Johor Darul Ta'zim (JDT) FC terus mencipta rekod pada Liga Super apabila menjadi pasukan pertama di Malaysia muncul juara kali ke-10 berturut-turut sejak ia diperkenal pada tahun 2004. 

Kejayaan ini dilihat sukar untuk dipecahkan oleh pasukan-pasukan lain dalam jangka masa terdekat dan mungkin memerlukan masa yang begitu lama untuk melakukannya. 

Untuk rekod, sebelum JDT muncul juara liga utama ini, pasukan lain hanya mampu mengekalkan kejuaraan Liga Super hanya dua musim berturut-turut sahaja sebelum pasukan lain merampas kembali piala tersebut. 

Dengan prestasi dan barisan pemain yang ada ketika ini, dominasi Harimau Selatan dilihat tidak akan terhenti pada angka 10, sebaliknya akan terus menambah kejuaraan buat mereka pada Liga Super. 

Untuk Liga Super 2023, skuad kendalian Esteban Solari gah berada di puncak liga tanpa sebarang kekalahan setakat ini dan jauh meninggalkan pasukan lain. 

Daripada 22 perlawanan setakat ini, mereka mencatat 21 kemenangan serta satu seri dan berpeluang untuk mengakhiri liga tanpa kekalahan seperti sebelum ini. 

Dalam perlawanan Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Ibrahim pada 27 September 2023, tuan rumah hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk mengesahkan kejuaraan liga. 

Pada awalnya permainan dilihat agak sukar dan PDRM berjaya mengekang segala asakan pemain JDT. 

Namun Bergson da Silva menceriakan penyokong tuan rumah apabila membuka jaringan pertama pada minit ke-37 sebelum Juan Muniz meledak gol kedua pada minit ke-40. 

Anak buah Solari terus mengganas dengan menambah dua lagi jaringan menerusi Arif Aiman melalui sepakan penalti minit ke-54 dan Fernando Forestieri pada minit ke-57. 


Kedudukan Liga Super 2023 setakat 28 September 2023. JDT terus berada di puncak liga tanpa sebarang kekalahan. - Kredit foto: Facebook JDT


Kejuaran ini membolehkan JDT akan meneruskan pesta bunga api seperti sebelum ini di hadapan penyokong setia mereka. 

Untuk tahun ini (2023), Piala Sumbangsih dan Piala FA sudah pun menjadi milik Harimau Selatan. 

Pada Piala Malaysia, mereka berada separuh akhir ketika ini dan jika berjaya mempertahan kejuaraan piala tersebut, JDT akan mengulangi kejayaan Kedah yang muncul juara 'double treble'. - KitaReporters

10
16
0
13
0

Copy Link: