai pemilik pusat peranginan atau operator selam skuba.

Bila bercakap mereka saja yang bijak dan mereka saja yang menjaga alam marin ini, manakala NGO lain (pada mereka) adalah manusia yang menjahanamkan coral dan hidupan laut.

Kerana itu, apabila saya mewujudkan Yayasan Coral Malaysia pada 2010 – niat saya sebagai wartawan - hanya untuk memastikan nasib alam marin ini mendapat publisiti dan pembelaan sewajarnya.

NGO ini dengan tajaan pelbagai syarikat dan agensi kerajaan – melaksanakan  sekurang-kurangnya lima program besar setiap tahun, melancarkan pelbagai kempen melindungi hidupan marin, mewujudkan skuad Anak Laut yang menarik anak-anak muda untuk cintakan laut.

Kami juga mewujudkan produk Galeri Dasar Laut Pertama Malaysia/Asia iaitu satu daripada  6 program yang kini terselit dalam Rekod MBOR.  Dua lukisan dasar laut negara kini tersimpan di arkib Balai Seni Lukis Negara.

Manakala, pengenalan Ladang Coral (Karang) bukan saja untuk membantu golongan nelayan menjana pendapatan menerusi penternakan ladang coral di dasar laut, bahkan ia adalah projek yang sepatutnya mendapat perhatian umum kerana akhrinya terbukti bahawa coral ini boleh diternak.

Penternakan coral kini boleh menjadi satu daripada jalan penyelesaian utama kepada krisis kepupusan coral disebabkan perubahan cuaca, bencana alam, pembangunan, bahkan sikap dan tindakan manusia itu sendiri.

Dengan bersandar pada empat (4) tonggak – pendidikan, konservasi, restorasi dan komersial – YCM gabungkan semua tonggak ini bagi menyusun model untuk membantu menangani krisis yang sedang melanda hidupan marin ini, di samping mencipta pendapatan baru kepada nelayan dan golongan muda yang mahu menjadikan laut sebagai sumber rezeki.

Tidak rosak semua pulau peranginan dengan adanya penternakan di  Teluk Pasir Tenggra, Pulau Bidong ini, sebaliknya jika berjaya ia boleh dijadikan model untuk usaha ke arasi konservasi dan restorasi kawasan selaman yang semakin rosak hari ini.

Hendak saja saya bertanya apa sumbangan pengkritik-pengkritik projek penternakan coral ini, selain daripada cuba menggariskan polisi yang akhirnya akan menguntungkan diri mereka sendiri.

Siri kelima nanti saya akan cerita bagaimana Telekom Malaysia menawarkan 20 penyelamnya untuk menjadi perintis kepada semua tonggak ini melalui program Insiatitif Pendidikan Marin.

Bersambung Siri 5

4
0
0
0
1

Copy Link: