Pelik? Thailand tetap percayakan tentera tewas! Siriwat-Phutawan-Wichan! Sasaran sulung Piala Asia!
Published byAKSI perejam RTAF, Phutawan Sopa (jersi biru) sambil diawasi Siriwat Sakha (2) dan Wichan Temkort dalam STL-CC 2024 yang merakamkan prestasi merudum mereka di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, Selangor. - Kredit foto: STL
PELIK, mengejutkan dan menimbulkan penasaran!
Empat daripada
lima pemain yang tumpas ketiga-tiga perlawanan Piala Juara-juara Liga Sepak
Takraw (STL-CC) pada November 2024 lalu, tetap tersenarai dalam skuad 24 pemain kebangsaan Thailand bagi tiga misi besar antarabangsa sepanjang 2025.
Mereka ialah
Siriwat Sakha, Nichakul Seehakai (tekong), Phutawan Sopa (perejam) dan Wichan
Temkort (pengumpan) yang kecundang bersama Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF)
sebagai pasukan corot Kumpulan B STL-CC di Serdang Jaya, Selangor.
Hanya Pichet
Pansan, seorang lagi apit kanan RTAF yang juga anggota juara regu berpasukan
Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur, 26 Mei 2024 lalu yang tidak disenaraikan
Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) dalam pengumuman ini menerusi laman sosialnya
pada 24 Disember 2024.
Mereka ditumpaskan kedua-dua kelab Malaysia, Selangor Pistons 16-17, 11-15 dan Perak Bisons 12-15, 15-9, 8-15 malah oleh wakil India yang kurang ternama, STFI Fighters 15-11, 14-17, 13-15, sekali gus mencetuskan tamparan hebat terhadap arena sepak takraw Si Gajah Putih.
VARAYUT Jantarasena (19) masih menjadi perejam sandaran utama Thailand bagi 2025 walaupun agak goyah pada Piala Dunia Istaf dan Piala Raja Thailand (Mei dan Julai 2024). - Kredit foto: ST
RTAF juga merupakan
juara Piala Puteri TAT – sebuah kejohanan antara regu tahunan kebangsaan Thaland
yang berprestij pada April 2024 lalu.
Tiga pertandingan
utama 2025 yang menanti-nantikan episod baharu perseteruan Thailand-Malaysia
ialah Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur dari 9 hingga 18 Mei, Kejohanan Dunia
Piala Raja Thailand Ke-38 di Korat (20-27 Julai) dan Sukan SEA Ke-33 di
Songkhla (9-20 Disember).
Thailand
dilaporkan masih dengan ketua jurulatihnya, Supot Tumpracha, 65, yang dibantu
bekas perunding Malaysia dari 2011 hingga 2014 dan tekong skuad pemenang pingat emas Sukan SEA
Kuala Lumpur 2001 dan Sukan Asia Busan 2002, Prawet Intra, 47.
Nichakul, 28, yang berpangkat sarjan walau bagaimanapun menjadi pendatang baharu pasukan kebangsaannya selain Chatchanan Suwannarat sambil TAT mengekalkan tiga lagi tekong senior, Kritsanapong Nontakote, Sittipong Khamchan dan Pornthep Tinbangbon.
PICHET Pansan (kanan) tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan Thailand 2025, kerap tewas dengan adangan pemain Selangor Pistons (Khairol Zaman Hamir Akhbar) dan Perak Bison (Noraizat Nordin) dalam STL-CC 2024. Nichakul Seehakai (12). - Kredit foto: STL
Turut terpilih
ialah adik Pornthep, Jakkrit Tinbangbon yang kerap menyarung jersi Perak Bison dalam STL dan Kejohanan Piala Tun Ali serta sempat menikmati kap sulung
antarabangsanya pada Terbuka China Kerjasama Lanchang-Mekong di Nanning, China pada Oktober 2024 lalu.
Barisan lapan perejam
Si Gajah Putih juga mengekalkan tonggak seniornya seperti Thawisak Thongsai, Jirasak
Pakbuangoen, Tanaphon Sapyen, Varayut Jantarasena dan Phutawan di samping Sankhai
Daoreang serta dua pemain berpengalaman STL - Boonkoom Tipwong dan Sutthikiart
Pansaekaew.
Yang menariknya
ialah Boonkoom, 27, baru sahaja memenangi pingat gangsa perseorangan lelaki
Kejohanan Teqbol Dunia 2024 di Kota Ho Chi Minh, Vietnam pada 8 Disember 2024
lalu – sejenis sukan yang menggabungkan ciri-ciri sepak takraw, bola sepak,
pingpong dan badminton.
TAT juga melebihkan sehingga sembilan pengumpan atau apit kiri termasuk Wichan yang meliputi bekas perunding Malaysia, Seksan Tubtong, Rachan Viphan dan Marukin Phanmakon malah memanggil semula Yodsawat Uthaijaronsri yang kali akhir bersama Thailand pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh.
BARISAN Thailand juara regu berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 dengan Seksan Tubtong (depan, kiri) dan Prawet Intra (depan, tiga dari kiri) yang akan kembali ke Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk memburu Piala Asia Astaf pula dari 9 hingga 18 Mei 2025. - Kredit foto: ST
Apit kiri lain mereka termasuk mengekalkan Supasin Boonrueng daripada skuad juara Piala Raja Thailand 2024 di Korat manakala tiga muka baharu ialah Sirisak Anulun, Paritat Kaenoonuan dan Wuttinun Kamsanor.
Wuttinun, 22, ialah anggota regu juara Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia di Qingdao, China pada 23 September 2024 lalu malah pernah membantu Thailand menjuarai kategori Bawah 21 Tahun Piala Raja Thailand 2023 di Korat. - KitaReporters
SKUAD SEPAK TAKRAW
THAILAND 2025:
TEKONG: Siriwat
Sakha, Kritsanapong Nontakote, Sittipong Khamchan, Pornthep Tinbangbon, Nichakul
Seehakai, Jakkrit Tinbangbon, Chatchanan Suwannarat.
PEREJAM: Thawisak
Thongsai, Jirasak Pakbuangoen, Tanaphon Sapyen, Varayut Jantarasena, Sankhai
Daoreang, Boonkoom Tipwong, Phutawan Sopha, Sutthikiart Pansaekaew.
PENGUMPAN: Seksan Tubtong, Yodsawat Uthaijaronsri, Rachan Viphan, Marukin Phanmakon, Wichan Temkort, Supasin Boonrueng, Sirisak Anulun, Wuttinun Kamsanor, Paritat Kaenoonuan.
THAWISAK Thongsai (dua dari kanan), perejam kidal yang membantu Si Gajah Putih muncul juara regu berpasukan Piala Piala Raja Thailand 2024 cuba dipagari pemain Malaysia, Shahalril Aiman Halim (22). Kiri ialah Siriwat Sakha. - Kredit foto: ST