Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah pun berakhir. 

Sungguhpun sasaran negara untuk membawa pulang tiga pingat emas tidak kesampaian namun dua pingat - satu perak dan satu gangsa - yang dibawa pulang oleh Datuk Azizulhasni Awang dan pasangan bergu badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap boleh dibanggakan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Paralimpik


Kini, Malaysia bergantung kepada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula untuk mencapai sasaran tiga pingat emas sekali gus mengulangi pencapaian pada lima tahun lalu pada Paralimpik Rio 2016 di mana Malaysia membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.

Emas disumbangkan oleh Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru, Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter), manakala gangsa diraih oleh Siti Radiah Ismail bagi acara lompat jauh wanita.

Mengharapkan kejayaan itu dapat dicapai daripada lima atlet yang dibayangkan mampu membawa kemenangan emas, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sekali lagi menamakan mereka itu terdiri daripada Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly diikuti Cheah Liek Hou (badminton), S. Suresh (memanah) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting/angkat berat).

“Kesemua mereka ini mempunyai ranking terbaik dunia dan diharapkan dapat membawa kecemerlangan dan sasaran tiga pingat emas untuk negara,” ujar Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (gambar bawah, tengah) mewakili menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Majlis Pengukuhan Kontinjen Paralimpik ke Tokyo dan Penghargaan Penaja yang diadakan secara maya pada 12 Ogos 2021.



Turut hadir Presiden Majlis Paralimpik Malaysia yang juga ketua kontinjen negara ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selain Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli  dan Izzue Islam selaku duta selebriti penaja, Neutrovis serta beberapa atlet terbabit.

“Ziyad, Abdul Latif dan Chia berada di kedudukan ranking nombor dua dunia, manakala Bonnie yang mencipta sensasi di Dubai di ranking nombor satu dunia sementara Suresh di nombor kelima dunia.

"Kelima-lima mereka ini terbukti berada pada kedudukan terbaik untuk bersaing di Tokyo nanti manakala atlet-atlet lain juga diharap dapat mencipta kejutan,” jelas Wan Ahmad Fayhsal.


Imbas kembali... Kemenangan empat atlet di Sukan Paralimpik Rio 2016. Dari kiri: Siti Noor Radiah, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Fuzi. - Kredit foto: BH online.

Pun begitu, penyumbang emas di Rio Paralimpik, Mohamad Ridzuan Puzi, tiada dalam sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Seramai 22 atlet termasuk empat alet wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan dan 32 acara pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo yang akan bermula 24 Ogos 2021 hingga 5 September 2021 depan.

Kumpulan pertama kontinjen negara dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 Ogos 2021.


Kredit foto: FB Paralympic Council of Malaysia


Sementara itu, Megat D. Shahriman  memberitahu, kesemua atlet telah menjalani latihan selama dua tahun walau pun negara berdepan pandemik COVID-19.

“Ada yang dua tahun tidak bertemu keluarga kerana berlatih dan saya yakin mereka mempunyai semangat dan keyakinan tinggi untuk mencapai kejayaan,” jelas Megat yang tidak melihat gejala wabak koronovirus itu sebagai penghalang memandangkan atlet dari negara lain pun berdepan kekangan dan situasi sama.

Untuk rekod, sejak Malaysia mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik pada 1972, sejumlah 11 pingat berjaya dikumpul meliputi  tiga emas, dua perak dan enam gangsa.



Selain itu bagi menyokong para atlet, Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) bergabung dengan Neutrovis untuk mengumpulkan dana melalui kempen jualan baju-T  'Mask On Spread Hope' di mana 100% hasil jualan akan disalurkan ke PCM dalam usaha mereka untuk meningkatkan kesedaran masyarakat OKU dan mendorong mereka melalui sukan.

Dengan hanya RM29, baju-T berkenaan  tersedia untuk orang dewasa dan kanak-kanak dan boleh didapati melalui laman https://www.neutrovis.com. 

Di samping itu, penaja utamanya Neutrovis turut membekalkan 45,000 unit pelitup separuh muka untuk kontinjen yang akan ke Tokyo kelak.

Kita doakan kejayaan berganda tahun ini buat paralimpik kita ya! - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: