Tolong kami! Bantu kami pindah tiang bangunan! Jadi sarang ular sawa! 4 ekor kambing jadi mangsa!
Published byPIHAK berkuasa ataupun agensi bertanggungjawab diminta memindahkan kira-kira 40 batang tiang bangunan yang terbiar dan didakwa menjadi sarang ular sawa di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu sejak tiga tahun lalu.
Sehingga kini, empat ekor kambing milik penduduk kampung telah menjadi mangsa ular sawa itu ketika haiwan ternakan berkenaan bermain di kawasan tiang bangunan tersebut.
Lagi cerita-cerita ngeri berkaitan ular sawa
Tiang bangunan itu yang berlubang terletak di tepi jalan berhampiran dengan rumah penduduk kampung dipercayai kepunyaan seorang kontraktor yang melakukan kerja pembinaan kilang Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Kenaf) di Kampung Saujana, Setiu.
Namun, apabila kerja-kerja pembinaan kilang itu siap dilaksanakan kira-kira tiga tahun lalu, kontraktor terbabit meninggalkan tiang-tiang bangunan di lokasi tersebut berhampiran dengan hutan yang mengundangkan kebimbangan serta ketakutan warga kampung terbabit.
Seorang penduduk kampung, Norizan Omar, 47, (gambar atas) berkata sejak tiang itu ditinggalkan oleh kontraktor terbabit di kawasan itu yang jaraknya kira-kira 20 meter dengan rumahnya telah menimbulkan kebimbangan keluarganya serta jiran tetangga.
Dia yang pernah dua kali melihat ular sawa besar sedang membelit kambing-kambing yang bermain di kawasan himpunan tiang bangunan itu.
‘’Ketika kejadian, saya sedang memasak di dapur, tiba-tiba saya terdengar bunyi bising kambing mengembek dan apabila saya membuka pintu saya melihat seekor ular sawa sedang membelit seekor kambing.
‘’Sehingga sekarang, sudah empat ekor kambing termasuk seekor kambing pemeliharaan saya telah menjadi mangsa ular sawa di situ,’’ katanya ketika ditemui pada hari ini, Sabtu, 23 Julai 2022.
Norizan tidak dapat pasti sama ada ular sawa berkenaan datang dari hutan atau tiang bangunan itu kerana tiang tersebut mempunyai lubang yang boleh dikatakan sebagai sarang haiwan itu membiak.
‘’Saya sudah dua kali melihat ular sawa sedang membelit kambing di kawasan tiang bangunan itu dan kejadian itu amat membimbangkan kami jikalau ular itu merayap keluar pada waktu malam memasuki ke rumah saya dan jiran,’’ katanya.
Menurutnya, himpunan tiang bangunan itu bukan sahaja menjadi sarang ular tetapi ia juga menjadi kawasan itu semakin semak. - KitaReporters