Mengaji buat kami tenang! Mualaf PUSBA Baling mahu dalami Islam! Mahu jadi Muslim yang lebih baik!
Published bySuasana dalam kelas mengaji di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (PUSBA) di Baling.
Setiap Jumaat dan Sabtu mereka berkumpul di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (PUSBA) di pekan Baling, Kedah untuk mengaji.
Mereka datang dari seluruh daerah Baling untuk mendalami ilmu tajwid dan belajar mengaji daripada ustaz yang dilantik khas oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mengaji al-Quran
Peserta kelas mengaji di PUSBA, Baling.
Serahan telekung dan sejadah kepada peserta mengaji PUSBA oleh Yang Dipertua PEKEBA, Jhangir Khan Khalem Khan (duduk, tengah).
"Setakat ini sambutan terhadap kelas mengaji PUSBA sangat menggalakkan. Terdapat lebih kurang 50 saudara baharu menyertai kelas ini," kata Rosnida Abdullah, AJK PUSBA dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Menurut Rosnida kesemua peserta mengaji di PUSPA sangat komited dengan kelas mengaji dan bersyukur kerana dapat menyertai kelas tersebut.
Rosnida Abdullah
Rosnida yang berasal dari Bangkok, Thailand datang ke negara ini pada 1989 dan berkahwin degan Saidin Ibrahim serta dikurniakan 4 orang anak yang telah dewasa dan berkeluarga sendiri.
"Selain mengurus kelas mengaji PUSBA saya juga menjadi jurubahasa bagi kes-kes membabitkan saudara baharu di sini," katanya yang memeluk Islam pada usia 17 tahun di Bangkok.
Rosnida juga boleh menjahit dan membuka kedai menjual pakaian dan juga mengambil upah menjahit pakaian di pekan Baling.
"Saya terpanggil untuk mengurus kelas mengaji ini kerana mahu saudara baharu wanita di daerah ini mendapat pendedahan sewajarnya tentang Islam dan kelebihan mengaji al-Quran dalam hidup seorang Muslim," ujar Rosnida lagi.
Fatimah Abdullah
Sementara itu Fatimah Abdullah, 23 tahun, menyifatkan peluang untuk belajar mengaji dan tajwid di PUSBA sangat berharga dalam hidupnya.
"Sebagai saudara baharu saya teruja untuk menyelami ilmu agama dengan lebih mendalam terutama dalam usaha untuk membina rumah tangga yang bahagia," kata Fatimah yang baharu berkahwin pada awal tahun 2022 ini.
Mengakui masih belum pandai kerana baharu dua minggu menyertai kelas ini, Fatimah berharap kelas mengaji PUSBA akan menjadikan dirinya lebih yakin dengan kehidupannya pada masa depan.
Berasal dari Jitra, Kedah, Fatimah kini sedang hamil 7 bulan dan berharap melalui kelas ini dia dapat menjadi isteri dan ibu solehah.
Zafirah Abdullah
Zafirah Abdullah, 13 tahun, pula hidup bersama keluarga angkat sejak kecil. Berasal dari Legong, Zafira adalah peserta paling muda dalam kelas mengaji PUSBA.
Berketurunan orang Asli, Zafirah tidak begitu ingat akan asal kehidupannya kecuali memberitahu ayah dan ibu angkatnya sangat sayangkan dia.
"Saya bersyukur dapat ibu bapa angkat yang baik dan penyayang. Saya datang kelas mengaji pun dengan izin kedua-dua mereka. Saya mahu belajar rajin-rajin sampai pandai mengaji," kata Zafirah yang tidak menyambung pelajarannya ke sekolah menengah.
Zafirah yang sentiasa tersenyum ini berharap dengan menghadiri kelas mengaji ini dia dapat melengkap dirinya menjadi insan mulia dan wanita solehah apabila dewasa nanti.
"Kini saya sudah melepasi Iqra' dan tidak sabar untuk menyambung al-Quran pula," katanya yang hanya membantu ibu angkatnya dengan membuat kerja-kerja rumah.
Suasmah Abdullah
Sementara itu Suasmah Abdullah, 76, pula menyifatkan dengan membaca al-Quran jiwanya menjadi tenang dan pengurusan hidup juga bertambah baik.
"Saya suka mengaji. Ia memberi saya ketenangan dan kebahagiaan dalam beribadah dan beramal. Masa saya kini dihabiskan dengan beramal dan mambantu keluarga saudara baharu ini dalam aktiviti dan sebagainya," kata ibu kepada 4 orang anak ini.
Selain itu dia yang lebih mesra disapa Mak Su mengambil upah mengurut, menjahit dan membuat kuih serta apa sahaja yang boleh menambah pendapatan untuk menyara hidup.
Ditanya rentang kelas mengaji, Mak Su berkata ia sangat bernilai dalam hidupnya sebagai seorang mualaf yang sudah bergelar warga emas.
"Dahulu saya mengaji juga tapi tanpa belajar tajwid. Sekarang saya berasa lega kerana dapat mengaji dan belajar tajwid sekali. Kita dapat tahu di mana salah silap kita semasa membaca al-Quran apabila tahu tentang tajwid," tambahnya lagi.
Kelas mengaji PUSBA diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari di bawah kendalian Ustaz Shaidin Ibrahim, Mohd Azwan Baharudin dan Ustazah Sahilah Madisa.
Pada pertemuan penulis di PUSBA sumbangan telekung dan sejadah telah disampaikan kepada peserta kelas mengaji tersebut yang diterima oleh AJK-nya Rosnida Abdullah. - KitaReporters
Turut disampaikan ialah sejadah dan telekung untuk peserta mengaji PUSBA.