TEKONG tidak akan dibatalkan lagi sekiranya kakinya yang tidak menyepak, melonjak atau seperti terbang mengikut pindaan Fasal 11.1.3 Undang-undang Permainan Sepak Takraw terbaharu oleh Istaf. - Kredit foto: ST 


TIADA lagi yang mampu menyekat ‘terbangan’ atau lompatan tekong termasuk bantahan video (video challenge).

Tiada lagi juga fungsi bulatan servis mahupun garisan kelilingnya di tengah gelanggang untuk mengawal atau membatasi gerak-geri sang tekong tetapi nanti hanyalah sebagai penanda posisi itu untuk memulakan permainan selepas pengadil menyebut kedudukan mata.

Inilah impaknya apabila Fasal 11.1.3 Undang-undang Permainan Sepak Takraw berkaitan kaki tekong yang tidak menyepak, dipinda oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dalam beberapa bulan lagi dengan Sukan SEA Thailand 2025 menjadi pertandingan pertama merasmikannya.

Usul pindaan ini juga dikatakan mahu dibentang pada Kongres Istaf di Korat, Thailand bersempena Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau popular digelar King’s Cup pada 6 September 2024. 

Di bawah pindaan tersebut, tekong hanya wajib meletakkan kaki yang tidak menyepak di dalam bulatan servis yang terletak 2.45 meter dari garisan belakang dan 3.05 meter dari garisan sisi, ketika membuat sepak servis (sepak mula).

Tekong juga menurut pindaan baharu ini, dibenarkan mengangkat kakinya yang tidak menyepak atau tidak mengangkatnya atau melonjakkannya ke udara (melompat atau tidak) ketika membuat servis kerana tiada pembatalan terhadap gerakan ini.


BULATAN servis di tengah gelanggang nanti hanya menandakan kawasan tekong untuk melakukan sepak mula tetapi tidak akan lagi membataskan gerak-gerinya. - Kredit foto: ST 


Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, persekutuan sentiasa mempunyai matlamat untuk meningkatkan cara tekong, perejam atau pengumpan mempamerkan tenaga dan kehebatannya dalam sukan ini.

“Seseorang tekong yang membuat servis pemati (ace) iaitu yang meraih mata serta-merta menerusinya, bakal merancakkan keseluruhan perlawanan sambil keazaman rakan seregunya untuk mencapai kemenangan pasti melonjak.

“Sejak zaman pentadbiran PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) oleh Tan Sri Khir Johari dan Tan Sri Yussof Latiff mahupun Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Istaf di bawah Charouck Arirachakaran apabila sepak takraw diasaskan lebih 60 tahun lalu, masalah bulatan servis dan tekong sentiasa timbul dan tidak berkesudahan dalam kebanyakan kejohanan.

“Pengurus pasukan dan jurulatih pula sentiasa menyalahkan pengadil atas masalah ini dan akhirnya pemain yang menjadi mangsa. Istaf mahu menghentikannya demi masa depan sepak takraw dan keseronokan para peminatnya serta bebas daripada kontroversi seumpamanya lagi,” katanya.


TANPA bantahan (challenge) video bagi servis tekong, hanya tinggal bantahan bagi garisan (bola masuk atau keluar) dan jaring (rejaman dan adangan melepasi) yang boleh dipertikaikan pasukan. - Kredit foto: ST   


Tegas Halim, usul pindaan Fasal 11.1.3 ini dikemukakan ekoran data dan rekod yang diperoleh daripada bantahan video berkaitan servis tekong dalam dua pertandingan besar antarabangsa sepanjang 2023 hingga kini.

“Dalam King’s Cup di Korat dari 9 hingga 16 Julai 2023, sebanyak 34 bantahan servis dilakukan atau mewakili 20.86 peratus manakala bantahan garisan (bola masuk atau keluar), sebanyak 31.90% dan bantahan jaring (rejaman atau adangan), 47.24%.

“Sepanjang Sukan Asia Ke-19 Hangzhou, China dari 24 September hingga 4 Oktober 2023, datanya mendedahkan 19 atau 12.5% bantahan servis dilakukan berbanding garisan, 41.45% dan jaring, 46.05%,” katanya yang juga Presiden Astaf.

Tekong katanya, sentiasa mempunyai matlamat utama untuk menyepak, menghantar dan merejam bola dalam sebarang cara melakukan servis.


ABDUL Halim Kader (baju merah) memberikan taklimat kepada para pengadil Istaf di Korat, Thailand pada 30 Ogos 2024. - Kredit foto: Istaf


“Pemainnya sentiasa mempunyai satu gaya menyepak yang kerap kali memberi tekanan kepada cara kaki yang tidak menyepak, mesti diletakkan dalam bulatan servis.

“Tekong akan sentiasa terdedah melakukan kesilapan sama ada mengangkat kakinya yang tidak menyepak atau menyepak bola sambil sudah pun terkeluar dari kawasan bulatan itu.

"Pasukan lawan pula yang sentiasa memantau gerak-geri tekong ini akan kerap menuduhnya melakukan kesilapan sama ada mengangkat kaki tidak menyepak itu atau sudah pun menggelincir ke luar kawasan bulatan,” katanya.

Sekiranya diluluskan Kongres nanti, Istaf katanya akan membuka ruang dan peluang untuk maklum balas daripada semua pengerusi teknikal daripada pelbagai persatuan sepak takraw negara ahli gabungannya di seluruh dunia sehingga 30 September 2024.

“Maklum balas mereka berupa idea, saranan atau memikirkan kemungkinan cara yang lebih baik mahupun eksperimen praktikal untuk mengatasi masalah servis ini atau mengurangkan kesan negatifnya kepada pemain-pemain, amat kami alu-alukan,” katanya. - KitaReporters


ABDUL Halim Kader (baju merah) bersalaman dengan Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat sebelum majlis taklimat pengadil Istaf sempena King's Cup Ke-37 di Korat, Thailand. - Kredit foto: Istaf

18
15
0
9
0

Copy Link: