Konsep keluarga yang cuba diterapkan dalam filem 'Hum Aapke Hain Koun...!'. Depan dari kiri: Reema Lagoo, Anupam Kher, Salman Khan (baju merah).


BAKAT berlakon sahaja belum mencukupi untuk mencipta nama dalam filem. Kadangkala unsur nasib dan tuah badan turut memainkan peranan. Inilah pengalaman yang dilalui bintang popular Bollywood, Salman Khan.

Dia mencipta nama apabila filem lakonannya, ‘Hum Aapke Hain Koun…!’ (Siapa Aku Padamu) keluaran 1994 memecah box-office dan dianggap filem ‘superhit’ era moden. 

Semua kerana tuah. Dia bukan pilihan pertama pengarah Sooraj Barjatya untuk memegang watak utama sebagai Prem dalam filem berkenaan.


SALMAN Khan dan Madhuri Dixit bintang utama 'Hum Aapke Hain Koun...!


Sebaliknya watak itu telah terlebih dahulu ditawarkan kepada bintang terkenal Amir Khan. Namun Amir menolak, mendorong Sooraj menawarkan peranan tersebut kepada Salman. 

Ia adalah pilihan tepat. Kejayaan filem tersebut menjulang nama Salman, juga nama Sooraj selaku pengarah.

Itulah kurniaan rezeki Allah kepada Salman. Peranan yang ditolak oleh pesaing dalam industri mengubah perjalanan kariernya menjadi bintang rebutan. Ketika ramai bintang filem tidak menyerlah sekali pun telah membintangi banyak filem, Salman melakukannya melalui satu filem.

Hum Aapke Hain Koun…!’, skrip dan arahan oleh Sooraj Barjatya, dikeluarkan oleh Rajshri Productions benar-benar mengubah nasib Salman Khan selepas filem itu ditayangkan kepada umum pada Ogos 1994. Kejayaan filem itu mencipta sejarah sebagai filem blockbuster terbesar menjadikan Salman pelakon rebutan pengarah.


AMIR Khan tolak tawaran pegang watak utama sebagai Prem.


Kejayaan ini tentu menimbulkan kesal pada hati Amir Khan kerana menolak tawaran asal Sooraj. Pengarah itu sendiri menemui Amir berbincang mengenai watak dalam filem tersebut. 

Namun Amir merasakan skrip filem berkenaan tidak cukup menarik. Oleh itu dia menolak tawaran memegang watak Prem.

Tidak putus asa dengan penolakan Amir, Sooraj kemudian menawarkan watak tersebut kepada Salman. Ketika itu Salman sedang melalui waktu yang sukar dalam kariernya sehingga menghadapi masalah kewangan serius.

Kerana itu apabila ditawar membintangi ‘Hum Aapke Hain Koun…! Salman menerima dengan tangan terbuka, tanpa perlu berfikir dua kali. 

Kejayaan besar filem itu muncul sebagai ‘superhit’ memberi impak yang sangat bermakna dalam membantu menyemarakkan kembali karier Salman.


SALMAN Khan dan Madhuri Dixit sebagai suami isteri dalam 'Hum Aapke Hain Koun...!


Filem tersebut muncul filem pertama melepasi paras pecah panggung dengan kutipan 1 bilion Rupees (RM53 juta) di India. Ia merupakan filem memperoleh kutipan tertinggi pada tahun 1990-an, dan antara filem Bollywood memperoleh kutipan tertinggi.

Untuk rekod, ‘Hum Aapke Hain Koun…!’, sebuah filem komedi romantik, turut membariskan bintang utama Madhuri Dixit selaku Nisha, Renuka Shahane selaku Pooja, Mohnish Bal (Rajesh), Anupam Kher, Reema Lagoo, Bindu, Satish Shah dan lain-lain.

Ia mengisahkan dugaan dan cabaran kehidupan berumah tangga yang dilalui sepasang suami isteri dan hubungan mereka dengan keluarga. Ia turut menampilkan erti pengorbanan cinta yang dilakukan demi cinta kepada keluarga.

Pada Anugerah Filem Fanfare ke-40, filem tersebut menerima 13 pencalonan dan memenangi lima anugerah. Antaranya Pengarah Terbaik (Sooraj Barjatya), Pelakon Wanita Terbaik (Madhuri Dixit) dan Anugerah Khas untuk Lata Mangeshkar melalui lagu ‘Didi Tera Devar Deewana’. Muzik filem ini arahan Raamlaxman. - KitaReporters


PASANGAN romantis Salman Khan dan Madhuri Dixit, bintang utama 'Hum Aapke Hain Koun...!'

14
18
0
6
0

Copy Link: