SEBANYAK 268,800 dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca bakal disuntik kepada penduduk dalam Lembah Klang bermula hari ini, Rabu, 5 Mei 2021.

Pemberian suntikan vaksin yang buat pertama kalinya dilakukan secara '1st come 1st serve' (pertama minta, pertama dapat) itu akan melibatkan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang, iaitu Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL); Dewan 1, Bangunan Peperiksaan, Universiti Malaya di Kuala Lumpur; Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor; dan Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam, Selangor.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan suntikan vaksin


Pada 2 Mei 2021 lalu, kerajaan telah membuka kepada orang ramai untuk mendaftar pengambilan vaksin AstraZeneca secara terus tanpa menunggu proses pergiliran dan fasa seperti sebelum ini.

Ia dikhususkan kepada penduduk sekitar Selangor atau Kuala Lumpur yang berusia 18 tahun ke atas. 

Seperti kita tahu, Selangor dan Kuala Lumpur merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi dan merupakan antara Zon Merah paling lama serta berisiko tinggi.

Cukup memberangsangkan apabila tidak sampai empat jam sahaja, 268,800 slot tersebut telah habis ditempah melalui laman web vaksincovid.gov.my.

Vaksin jenis AstraZeneca ini tiba di Malaysia pada 23 April 2021 lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.20 malam. Ia diperoleh melalui fasiliti COVID-19 Vaccine Global Access (Covax) yang dibeli melalui tabung solidariti sebelum ia dihantar dari Korea Selatan.



Sebelum ini timbul kebimbangan masyarakat terhadap vaksin jenis itu, namun Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah membuat keputusan untuk membeli vaksin itu selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Malah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) juga, penelitian terhadap kesemua data daripada pengeluar dan juga termasuk dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kelebihan menggunakan vaksin tersebut adalah melebihi kemudaratan.

Kerajaan juga menyediakan perlindungan insurans kepada individu yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan.



Bagi mereka yang akan hadir ke PPV untuk temu janji vaksin, anda perlu memenuhi empat langkah berikut, hadir ke PPV yang tepat dan imbas kod QR untuk pengesahan kehadiran. 

Seterusnya anda perlu sahkan profil apabila diarahkan oleh petugas kesihatan, imbas kod QR vaksin selepas selesai penerimaan vaksinasi dan akhir sekali sahkan proses vaksinasi telah lengkap setelah mendapat arahan daripada petugas kesihatan dalam aplikasi MySejahtera.

Malaysia telah menetapkan jarak 12 minggu antara 1 dan 2 dos vaksin AstraZeneca ini untuk melengkapkan proses vaksinasi bagi setiap badan manusia.

Keputusan ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, dan menurut kajian, ia didapati adalah kaedah yang terbaik untuk mencapai keberkesanan maksimum.



Pemberian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca secara pantas sebegini adalah antara langkah-langkah kerajaan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melalui kelolaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Ia merupakan usaha jangka panjang negara bagi membentuk imuniti kelompok dalam negara kita iaitu 70 hingga 80 peratus dari populasi Malaysia berjaya disuntik vaksin.

Imuniti kelompok antara langkah paling berkesan ketika ini untuk kita membendung penularan virus COVID-19 dari terus menyerang masyarakat kita.

Bagi mereka yang belum mendaftar diri untuk divaksin, bolehlah berbuat demikian melalui tiga langkah paling mudah iaitu dalam Aplikasi MySejahtera, atau layari laman web www.vaksincovid.gov.my atau hubungi hotline di 1 800 888 828 sekarang. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: