Gabungan Hafiz-Ernie bagaikan mimpi menjadi kenyataan! Akhirnya diakui Berakhirlah Pencarianku!
Published byAPABILA dua vokalis terbaik tanah air, Hafiz Suip, 31, digabungkan berduet dengan Ernie Zakri, 29, untuk sebuah lagu, “Berakhirlah Pencarianku’ tentu ramai yang tidak sabar mendengar hasilnya kan?
Judul lagu itu pun seolah membayangkan dengan gabungan terbaik itu maka ‘berakhirlah pencarian’ bagi kedua-duanya dalam melengkapi perjalanan seni masing-masing apatah lagi mereka mempunyai krebidiliti dan kekuatan kendiri.
Iya lah pada Anugerah Juala Lagu (AJL), empat kali Mohd Hafiz Mohd Suip memenangi kategori ‘Vokal Terbaik’ di mana tiga kali beliau memenanginya berturut-turut pada AJL tahun 2010-2012, manakala Ernie yang masih baharu merangkul anugerah pada kategori sama pada AJL tahun lalu melalui lagu ‘Gundah.’
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hafiz Suip
Kelebihannya pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri yang memperoleh Ijazah Muzik merupakan seorang guru vokal dan pernah membimbing artis-artis terkenal antaranya seperti Siti Nordiana, Siti Sarah dan Amira Othman.
Tidak hairanlah apabila dipertemukan, kedua-dua vokalis terbaik ini menganggapkan peluang gabungan sebagai mimpi menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie. Apabila kami diberi peluang berduet pada ABPBH tahun lalu, saya berasakan ia kerjasama yang cukup menarik. Dari situ kami berborak dan diakui dia seorang yang senang jalin kerjasama.
"Sejak itu, saya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ernie. Dengan kelebihan yang dimiliki beliau, siapa yang tak nak berduet dengan dia?” ujar Hafiz pada pertemuan secara maya dalam sidang akhbar yang diadakan pada 30 Julai 2021 lalu.
Senada dengan Hafiz, Ernie yang turut hadir mengakui kolaborasi dengan Hafiz sewajar disifatkannya sebagai mimpi menjadi kenyataan.
“Sebab kita tahu Abang Hafiz adalah penyanyi terbaik di Malaysia. Jadi apabila dapat tahu nak digandingkan, takkan nak tolak tuah. Dalam masa sama, Abang Hafiz juga penyanyi kegemaran Syamel.
"Jadi apabila dia dimaklumkan mengenai projek lagu duet ini, Syamel cakap saya kena buat dan jangan tolak. Bermakna saya mendapat sokongan dan semangat daripada suami dan tak perlu fikir panjang lagi. Apabila suami dan saya saling memahami, baharulah saya boleh fokus dengan senang hati,” sambung Ernie.
Gandingan Hafiz dan Ernie menerusi lagu ciptaan komposer hangat masa kini, Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik oleh penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida itu menjadikan lagu terbitan bersama syarikat Nova Music dan Rocketfuel Entertainment ini sebagai kerjasama sulung projek pertama yang terbaik.
Bercakap lanjut, Hafiz berpendapat kolaborasi beliau dan Ernie menerusi lagu “Berakhirlah Pencarianku” memberi peluang kepada mereka berdua untuk berkongsi pengalaman yang ada.
“Apa yang saya lalui selama ini menjadi pengalaman. Mungkin itu juga yang membuatkan orang nampak saya pada tahap sekarang.
"Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya nak kena belajar. Dari segi teknik nyanyian, banyak lagi yang perlu dipelajari jika mahu dibandingkan dengan Ernie. Macam Ernie dia memang belajar itu. Saya belajar juga, tapi lambat. Jadi, dari segi teknik nyanyian, Ernie masih terbaik bagi saya,” jelas Hafiz.
Tambahnya, walau pun dari segi pengalaman beliau mempunyai sedikit kelebihan setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik dan pernah menang pelbagai anugerah namun menganggap masing-masing ada keistimewaan tersendiri.
“Saya tak nafikan Ernie ada vokal yang sangat bagus,” kata Hafiz jujur sambil mendapat reaksi sama daripada Ernie.
Bagi Ernie secara jujurnya mendedahkan, ketika ditawarkan peluang itu beliau cuma terbayangkan wajah suaminya, Syamel apatah lagi baharu sahaja mengeluarkan lagu duet ‘Hello Goodbye’ bersama Syamel yang merupakan lagu perkahwinan mereka.
Betullah tu, sebagai isteri tentu suami diutamakan apatah lagi mereka saling bekerjasama dalam lagu duet.
“Sejujurnya saya banyak berfikir juga pada peringkat awal untuk melibatkan diri dalam projek ini sebab saya baru lancar lagu duet dengan Syamel tapi apabila dinasihatkan oleh syarikat pengurusan bahawa ini adalah peluang keemasan bagi saya, saya berasa rugi kalau ditolak. Lagi pula, pelaksanaan projek ini adalah demi kebaikan kerjaya saya sendiri.
“Kita perlu tengok juga pada fokus. Kebanyakan orang tak boleh ada dua tiga fokus perkara yang nak dibuat. Jadi kami pun berbincang. Pada kami, tidak akan timbul sebarang isu asal saja semua tahu komitmen kita apa dan untuk apa,” cerita Ernie membayangkan rasa puas dan bersyukur dapat keizinan suami tercinta.
Lagu “Berakhirlah Pencarianku” turut terpilih menjadi lagu tema utama drama rantaian yang bakal ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi. Apa tajuk dramanya, kita tunggu nanti ya. - KitaReporters