Video| Bawang import mahal? Jom tanam sendiri! Kerajaan pun galak tanam bawang tempatan jenis BW1!
Published byBanyak tip yang diberikan oleh Cik Dadida melalui videonya ini. Ikuti panduannya untuk memastikan dapat hasil seperti yang ditunjukkan. - Kredit video: YouTube Cik Dadida
Potong sikit bahagian atas bawang sebelum tanam. - Kredit foto: YouTube Cik Dadida
Umum sedia maklum harga bahan masakan termasak bawang semakin naik, akhbar arus perdana pada Januari 2024 lalu melaporkan harga bawang India di pasar naik lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram sejak sebulan sebelumnya, berikutan bekalan terhad selain harga tidak menentu daripada pembekal.
Tinjauan pemberita di Pasar Sungai Besi mendapati bekalan bahan import itu terhad dan kebanyakan peniaga menjualnya sehingga RM8 sekilogram.
Harga naik takkan kena boikot penggunaan bawang? Nak menumis apa kalau tak ada bawang? Kalau dah mahal, baik tanam sendiri.
Tapi daripada dulu jarang dengar orang kita tanam bawang untuk dapatkan isi, ada pun selalunya mereka tanam untuk ambil daun sahaja. Ada kata, tanah kita di Malaysia ini tak sesuai tanam bawang, tetapi betulkah begitu?
Sikit saja kawasan tanah yang diperlukan untuk tanam bawang kegunaan sendiri. - Kredit foto: YouTube Cik Dadida
Apabila harga bawang terus naik, barulah terdorong untuk tanam baik dalam kalangan pengguna mahupun pihak yang bertanggungjawab (dalam bidang pertanian).
Hakikatnya di Indonesia boleh saja tanam bawang, pernah lihat dengan mata kepala sendiri kebun bawang mereka, gemuk-gemuk pokoknya. Seolahnya mudah saja tumbuh.
Tak kiralah sama ada harga bawang terus naik atau harganya dah turun, bekalan semakin tiada atau pun sudah kembali normal, memang patut pun negara kita tanam bawang.
Usaha tanam besar-besaran kita serah pada pihak berwajib. Pada masa sama, kita sebagai pengguna cubalah tanam. Dapat hasil sikit-sikit pun jadilah, untuk makan sendiri. Kalau dapat tanam banyak Alhamdulillah. Boleh juga jual, jadi sumber pendapatan tambahan atau disedekahkan kepada jiran.
Nak tahu bagaimana tanam bawang untuk mendapatkan isinya? Google saja, pasti ada tip sama ada dalam bentuk penulisan atau pun video.
Antaranya terdapat dalam saluran YouTube Cik Dadida. Video Pertama, Cik Dadida menunjukkan langkah menanam bawang merah India sehingga mengeluarkan hasil yang mengambil masa dua bulan. Video kedua pula sambungan panduan yang menunjukkan hasil tuaiannya.
Baguskan kalau masing-masing dapat tanam bawang sendiri? Jimat perbelanjaan barangan dapur.
Berita terbaru Berita Harian pada April 3, 2024, memberi harapan kepada negara kita untuk mengeluarkan hasil bawang sendiri pada masa akan datang.
Dilaporkan, Tanjung Malim di Perak menjadi negeri pertama di Malaysia berjaya menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 membabitkan berat sekitar 2.3 tan metrik di Kampung Ladang Bikam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri itu sebelum ini dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar, menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik per hektar.
Bawang yang tumbuh daripada isi yang ditanam. - Kredit foto: YouTube Cik Dadida
"Bagi penuaian pertama, membabitkan fasa satu di kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan metrik. Selepas ini, penuaian bersambung kepada fasa dua dan tiga.
"Saya yakin projek rintis ini mampu jadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia," katanya pada Majlis Tuaian Hasil Projek Rintis Tanaman Bawang Secara Besar-Besaran di Tanjung Malim.
Nampaknya, Perak telah mencipta sejarah, menghasilkan bawang pertama Malaysia. Tahniah! Ini juga bermakna dengan usaha itu sekali gus mengurang kebergantungan terhadap bawang import.
Dilaporkan, semua hasil pengeluaran tadi akan dipasarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Perak antara enam negeri akan jadi hab pengeluaran tanaman bawang tempatan jenis BW1 di Malaysia bagi kegunaan domestik.
Pihak Kementerian sudah mengenal pasti enam negeri iaitu Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan dalam perancangan dan sasaran untuk mencapai kadar sara diri (SSL) bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
Kita doakan semoga rancangan murni ini berjaya. - KitaReporters
Hasil tanaman bawang Cik Dadida - Kredit: YouTube Cik Dadida