De Paula dikritik ramai penyokong setiap kali diturunkan bersama skuad kebangsaan kerana prestasinya tidak sebagaimana diharapkan. - Kredit foto: FAM.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon disaran agar melupakan sahaja khidmat Guilherme de Paula selepas pemain naturalisasi itu ternyata gagal memberi impak sebagaimana diharapkan.

Bekas pemain kebangsaan, Radhi Mat Din berkata, penyerang berasal dari Brazil itu sudah diberi cukup peluang untuk membuktikan kemampuan namun ternyata prestasinya sangat menghampakan sehingga mencetuskan kecaman penyokong.


Lagi



“Bagi saya, kita dah bagi dia banyak peluang, dari (Tan) Cheng Hoe sampai jurulatih dari Korea sekarang. Rasanya dah lima atau enam kali De Paula diturunkan tapi saya tak nampak apa sumbangannya kepada pasukan kita.

“Ia berbeza dengan pemain seperti Arif Aiman (Mohd Hanapi), Akhyar (Rashid) atau Syafiq Ahmad yang mana setiap kali diturunkan mampu membawa impak kepada pasukan. Tapi De Paula, apa dia sumbangkan?

“Ia tidak sepadan dengan statusnya sebagai pemain naturalisasi yang diberi keistimewaan mendapat taraf kerakyatan negara ini. Saya sendiri tidak faham mengapa Kim Pan-gon masih mengekalkannya dalam pasukan. Apakah dia (Pan-gon) terikat dengan sebarang syarat ditetapkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)?


 Radhi Mat Din, bekas pemain kebangsaan dan Kedah. - Kredit foto: Radhi Mat Din.

"Cukup-cukuplah, lupakan saja De Paula kerana kita hanya membuang masa, tenaga dan wang ringgit” - RADHI


“Mungkinkah FAM yang mahu De Paula dikekalkan bagi menutup kesilapan mereka yang sudah tersalah memilih pemain naturalisasi? Atau ia (FAM) berasa rugi jika tidak menggunakan khidmat pemain itu selepas diberi kerakyatan? Wallahualam.

“Bagi saya, cukup-cukuplah, lupakan saja De Paula kerana kita hanya membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk seorang pemain yang tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pasukan kita,” tegas Radhi. 

Seruan bekas kapten Kedah itu senada dengan desakan penyokong yang rata-rata mahu Pan-gon mengetepikan De Paula untuk perlawanan terakhir Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, menentang Bangladesh pada Selasa, 14 Jun, 2022 dan juga tugasan antarabangsa seterusnya.

Pemain kelahiran Brazil itu kembali menjadi bahan kecaman ekoran prestasi hambar selepas dimasukkan menggantikan Darren Lok pada perlawanan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu, 11 Jun, 2022 yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 1-2.


Penyokong mempersoalkan kewajaran Pan-gon menurunkan De Paula dalam perlawanan menentang Bahrain pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil, Sabtu, 11 Jun, 2022. - Kredit video: Harimau Malaya.


Penyokong bukan sahaja tidak berpuas hati dengan persembahan De Paula malah menganggap kemasukannya telah merencatkan rentak serangan pasukan negara yang sedang memburu gol penyamaan selepas ketinggalan 1-2.

Untuk rekod, De Paula pertama kali menyarung jersi Harimau Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun, 2021.  Sejak penampilan pertama itu, dia sering menerima kritikan keras penyokong ekoran prestasinya yang tidak mencapai tahap diharapkan. 

Walau bagaimanapun, dia terus diberi kepercayaan oleh Cheng Hoe pada pertandingan Piala AFF pada Disember, 2021 namun tetap gagal memberi impak sehingga penyokong menuntut agar dia diketepikan dari skuad kebangsaan.


Pan-gon membuat kejutan apabila menyenaraikan De Paula dalam skuad kelayakan Piala Asia walaupun prestasi pemain itu sering dikritik. - Kredit foto: FAM

"Taraf naturalisasi kepada seseorang pemain bukan murah kerana ia dibayar dengan pemberian taraf kerakyatan." - RADHI


Apabila Cheng Hoe meletak jawatan dan Pan-gon mengambil alih tugas itu, penyokong menjangka beliau tidak akan menyenaraikan De Paula namun jurulatih dari Korea itu membuat kejutan apabila turut menyelitkan nama pemain berkenaan dalam senarai akhir skuad kelayakan Piala Asia. 

Menurut Radhi, kegagalan De Paula itu sekali gus mencerminkan kegagalan FAM dalam memilih pemain naturalisasi yang benar-benar berkelayakan untuk menyarung jersi negara dan beliau berharap FAM belajar serta tidak mengulangi kesilapan itu. 

“Kita kena ingat taraf naturalisasi yang diberi kepada seseorang pemain luar itu bukan sesuatu yang murah kerana ia dibayar dengan pemberian taraf kerakyatan. Justeru, janganlah semudah itu kita memberi taraf naturalisasi kepada seseorang pemain, pastikan mereka benar-benar dapat memberi faedah kepada bola sepak negara. 

“Saya harap FAM belajar daripada kesilapan ini supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang. Idea menggunakan pemain naturalisasi bagus tapi pastikan ia menepati matlamatnya,” ujar Radhi turut yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan pada 1989-1993. - KitaReporters


11
13
1
9
6

Copy Link: