TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (tengah, barisan tengah) dan ketua jurulatih JDT FC, Hector Bidoglio bergambar dengan pemain-pemain dan pegawai-pegawai lain ekoran kemenangan percuma 3-0 terhadap Selangor FC yang tidak menghadiri Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei 2024. - Kredit foto: JST 


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim nampaknya nekad memperli Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan menyatakan selepas ini mana-mana pasukan Liga Super yang menarik diri sesuka hati dan melanggar undang-undang liga, boleh dan senang sahaja dengan memohon sultan negeri masing-masing menulis ‘surat murka’ sahaja.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) FC itu turut menujukan sindiran pedasnya kepada kelab-kelab liga yang didapati tidak membayar gaji pemain dan pegawai mereka, menerusi satu hantaran dalam laman Facebook Johor Southern Tigers pada 27 Jun 2024.  

“Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia, badan pengurusnya) menarik balik hukuman dengan memohon jasa Tuanku Sultan masing-masing keluarkan surat.

"Ini akan membuka langkah Tuanku Sultan (negeri-negeri) lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tak boleh?,” kata Pemangku Sultan Johor ini.

Tunku Ismail juga merujuk bagaimana beliau pernah digantung enam bulan daripada aktiviti bola sepak oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 8 Mac 2013 dan JDT FC didenda beratus-ratus ribu ringgit namun Sultan Johor, Sultan Ibrahim tidak pula mengeluarkan surat atau membuat kenyataan. 

“Ini siap mengungkit beri pingat Datuk (Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah - DSIS),” katanya, merujuk kenyataan media oleh Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 26 Jun 2024 membabitkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin.


KENYATAAN Tunku Ismail dalam Facebook Johor Southern Tigers dan laman sosial HRH Crown Prince of Johor pada 27 Jun 2024. - Kredit foto: JST


Ekoran kenyataan tersebut tambah Tunku Ismail, MFL secara mendadak membuat pusingan-U – mengubah hukuman yang diumumkan pada 25 Jun 2024 tanpa mendapat surat rayuan rasmi FAS dan Selangor FC yang sepatutnya dikemukakan dalam tempoh tiga hari selepas dijatuhkan.

Hukuman asal MFL terhadap Selangor FC ekoran ketidakhadiran Gergasi Merah menentang JDT FC dalam Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei 2024 ialah:

  • Didenda RM100,000
  • Diarah membayar pampasan kepada JDT FC dan MFL
  • Dipotong tiga mata dalam Liga Super 2024-2025
  • Perlawanan pusingan kedua liga Selangor FC-JDT FC dijalankan tanpa penonton di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.


SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kanan) dan Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah. - Kredit foto: ROS 


Namun pada 27 Jun 2024, MFL menerusi kenyataan pada laman sesawang rasminya, menimbangkan semula dengan meringankan hukumannya kepada:

  • Denda dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000
  • Bayaran pampasan tuan rumah Perlawanan Sumbangsih, JDT FC dan MFL dikekalkan
  • Pemotongan tiga mata Liga Super 2024-2025 buat Selangor FC dibatalkan
  • Jika Selangor FC mengulangi kesalahan itu, kesnya akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib dan boleh dihukum lebih tegas dan keras
  • Larangan kemasukan penonton bagi perlawanan Liga Super Selangor FC-JDT FC di Stadium MBPJ dibatalkan dan penonton dibenarkan menghadirinya. - KitaReporters

SELANGOR FC pasti menarik nafas lega dengan pembatalan larangan penonton menghadiri perlawanan pusingan kedua Liga Super dengan JDT FC di kubunya, Stadium MBPJ. - Kredit foto: SFC

8
10
0
15
0

Copy Link: