Silverlakes Village Outlet di Batu Gajah, Perak, perlukan promosi agresif berterusan untuk menarik pengunjung.


SUDAH setahun usia Silverlakes Village Outlet (SVO), di Batu Gajah, Perak. Dibuka pada Disember 2023, ia disasarkan untuk jadi tarikan pelancong dalam dan luar negara sebagai destinasi membeli belah dan berlibur.

Konsepnya menyamai Johor Premium Outlet (JPO) di Johor, Melaka Premier Outlet (MPO) di Alor Gajah, Genting Highlands Premium Outlet (GHPO) di Genting Highlands dan Sepang Premium Outlet (SPO) berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tetapi dibandingkan dengan outlet lain yang disebutkan, penulis dapati SVO yang terbina atas tanah seluas 13.35 hektar serta mempunyai 160 lot perniagaaan kelihatan sunyi. Tidak ramai pengunjung kelihatan walaupun pada hujung minggu.

Apa dah jadi?


Pintu utama masuk ke Silverlakes Village Outlet yang nampak sunyi.


Berdasar pemerhatian penulis yang berkunjung ke lokasi tersebut pada Ahad, 5 Januari 2025 lalu, tempat tersebut tidak ramai pengunjung. Kebanyakan lot kedai sepi menanti pelanggan. Suasana ini jauh berbeza dengan premium outlet lain yang sentiasa sibuk, sesak dengan pelanggan.

Lot kedai merangkumi perniagaan, hiburan, makanan dan minuman serta francais produk antarabangsa dan tempatan. 

Terdapat pelbagai jenis barangan berjenama, merangkumi pakaian, pakaian kanak-kanak, pakaian sukan, aksesori wanita dan pelbagai lagi.

Juga terdapat Taman Tema Dinosaur yang dibuka rasmi pada November 2023. Taman tema dengan pelaburan RM15 juta itu ialah taman tema dinosaur keenam di Malaysia, mempamer kombinasi taman hiburan dalaman (indoor) dan luaran (outdoor) yang dilaksanakan secara berfasa-fasa.


Taman Tema Dinosaur dirasmikan pada November 2023 sebagai salah satu tarikan tambahan di Silverlakes Village Outlet.


Namun di sebalik kehebatan ini, tidak ramai pengunjung datang ke SVO. 

Seorang pembantu jualan mengakui sambutan kurang menggalakkan. Menurutnya, mungkin tidak ramai tahu kewujudan premium outlet tersebut. Mereka lebih tahu Istana Kellie atau Kellie’s Castle, antara tarikan utama di Batu Gajah.

Penulis berpendapat, ini berlaku kerana kurang promosi agresif untuk memperkenal dan memajukan pusat beli belah tersebut oleh pihak pengurusan atau kerajaan negeri. Tidak kelihatan papan tanda didirikan di lebuh raya atau jalan masuk menuju ke pekan Batu Gajah.


Deretan lot niaga di Silverlakes Village Outlet yang sunyi daripada kesibukan pengunjung. 


Untuk sampai ke lokasi ini, jika melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), perlu keluar melalui jalan lama menuju Batu Gajah. Sepatutnya, pada susur keluar lebuh raya ada papan tanda.

Di Lebuh Raya PLUS, wajar ada papan tanda besar yang menangkap mata orang ramai untuk menarik mereka singgah, seperti promosi dilakukan oleh outlet lain. Yang pernah sampai pun mungkin secara kebetulan, atau kerana balik kampung.


Sebahagian lagi deretan lot niaga di Silverlakes Village Outlet di Batu Gajah, Perak.


Kawasan SVO luas dan cantik. Di sebelahnya ialah Rumah Lat, mengabadikan rumah kartunis tersohor, Datuk Lat. Di sekelilingnya ialah tasik indah tempat bersantai dan menikmati pemandangan air biru. Kedai makanan, termasuk nasi kandar, ada di tepi tasik untuk menjamu selera.

Memang wajar pusat perniagaan berasaskan keindahan dan alam semula jadi itu jadi daya tarikan ke Lembah Kinta, sesuai matlamat diwujud Silverlakes Premium Outlet sebagai tarikan pelancong, juga pusat beli belah setempat. 

Namun promosi agresif perlu untuk memajukannya.


Tasik yang indah dengan air biru menyerikan pemandangan di sekitar Silverlakes Village Outlet.


Sepatutnya SVO jadi pelengkap destinasi pelancongan di Batu Gajah seperti Galeri Rumah Lat yang memaparkan karya kartunis ‘Kampung Boy’, Kellie’s Castle, Taman Herba dan Maze Garden.  

Juga jangan lupa Batu Gajah ialah kawasan pengeluar biji timah terbesar di Lembah Kinta suatu ketika dahulu. Kapal korek bijih lama diabadikan untuk tatapan generasi masa kini.

Justeru untuk memajukan SVO sebaga destinasi pelancongan untuk warga Perak, Malaysia serta luar negara, usaha agresif berterusan mesti dilakukan segera mempromosikannya melalui pengiklanan dan media sosial. Juga perlu kerap diadakan program promosi di tapak lokasi. 

Jangan biarkan SOV terus sepi. - KitaReporters


Penat membeli belah di Silverlakes Village Outlet, boleh menjamu selera di kedai makanan di tepi tasik diiringi hembusan bayu.

 

17
9
0
10
0

Copy Link: