Dua bekas Naib Juara yang lahir daripada program realiti ‘Mentor Milenia’ dalam jarak setahun, Usop serta Qody merupakan antara 12 finalis yang terpilih dalam senarai program ‘Big Stage 2020’ musim ke-3 yang bakal bersiaran mulai 16 Ogos 2020 ini. : KitaReporters


Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Mohd Noor, 22, merupakan Naib Juara Mentor Milenia 2017, manakala  Rossaidi Abdul Rani, 26, yang lebih popular dikenali sebagai Qody Rany dinobatkan sebagai Naib Juara Mentor Milenia 2016.

Kedua-dua mereka ini kini akan berkongsi pentas ‘Big Stage 2020’ bersama enam lagi peserta lelaki dan empat peserta wanita terdiri daripada anak Raja Pop terkenal, Dato' Jamal Abdillah iaitu Yamani Abdillah, 19; doktor gigi, Hafiz Zainal, 28; OKU penglihatan, Dinie Rashid, 28; abang viral ‘vape’, Amir Hasan, 24; pembantu gurulatih silat gayong, Fadh Majid, 27; dan pelakon drama, Azzam Sham, 23.

Empat wanita yang menjadi saingan terdiri dari graduan perubatan, Hanie Soraya, 26; pemenang ke-3 Ceria Popstar musim pertama, Farisha Iris, 21; dan dua penyanyi BBNU generasi pertama iaitu Sandra Dianne, 26, dan Nana Sheme, 25,  yang viral dengan lagu Hantu Atau Buaya.


Barisan 12 finalis 'Big Stage 2020'.

Barangkali ada yang tertanya-tanya kenapa Usop atau Qody Rany mahu pun Yamani Abdillah yang sudah mencipta nama dan terkenal malah mempunyai lagu popular masing-masing masih mahu menyertai Big Stage 2020?

Mungkinkah kerana hadiah wang tunai yang ditawarkan sebanyak RM100,000 bagi juara, RM50,000 buat naib Juara serta RM25,000 bagi pemenang tempat ketiga menjadi rebutan?

“Jika menang wang sebanyak itu memanglah rezeki buat saya dalam melalui tempoh kurang pendapatan ketika negara dilanda wabak COVID-19 ini kerana banyak show terpaksa dibatalkan,” ujar Usop ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan hos, juri dan peserta 'Big Stage 2020' di Nicsmann 1940s by Lewre, Starling Mall, semalam Selasa 4 Ogos 2020.

Menurut Usop, antara sebab lain beliau menyertai Big Stage adalah untuk lebih dikenali sebagai penyanyi profesional dan bukannya artis kampung.

“Mungkin orang kenal lagu-lagu saya tetapi ada juga yang anggap saya artis kampung jadi dengan menyertai Big Stage saya manu buktikan yang saya bukan artis kampung seperti yang dilabelkan,” tambah Usop yang sudah pun mempunyai empat buah single termasuk lagu popular dan yang terbaharunya, ‘Selamanya’.

Ditanya selanjutnya bagaimana gelaran artis kampung itu boleh tercetus?

“Entahlah, mungkin sebab loghat Kedah saya terlalu pekat kut dan saya mudah bergaul dengan orang tetapi nak buat macam mana kan dah diri saya macam itu, takkan saya nak ubah. Kalau saya ubah nanti orang kata saya berlagak pula,” jawabnya jujur sambil melahirkan rasa syukur dapat terpilih memasuki ‘Big Stage 2020’ pada percubaan kali pertama.


Berlainan pula dengan Qody Rany yang pernah menyertai uji bakat Big Stage musim pertama tetapi tidak berjaya melayakkan diri.

“Alhamdullillah, musim ini saya berjaya terpilih dan akan melakukan yang terbaik untuk bertahan dan bersaing secara sihat dengan rakan-rakan seperjuangan lainnya,” ujar Qody.

Menurut Qody, setiap kemenangan bukan satu tiket untuk menempa nama di dalam industri. 

“Saya menyertai Big Stage kerana pertandingan ini bukan satu peluang yang mudah untuk layak masuk sebab ratusan orang yang hadir uji bakat. Pada zaman milenia ini, ramai yang dah pandai menilai, jadi saya berharap dengan bakat yang Allah pinjamkan kepada saya ini dapat melekat di hati peminat,” tambah Qody yang menganggap penyertaannya dalam musim ini sebagai peserta ‘underdog’ jika dibandingkan dengan peserta lain.

Yamani Abdillah (kiri), Qody Rany (dua dari kiri) dan Usop (kanan) bersama rakan-rakan Big Stage 2020 lainnya.

Bagi anak Raja Pop, Yamani Abdillah pula, penyertaannya dalam Big Stage lebih kepada menimba pengalaman malah tidak rasa tergugat atau menjatuhkan nama gah ayahnya jika tewas sekali pun.

“Memang satu tanggungjawab besar untuk saya mempertahankan ‘title’ bapa saya tetapi jika saya terkeluar sekali pun saya anggap saya keluar dengan bermaruah,” kata Yamani yang menggemari genre rock. Pun begitu katanya, jika diberikan genre lain sekali pun beliau akan cuba sebaik mungkin.

“Itulah cabarannya, memang berat tetapi saya akan cuba dan buktikan siapa Yamani yang sebenarnya, bukan Yamani yang bergantung pada nama belakangnya, Abdillah,” jelas penuntut Diploma Muzik ASWARA ini.


Bercerita lanjut, Yamani memberitahu, bapanya sentiasa memberikan sokongan untuk dirinya berkecimpung dalam industri hiburan asalkan beliau menjaga disiplin.

“Memang ayah ada memberikan banyak tip dalam nyanyian. Itu rahsia tetapi apa yang boleh saya katakan, ayah tidak mengajar saya tetapi saya belajar daripadanya,” ujar Yamani sambil berharap dapat menimba pengalaman dan peluang berhibur dalam Big Stage tidak kira menang atau kalah sekali pun.

Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.

“Big Stage 2020’ mengekalkan selebriti popular, Alif Satar dn Sherry Al-Hadad selaku hos, manakala juri tetap dibarisi Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaezah, menggantikan Dato Seri Siti Nurhaliza sebelum ini.


Buat julung kalinya juga, khidmat empat ‘Presiden Netizen’ bakal dibawa masuk secara bergilir-gilir untuk turut mengadili persembahan para bintang bersama barisan juri profesional pada setiap minggu.

Tiga nama yang dilantik sebagai Presiden Netizen ialah Michael Ang, Caprice dan Neelofa, sementara seorang lagi calon ditentukan oleh peminat menerusi hantaran entri dalam laman media sosial menggunakan hastag #PNBigStage2020 muiai 4  hingga 22 Ogos 2020 ini.

‘Konsert ‘Big Stage 2020 ’ akan bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9 malam mulai 16 Ogos 2020. Info lanjut layari www.era.je. - KitaReporters 

4
0
0
2
0

Copy Link: