'UiTM Mobile Nursing Care' menawarkan perkhidmatan pernjagaan kesihatan terbaik di rumah dengan menyediakan pelbagai kaedah penjagaan dan rawatan.


PERLUKAN khidmat jururawat di rumah? Tidak perlu bersusah payah mencari agensi penyedia perkhidmatan, atau pening hendak membuat pilihan. Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedia memberi khidmat perawatan yang diperlukan.

Perkhidmatan kejururawatan ini dikenali sebagai ‘UiTM Mobile Nursing Care’ atau ‘Penjagaan Kejururawatan Bergerak UiTM’. Ia merupakan inisiatif penjagaan kesihatan profesional oleh Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Puncak Alam, Selangor.

Ini merupakan langkah baharu UiTM dalam penjagaan kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan kejururawatan profesional terus ke pintu rumah. Pasukan jururawat mahir, lelaki dan perempuan, memastikan pesakit menerima penjagaan peribadi dalam keselesaan rumah sendiri.


Sedia berkhidmat! Antara anggota pasukan 'UiTM Mobile Nursing Care', Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Punchak Alam, Selangor.


Kemampuan ‘UiTM Mobile Nursing Care’ menyediakan perkhidmatan rawatan terbaik di rumah tidak harus diragui memandangkan pasukan ini daripada UiTM, sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersohor di negara ini.

Menurut Unit Korporat dan Visibiliti, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, khidmat ini dijalankan oleh jururawat bertauliah untuk memenuhi keperluan kesihatan warga UiTM dan juga komuniti luar yang memerlukan rawatan di rumah. 

Apa juga keperluan penjagaan kesihatan di rumah akan dilakukan sebaik mungkin oleh jururawat terlatih dan berpengalaman. Mereka berkemahiran dalam tugas serta berupaya memenuhi keperluan pesakit.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pencucian luka, penukaran tiub makanan dan tiub buang air kecil, sedutan kahak untuk melancarkan pernafasan dan suntikan Subcutaneous (SC).

Suntikan Subcutaneous ialah proses suntikan untuk memasukkan ubat ke bahagian tisu berlemak pada kulit. Bahagian berlemak menyerap ubat dengan baik. Ia merupakan kaedah biasa memasukkan ubat seperti insulin untuk penghidap kencing manis. Juga suntikan ‘blood thinners’ atau penipisan darah.

Selain itu, perkhidmatan ‘UiTM Mobile Nursing Care’ ialah pemantauan tekanan darah dan ujian gula darah, mandi lap untuk pesakit terlantar serta khidmat nasihat penjagaan kesihatan. Khidmat nasihat ini sangat berguna sebagai panduan kepada pesakit menjaga diri dan kesihatan masing-masing. 


Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, Punchak Alam Selangor, menyediakan perkhidmatan jururawat terus ke pintu rumah untuk warga UiTM dan masyarakat. 


Mungkin ada yang berfikir kenapa memilih perkhidmatan ‘UiTM Mobile Nursing Care’? 

Ada beberapa ciri yang mewajarkan pesakit membuat pilihan. Antaranya, ia merupakan perkhidmatan eksklusif oleh tenaga kerja UiTM yang profesional dan berdedikasi.

Selain itu, perkhidmatan dijamin berkualiti tinggi, selamat dan memenuhi piawaian industri. Ia memudahkan pesakit kerana penjagaan terus ke rumah tidak memerlukan mereka ke hospital.


Sebahagian pelajar Universiti Brunei menjalani latihan di Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam baru-baru ini.


Kepada yang berminat mendapatkan perkhidmatan ‘UiTM Mobile Nursing Care’ boleh menghubungi talian 03-32584544. Juga boleh menghubungi melalui [email protected].

Untuk makluman, liputan perkhidmatan ini terbuka kepada pelajar UiTM dan orang ramai yang berada di Puncak Alam, di mana terletaknya kampus UiTM, serta dalam lingkungan 40 kilometer dari Puncak Alam.

‘UiTM Mobile Nursing Home’ mengalu-alukan orang ramai menggunakan perkhidmatannya. Ia komited  memberi perkhidmatan kesihatan penuh mesra dan berkualiti tinggi. Yang berminat boleh hubungi nombor disertakan, atau e-mail untuk janji temu. - KitaReporters  

12
8
0
12
0

Copy Link: