Mohd. Raffi Sulaiman mengurut salah seorang pelanggannya yang datang untuk mendapatkan urutan pada bahagian tangan di pusat rawatannya.

Bukan mudah untuk mendepani cabaran hidup ketika kehilangan pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan menyara keluarga selama lebih 14 tahun apatah lagi untuk membina semula kehidupan dalam tempoh yang singkat.

Namun sepasang suami isteri yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan di Labis, Johor melahirkan rasa syukur kerana berjaya bangkit membuka pusat rawatan sendiri di pekan Tenang Stesen, Labis ketika ini dan menerima hakikat bahawa musibah yang diterima sebelum ini merupakan satu cara Allah untuk mengurniakan sesuatu yang lebih baik.

Mohd. Raffi Sulaiman bersama Tenku Noor Kusmawati Tengku Ibrahim di ruang depan pusat rawatan Tenang Abadi Reflexologi milik mereka di Taman Tenang, Labis, Johor.


Mohd Raffi Sulaiman, 39, dan isterinya Tenku Noor Kusmawati Tengku Ibrahim, 39, mengakui berasa begitu tertekan selepas pusat rawatan tempatnya mencari rezeki selama lebih 14 tahun di ibu kota itu terpaksa ditutup lalu menyebabkan mereka berdua hilang pekerjaan ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 pada tahun 2020.
"Larangan beroperasi pusat rawatan tempat saya mencari rezeki ketika itu tak ubah seperti letupan bom yang memusnahkan segala-galanya bagi kami berdua yang turut menyara dua anak masih kecil dalam keadaan kehidupan yang begitu mencabar di Kuala Lumpur.
"Untuk beberapa ketika kami cuba bertahan, namun atas desakan keluarga akhirnya kami mengalah dan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung saya di Labis, Johor selepas aktiviti merentas sempadan dibenarkan," kata Mohd. Raffi ketika ditemui di Tenang Abadi Reflexology miliknya di Tenang Stesen, Labis, Johor.

Mohd. Raffi turut berkelayakan mengurut urutan reflexologi selain pusat rawatan miliknya menyediakan perkhidmatan urutan badan untuk lelaki dan wanita serta urutan bersalin.


Menurutnya, pada peringkat awal di kampung halaman, mereka tidak menerima permintaan mengurut daripada mana-mana individu disebabkan tiada yang mengetahui kebolehan dan keberadaan mereka berdua dalam kalangan masyarakat setempat ketika itu.
Namun beberapa bulan selepas itu, secara perlahan-lahan dia mula mendapat permintaan daripada jiran-jiran sekampung yang datang untuk mendapatkan khidmat urutan daripada mereka berdua. 
Semakin hari permintaan mendapatkan khidmat urutan daripada mereka berdua semakin bertambah termasuklah ada dalam kalangan pelanggan mereka yang menjemput mereka berdua untuk mengurut  di rumah pelanggan itu sendiri.

Mohd. Raffi Sulaiman


Tenku Noor Kusmawati Tenku Ibrahim


"Berbekalkan duit simpanan hasil mengurut pelanggan di sini serta bantuan keluarga sejumlah RM8,000 kami berdua nekad untuk membuka pusat rawatan ini pada bulan Julai 2023 lalu dan alhamdullilah kami menerima semakin ramai pelanggan selepas beroperasi di gerai Majlis Daerah Labis ini.  

"Disebabkan tempoh mengurut pelanggan yang memakan masa sehingga lebih satu jam bergantung kepada jenis urutan yang diperlukan pelanggan, kami hanya mampu menerima sekitar lima atau enam pelanggan sahaja sehari dan selalunya sekurang-kurang seorang atau dua pelanggan datang untuk mendapatkan khidmat urutan dari kami," kata bapa kepada dua orang anak berusia 16 dan 11 tahun itu.

Menurut Tenku Noor Kusmaswati, yang berasal dari Gurun, Kedah itu, mereka berdua mendapat latihan mengurut di Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia di Brickfield, Kuala Lumpur pada tahun 2004 sebelum mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 dan menetap di ibu kota selepas tamat latihan.

Mohd. Raffi dan Tenku Noor Kumawati berbincang sesuatu sementara menunggu pelanggan datang untuk mendapatkan perkhidmatan urut di pusat urutan mereka


Kata Tenku Noor Kusmaswati, dia kini masih mampu melihat dalam jarak sekitar dua meter walaupun kabur berbanding suaminya yang langsung tidak boleh melihat.  

"Anak sulung saya juga mengalami masalah penglihatan dan kini sedang belajar dalam aliran pendidikan khas di sebuah sekolah di Ayer Panas, Setapak, Kuala Lumpur sementara anak kedua kami tidak mempunyai masalah penglihatan dan belajar di salah sebuah sekolah di Labis.

"Saya mengalami masalah penglihatan sejak lahir sementara suami saya hanya hilang penglihatan ketika berusia lapan tahun dan anak sulung saya juga mengalami masalah sama ketika berusia sekitar tujuh tahun," katanya.
Menurutnya, pusat rawatan milik pasangan suami isteri yang menyediakan urutan tradisional untuk lelaki dan wanita itu beroperasi setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam kecuali jika pasangan tersebut terpaksa melawat atau menghantar anak mereka menjalani rawatan di Kuala Lumpur.
Antara perkhidmatan yang disediakan adalah urutan badan, refleksologi dan urutan bersalin bagi kaum wanita di mana setiap perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan hanya mengenakan kadar bayaran yang amat berpatutan.

Pusat rawatan urutan tradisional Tenang Abadi Reflexologi milik Mohd. Raffi dan Tenku Noor Kusmawati di Taman Tenang, Labis, Johor.


"Bagi kami, apa yang kami lakukan ini bukan sekadar sebagai sumber nafkah menyara keluarga, sebaliknya dalam masa sama kami berharap kami dapat membantu orang ramai yang mengalami masalah kesihatan untuk mendapatkan perkhidmatan urut dengan lebih mudah.
"Saya harap usaha kami ini mendapat sokongan masyarakat tanpa melihat status kami sebagai OKU, sebaliknya melihat terhadap mutu perkhidmatan kami dan saya juga membuka pintu kepada pelanggan kami untuk memberi teguran sekiranya terdapat sebarang kekurangan perkhidmatan kami," katanya.

Dalam pada itu mereka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang yang bukan sahaja memberi sokongan moral kepada mereka berdua malah turut menghulurkan bantuan berupa mesin basuh serta kelengkapan lain ketika usaha membuka pusat rawatan tersebut pada pertengahan tahun lalu (2023). 

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan pasangan ini boleh datang terus ke Tenang Abadi Reflexology di No.9, Gerai Majlis Daerah Labis, Taman Tenang, Labis atau menghubungi talian 013 3416984 Raffi dan 013 2575614 Tenku Noor Kusmaswati untuk sebarang temu janji. - KitaReporters

Sijil kelayakan Mohd. Raffi untuk menjalankan aktiviti mengurut


Sijil kelayakan Tenku Noor Kusmawati dalam bidang rawatan urut tradisional.

24
8
0
5
0

Copy Link: