Video| Nash maafkan penyebar berita palsu! Dah okey! Boleh berjalan! Membongkok sikit! Rehat di rumah!

Published by
KitaReporters

PENYANYI rock otai, Datuk Nash, 63, mengaku tubuhnya mengalami kejang (cramp) hingga terpaksa menerima suntikan pada Ahad, 4 Disember 2022 lalu, namun tidaklah begitu teruk dan keadaan kesihatannya sudah semakin baik

Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias kesal laporan tidak tepat beberapa portal yang memperlihat kesihatannya semakin teruk dan menyiarkan gambar lamanya ketika mengalami kemalangan dua tahun lalu

Ia menimbulkan suasana panik dalam kalangan peminat, saudara-mara dan kenalannya termasuk yang berada di luar negeri.




Bagi meredakan keadaan panik itu, Nash pada 5 Disember 2022 memuat naik video dalam laman sosialnya bagi menerangkan perkara sebenar dan memaafkan pihak yang membuat berita palsu terhadap perkembangan dirinya

"Memang saya kena sakit pinggang yang amat sangat, tapi tidaklah sampai kritikal. Mereka bertanya betulkah yang saya ini dalam keadaan teruk sangat dan kritikal? Ada yang menangis teresak-esak bila dengar suara saya dalam telefon.

"Apapun saya maafkan mereka yang buat laporan perkara tak betul dan juga mereka yang muat naik kembali gambar saya terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

"Tak apalah perkara dah pun berlaku, saya maafkan. Terima kasih sekali lagi dan saya juga doakan yang baik-baik untuk semua. Aamiin Ya Rabbal Alamiin," katanya menerusi video dalam Facebooknya, Isnin, 5 Disember 2022.



Dalam hantaran itu, Nash juga merakamkan ucapan terima kasih buat semua sahabat dalam Facebook atas doa dan ucapan untuknya. 

"Terima kasih kepada seluruh peminat-peminat atau penggemar-penggemar saya di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura dan juga sahabat saya di Mekah. Alhamdulillah saya mendapat doa dan nasihat penuh kasih sayang daripada mereka-mereka ini berkenaan kesihatan saya," tuturnya.

Dalam muat naiknya pada Ahad, 4 Disember 2022 lalu, Nash yang juga penyanyi kumpulan Lefthanded meminta rakan-rakan dan peminat mendoakan keadaannya yang sukar bergerak akibat tersalah urat agar kembali pulih.

Datuk Nash yang baru pulang dari Sarawak terus menghadiri jemputan kahwin anak rakannya di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Dia tiba agak lewat dan sebelah malam akan menghadiri satu lagi jemputan kahwin di Bandar Sungai Long, Kajang.

Nash menahan sakit ketika berada di hospital


"Itu yang macam nak cepat-cepat siap. Tiba kat rumah dah nak masuk waktu maghrib. Saya pun ambil wuduk sambil berdiri dan bila membongkok nak basuh lengan tangan, pinggang saya terus tersentap dan terus tak boleh berdiri tegak.

"Sakitnya Allah saja yang tahu. Seluruh badan saya 'cramp' (kejang), kaki tak boleh gerak. Panggil anak saya untuk bantu saya berjalan. Solat maghrib pula terpaksa guna kerusi," tulisnya sebelum ini.

Tambahnya, sebaik selesai solat, dia meminta anak dan menantunya menghantarnya ke sebuah pusat perubatan swasta Avisena di Shah Alam.

"Doktor terus bagi suntikan supaya saya rasa lega," ujarnya. Dia kini boleh berjalan tetapi terpaksa membongkok.

Datuk Nash kini berehat di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. - KitaReporters

12
16
0
12
0

Copy Link: