Video| Diam.. Celakanya! Apa hal tu Hael Husaini! Marah kat siapa? Album sulung Anatonim (Part I)!
Published byPENYANYI yang kini berwajah seperti artis ‘Oppa’, Hael Husaini bakal membuka tirai tahun baharu, 2024 dengan satu-satunya album sulungnya yang sebenar, 'Anatonim (Part I), setelah lebih 17 tahun perjalanan seninya dalam industri muzik diperkenal oleh komposer Ajai melalui label penerbitannya ketika itu, ‘Wake The Baby’ dalam album ‘Sani’ berikutan ketika itu mula dikenali sebagai Sani Abdullah.
Pun begitu namanya meniti populariti apabila memilih menjadi penyanyi duo bersama rakannya Mohd Azhar Othman di bawah nama Kumpulan Azhael sebagai pelajar Akademi Fantasia 2013. Ketika itu Sani menggunakan nama lahirnya Hael Husaini Razmi di mana mereka berjaya menjadi Naib Juara AF 2013.
Hael Husaini... Dulu & Sekarang.
Kemudiannya, setelah bergerak solo, nama Hael kian dikenali ramai apabila singlenya ‘Jampi’ terus 'menjampi' pendengar sehingga berjaya pula dinobatkan sebagai ‘Juara Lagu’ pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 dan sekali lagi pada AJL33 dengan lagu ‘Haram’ berduet dengan Dayang Nurfaizah.
Sejak itu kerjaya seni Hael Husaini terus melonjak waima sentuhan magisnya bak ‘Midas Touch’, sentiasa meraih perhatian ramai dan kemuncaknya pada 5 Januari 2024 akan lahirnya ‘Anatonim (Part I), memuatkan 6 buah lagu, kesemuanya merupakan ciptaan barisan komposer ternama tanah air seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Hael Husaini sendiri.
“Dalam album Anatonim (Part I) terkandung lagu-lagu seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra), di mana 4 buah lagu daripada album ini telah dipilih kerana menjadi lagu tema bagi sebuah drama bersiri popular yang mula ditayangkan baru-baru ini, manakala 2 lagi lagu belum pernah diperdengar kepada umum,” kongsi Hael yang turut berlakon dalam drama pertamanya,"My Famous Ex-Boyfriend' itu.
Drama sulung lakonan Hael Husaini.
Menurut Hael sepanjang 3 tahun kebelakangan ini, beliau telah menghasilkan lebih kurang 20 buah lagu (demo) untuk album pertama ini dan setelah berbincang dengan pihak label serta pasukannya, hanya 10 buah lagu sahaja telah disenaraipendekkan serta beberapa buah lagu lama yang telah diberi susunan semula khas untuk album ini.
“Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya. Ia impian terbesar saya dan banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan saya tempuhi,” ujar Hael meluahkan isi hatinya sembil memaklumkan “Anatonim (Part I & II) dijadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering hidangkan buat pendengar sebelum ini.
Pun begitu, tambahnya, keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock.
“Setiap naskah dalam album ini mempunyai jalan cerita dan kisah yang tersendiri, berlandaskan dari kisah benar malah ada juga yang bersifat dongeng serta kisah-kisah orang di sekeliling yang menjadi idea buat saya,” ujar Hael.
Lagu Diam yang sudah dilancarkan dalam bentuk MV sejak empat hari lalu mendapat lebih 136 tontonan dengan 8.2K tanda suka serta 'trending' No. 5 dalam carta muzik 'streaming', mempunyai makna tersendiri pada Hael.
“Lagu ini sangat dekat dengan persekitaran kita, ia merupakan satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita, orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah,” ulas Hael yang mengambil masa hampir 3 tahun untuk merealisasikan album tersebut memandangkan jadual seninya padat dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan pentas dan komitmen penggambaran yang mengambil masa yang lama untuk dilunaskan.
Dimaklumkan, proses rakaman dilakukan di beberapa buah studio mengikut lagu dan penerbitnya sendiri malah turut menggunakan khidmat beberapa penerbit dan jurutera bunyi dari luar negara untuk mendapatkan sentuhan berbeza dari segi bunyi.
“Saya berharap agar kesemua lagu yang terkandung di dalam album Anatonim (Part I) meraih perhatian serta menjadi popular, kerana saya, rakan penulis lirik, penerbit, pihak pengurusan dan label telah bertungkus lumus dan banyak berkorban dalam melaksanakan album ini,” Hael memohon sokongan semua penggemar muzik.
Bermula 5 Januari 2024, album ‘Anatonim (Part I)’ boleh dimuat turun dalam iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. - KitaReporters