Pasukan DXStream berjaya menewaskan 16 kumpulan lain apabila dinobatkan sebagai juara dalam Asia Challenge Competition Series (Siri Pertandingan Cabaran Asia) menerusi permainan Mobile Legends. 

Pasukan DXStream, dianggotai oleh Syed Fitri Abharshah (SunSeishiro), Muhammad Akmal Hakimin (M1ngKong), Muhammad Razif Sazali (Sizkaa), Muhammad Taufiq Hidayat (SkyZED), dan Muhammad Faris Badrul Zaman (Aishh) mempamerkan kehebatan mereka sepanjang kejohanan yang berlangsung pada Ahad, 19 Januari 2025 lalu dan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Sementara itu, naib juara dirangkul pasukan Natsu & Friends dan tempat ketiga,  Aii Taubat Dakgi untuk masing-masing bawa pulang RM3,000 dan RM1,000 berserta trofi kemenangan.  

Dalam pada itu, pasukan Odyssey MY turut menerima penghargaan dengan anugerah Best Shout, sebagai pasukan yang paling menyerlah dalam kategori komunikasi dan strategi permainan, manakala DXSkyZed dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asia Challenge Competition Series, Datuk Abd. Rahman Soltan, kejohanan ini bukan hanya untuk mencungkil bakat dalam industri e-sukan, tetapi juga untuk memastikan golongan influencer dan anak muda lebih aktif serta terlibat dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami mahu influencer dan peserta yang terlibat tidak hanya tertumpu kepada penciptaan kandungan semata-mata, tetapi juga menyumbang kepada perpaduan dan kebajikan masyarakat. 

Sebab itu, selain kejohanan e-sukan, kami turut mengadakan pelbagai program lain yang menggalakkan interaksi dan pembangunan sahsiah,” katanya.



Tambah beliau, Asia Challenge Competition Series juga menekankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), terutama menjelang Ramadan yang semakin hampir. 

“Kami percaya bahawa perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat harus dipupuk melalui pelbagai program yang menyatukan rakyat, tanpa mengira latar belakang. 

"Antara aktiviti yang bakal dilaksana termasuk program zakat untuk golongan memerlukan, serta lawatan ke rumah warga emas dan anak yatim, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Siri Pertandingan Cabaran Asia  akan terus menjadi platform yang bukan sahaja berprestij dalam dunia e-sukan, tetapi juga memberi impak sosial yang positif,” katanya lagi.

Ujar Abd. Rahman lagi, selain e-sukan, program ini juga merangkumi pelbagai pertandingan lain seperti fesyen, kecantikan, masakan untuk pasangan suami isteri, futsal, dan sukan tempur. 

Matlamat utama adalah untuk menggalakkan para influencer agar lebih aktif secara fizikal dan sosial, bukan sekadar menghasilkan kandungan digital.

"Kejohanan ini turut menawarkan sistem pengumpulan mata bagi setiap peserta yang aktif. Mata ini dikira berdasarkan kedudukan dalam pertandingan dan penyertaan dalam aktiviti lain. Peserta yang mencapai sasaran mata yang ditetapkan bakal menerima ganjaran istimewa iaitu percutian ke Dubai.

"Selain itu, setiap perlawanan juga menawarkan hadiah wang tunai dan pelbagai ganjaran lain, menjadikan kejohanan ini lebih menarik untuk disertai.

"Dengan sambutan hangat dan matlamat murni yang diketengahkan, Siri Pertandingan Cabaran Asia dijangka menjadi platform berprestij yang mampu menarik lebih ramai influencer dan pemain e-sukan untuk menyertai dan memberi impak positif kepada masyarakat," ujarnya. - KitaReporters

6
19
0
5
0

Copy Link: