SUNGAI Lembing yang digelar sebagai El-Dorado Timur suatu ketika dahulu kerana terkenal sebagai kawasan lombong bijih timah terdalam di dunia turut menyimpan khazanah alam yang tinggi nilainya iaitu Air Terjun Pelangi atau nama asalnya Air Terjun 500. Ia sesuai diangkat sebagai satu lagi produk pelancongan alam semula jadi di Sungai Lembing, Kuantan kerana keistimewaannya itu. : KitaReporters

Pengunjung memenuhi kawasan air terjun untuk melihat dan menyentuh pelangi. - Kredit Foto: Bazaei Ahmad


Lagi cerita-cerita berkaitan pelancongan:

https://kitareporters.com/search?search=pelancongan


Selain Muzium Sungai Lembing dan Terowong Bijih Timah Bawah Tanah Sungai Lembing (Tai Pei Tong), Bukit Panorama dan Galeri 3D yang menjadi tumpuan pelancong ketika berkunjung ke pekan Sungai Lembing, jangan lupa peruntukkan waktu untuk ke lokasi paling istimewa dan mengujakan iaitu Air Terjun Pelangi.

Nak sentuh pelangi? Nak menggapai pelangi? Jom ke Air Terjun Pelangi.


Kredit Foto: Bazaei Ahmad


Amat mengujakan biarpun perjalanannya penuh dengan cabaran. Satu jam menaiki jentera 4x4 dan 45 minit berjalan kaki! Bukan senang nak tengok pelangi dari dekat tau.

Air Terjun Pelangi bukan sahaja menjadi destinasi utama penduduk tempatan bersantai malah semakin dikenali oleh pengunjung luar selepas ditularkan dalam media sosial. Pasti yang suka berlibur memilih lokasi ini untuk merehatkan diri dan bermesra dengan alam semula jadi. 

Air terjunnya begitu luar biasa kerana munculnya sang pelangi pagi!

Air Terjun Pelangi


Air Terjun Pelangi bagai mutiara Sungai Lembing yang perlu dijaga, dilindungi dan dihargai. Mungkin ia satu dalam sejuta.  Sangat indah kejadiannya. Bagaimana pelangi terbentuk di sini? Itulah rahsia alam semula jadi namanya. Apa nak dikisahkan. 

Yang penting dapat melihat pelangi. Seriuslah, boleh sentuh pulak tu!!!

Fenomena kejadiannya? Keajaiban dan penampakan pelangi mula berlaku apabila sinaran matahari memancar dan menembusi titisan air yang jatuh seterusnya membentuk pelangi yang boleh dilihat pada dinding batu air terjun, sekali gus membuatkan ia kelihatan begitu  jelas sekali.

Pelangi di dinding batu Air Terjun Pelangi. - Kredit Foto: Bazaei Ahmad


Menurut pemandu pelancong alam semula jadi, Muhammad Ridzal Sukimi yang ditemui, pengunjung perlu tiba antara jam 8.30 hingga 10.30 pagi untuk melihat pelangi itu. 

Katanya, jika lewat peluang untuk melihatnya agak tipis kerana untuk melihat kejadian pelangi, matahari harus berada di hadapan air terjun! Proses pembiasan menjadi sukar jika matahari sudah berada hampir di atas kepala. 

Sungguh menakjubkan kerana biasanya kita melihat pelangi selepas hujan. Ini pelangi di air terjun!


Bulatan pelangi di dinding batu Air Terjun Pelangi


Selepas puas bergambar, melihat, 'menyentuh', dan 'memegang' jaluran pelangi, barulah boleh melihat dan menikmati suasana sekeliling yang mendamaikan. Kepenatan dan keletihan hilang begitu sahaja selepas mata terpaku melihat air terjun bersama sang pelangi di depan mata. 

Tidak digalakkan untuk melakukan aksi terjun tiruk kerana takungan kolamnya tidak dalam dan banyak batu!




Rakaman gambar dalam pelbagai aksi boleh juga dijadikan sebagai bahan bukti jika ada yang meraguinya. Berposing itu satu perkara wajib dilakukan kerana untuk datang kali kedua perlu berfikir beberapa kali. 


Pengunjung juga dapat menikmati mi segera dan air Milo panas yang disediakan sebagai alas perut ketika berada di sana. Air yang digunakan adalah daripada juraian air terjun itu! Memang thrill! 

Best tempat ni!! Boleh dijadikan lokasi penggambaran filem, fotografi, rekreasi atau tempat rehat untuk mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota. Pengunjung pasti terpesona dengan juraian air terjun setinggi 250 meter serta jaluran pelangi yang indah. Seperti berada di alam fantasi! Nak duduk dalam lingkaran pelangi pun boleh. 

Difahamkan, air terjun ini adalah antara punca mata air dan hulu bagi Sungai Kuantan.

Untuk ke Air Terjun Pelangi, aksesnya hanya melalui pekan Sungai Lembing dan lebih mudah menggunakan perkhidmatan jentera 4x4 untuk sampai ke tapak perkhemahan Lubuk Beruk sebelum trekking ke Air Terjun Pelangi. 

Jentera yang diubah suai itu boleh memuatkan lebih ramai penumpang dan dikenakan bayaran tertentu. Jangan guna kenderaan sendiri sebab ia boleh terkandas di tengah hutan. Dengar arahan dan jangan degil!!!

Hanya jentera 4x4 digunakan untuk ke Air Terjun Pelangi


Perjalanan hampir satu jam sejauh 18 kilometer adalah satu pengalaman menarik. Jalannya sedikit yang bertar, off roadnya agak sukar, berbatu dan tidak rata, meredah anak sungai, lereng bukit dan kawasan hutan. 

Duduk pun tidak konsisten. Free massage!! Selepas tiba di lokasi perkhemahan, pengunjung perlu meneruskan perjalanan secara berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer selama hampir 45 minit untuk tiba ke kawasan air terjun.


Pastikan kasut yang digunakan tahan lasak dan tidak licin. Jika  tidak sesuai, pengunjung boleh menyewa kasut getah pada kadar RM3 sepasang yang disediakan. 


Banyak penanda arah disediakan bagi memudahkan perjalanan ke lokasi air terjun. Hampir di sepanjang perjalanan, pengunjung memang perlu mendaki di lereng anak sungai  dan banyak tali disediakan bagi membantu mendaki di kawasan tinggi. 



Lebih kurang 200 meter sebelum tiba di lokasi, pemandangan air terjun sudah mula kelihatan. Keterujaan untuk melihat dan mencecah airnya semakin dirasakan selepas menempuh perjalanan yang agak memenatkan. Bukan semua orang pernah sampai ke sini termasuk penulis! Pengalaman ini amat bernilai kerana ia adalah satu keajaiban ciptaan Tuhan!

Anda dinasihatkan keluar daripada kawasan air terjun selewat-lewatnya jam 4 petang. Tetapi kebiasaannya, selepas pelangi hilang, pengunjung beransur-ansur untuk pulang. Semua bekas dan sisa makanan dibawa turun sekali bagi menjaga kebersihan di kawasan persekitaran.

Perjalanan ke Air Terjun Pelangi boleh dilakukan sebelum matahari terbit sekitar jam 6.45 pagi. 

Singgah sebentar di Sunrise Hill (Bukit Matahari Terbit) untuk melihat matahari terbit sebelum ke Air Terjun Pelangi. Bukit ini lebih dikenali sebagai Sunset Hill (Bukit Matahari Terbenam) memandangkan lebih ramai datang ke bukit itu untuk melihat matahari terbenam pada waktu petang.


Sebelum itu, pengunjung biasanya terlebih dahulu dibawa ke Sunrise Hill atau Bukit Matahari Terbit, yang juga dikenali sebagai Sunset Hill atau Bukit Matahari Terbenam, bergantung pada waktu bila anda tiba di bukit berkenaan untuk melihat matahari terbit atau terbenam dan awan karpet. Takde la penat nak mendaki 989 anak tangga di Bukit Panorama tu. Memang cantik pemandangannya.

Berpeluang melihat matahari terbit dan awan karpet di Bukit Matahari Terbenam (Sunset Hill)


Berpeluang melihat matahari terbit di Bukit Matahari Terbenam (Sunset Hill)


Beberapa tips sebagai panduan untuk anda yang berminat untuk ke Air Terjun Pelangi.

  • Pastikan pemandu pelancong ialah yang berdaftar, bertauliah dan profesional
  • Patuh dan pastikan jelas pada setiap arahan pemandu pelancong
  • Pastikan memakai pakaian sukan, terutama kasut yang sesuai (disewa RM3 sepasang. Ada disediakan di kawasan tapak parking)
  • Bawa beg kalis air yang tahan lasak untuk simpan barang berharga.
  • Bawa bekal makanan dan kinuman untuk menghilangkan lapar dah dahaga. 
  • Jagalah tingkah laku dan bicara. 
  • Untuk dapatkan pemandangan pelangi yang lebih besar dan menakjubkan, pastikan anda tiba pada jam lebih kurang 8.30 hingga 10.30 pagi.

Penulis berpeluang menjejakkan kaki buat kali pertama di Air Terjun Pelangi ketika menyertai rombongan Fam (Familiarisation) Trip Tourism Pahang bersama Media dan Travel Agent di tiga daerah iaitu Kuantan, Rompin dan Pekan selama lima hari bermula 8 hingga 12 Ogos 2020.

Air Terjun Pelangi wajar diteroka walau sekali seumur hidup. Pemandangannya cukup menakjubkan dan pengalaman melihat pelangi di dinding batu air terjun pastinya cukup berharga. Terbayang-bayang di depan mata. 

Bagaimanapun, penulis surrender untuk ke sini lagi. Cukuplah sekali kerana untuk sampai, sehabis kudrat perlu digunakan! - KitaReporters

7
1
1
0
0

Copy Link: