Terima kasih Cabin Hill Eco Resort! Sumbang 60 pek barangan keperluan sempena setahun beroperasi!

Published by
KitaReporters

Harris Mohd Jadi (kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperuan harian kepada salah seorang penerima.

Selari dengan konsep perkongsian rezeki bagi membantu golongan kurang berkemampuan serta mencari keberkatan yang digalakkan dalam Islam, pihak pengurusan Cabin Hill Eco Resort, Labis, Johor bermurah hati menyantuni 60 golongan kurang berkemampuan di daerah ini sempena ulang tahun pertamanya beroperasi pada 25 November 2022 lalu.

Menurut pemilik pusat pelancongan tersebut, Harris Mohd Jadi, 68, selain menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 60 penduduk kurang berkemampuan, turut diadakan adalah Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang menampilkan Dato' (Dr) Nooh Gadot sebagai penceramah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Cabin Hill Eco Resort

Kegembiraan  jelas terbayang di wajah penerima sumbangan barangan keperluan harian semasa majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Cabin Hill Eco Resort, Labis, Johor pada 25 November 2022 lalu.

"Penganjuran program sebegini  sedikit sebanyak mampu mendekatkan lagi hubungan kami dengan masyarakat setempat dan dalam masa sama turut berkongsi rezeki yang diperolehi dengan golongan yang memerlukan sebagai salah satu tanggungjawab sosial kami.

"Sebenarnya tidak salah untuk mencari keuntungan dalam sebarang aktiviti perniagaan yang dijalankan, namun dalam masa sama kita perlu mengembalikan sedikit pendapatan kita kepada golongan yang memerlukan selain berzakat seperti yang dituntut oleh Islam bagi melahirkan masyarakat yang seimbang," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut. 

Lebih 200 penduduk dari beberapa kampung di sekitar Labis termasuk penduduk Kampung Orang Asli Ulu Juaseh datang memeriahkan majlis tersebut yang pertama kali di adakan sejak mula beroperasi setahun lalu.


Nooh Gadot (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan Harris Mohd. Jadi (dua dari kiri) serta tetamu lain semasa hadir menyampaikan ceramah Majlis Sambutan Maulidur Rasul sempena setahun perasi Cabin Hill Eco Resort.

Mohd. Shamsul Abdul Wahab.


Sementara itu, Mohd Shamsul Abdul Wahab, 41, salah seorang penerima sumbangan melahirkan rasa gembira kerana tersenarai sebagai salah seorang penerima bantuan tersebut selain berpeluang menambah ilmu ketika mengikuti ceramah agama yang disampaikan oleh tokoh agama negeri Johor itu.

Menurut bapa kepada enam orang anak berusia dua hingga 11 tahun  itu, kesudian pemilik pusat pelancongan itu berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan bukan sahaja patut dipuji malah perlu dicontohi oleh pihak lain terutama golongan korporat dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan menghadapi cabaran ekonomi ketika ini.

Katanya, selain hadir untuk menerima sumbangan serta mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Nooh Gadot, dia turut mengambil kesempatan untuk meninjau keistimewaan yang terdapat di kawasan tersebut kerana sebelum ini tidak berkesempatan untuk berkunjung ke pusat pelancongan tersebut disebabkan sibuk dengan kerja seharian mencari nafkah keluarga.


Sebahagian tetmu yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Cabin Hill Eco Resort, Labis, Johor.

Nur Aiza Mohd. Noor.


Bagi Nur Aiza Mohd. Noor, 37, pula, Cabin Hill Eco Resort bukanlah tempat asing baginya kerana pernah bekerja sebagai pembantu am selama beberapa bulan sebelum ini dan turut melahirkan rasa syukur terpilih sebagai penerima sumbangan yang disifatkannya mampu meringankan bebannya ketika peningkatan kos sara hidup ketika ini.

"Barangan yang diterima mungkin tidak mampu menampung perbelanjaan dapur dalam tempoh yang lama, namun saya bersyukur kerana ianya tetap membantu kerana wang yang sepatutnya saya gunakan untuk membeli barangan keperluan tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain seperti perbelanjaan persekolahan anak-anak saya.

"Tidak dinafikan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini memberi kesan kepada saya sebagai ibu tunggal yang terpaksa menyara tiga orang anak yang masih bersekolah, namun saya bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk mencari rezeki dan saya akan berusaha sedaya upaya membesarkan anak-anak saya sebaik mungkin tanpa meminta-minta atau mengharapkan bantuan semata-mata,"katanya. - KitaReporters



Antara tetamu yang mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama Nooh Gadot (tengah) keik Majlis Sambutan Maulidur Rasul sempena setahun operasi Cabin Hill Eco Resort, Labis, Johor.

13
13
0
14
0

Copy Link: